#773: Lelaki Memakai Emas Putih

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum pemakaian emas putih bagi lelaki?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Emas adalah Perhiasan untuk Wanita

Pada asasnya, perhiasan emas adalah dibolehkan untuk wanita berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

أُحِلَّ الذَّهَبُ وَالْحَرِيرُ لإِنَاثِ أُمَّتِي وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا

Maksudnya: Telah dihalalkan emas dan sutera asli bagi perempuan dalam kalangan umatku dan diharamkan (keduanya) bagi lelaki.

Riwayat al-Nasa’ie (9387)

Penggunaan emas untuk tujuan perhiasan adalah harus bagi kaum wanita dan  haram bagi kaum lelaki. Wanita dibenarkan memakai emas kerana keperluan wanita  berhias dan mencantikkan diri di hadapan suami. (Lihat Subul al-Salam, 1/460; Syarah al-Muharrar fi al-Hadith, 20/49)

Pengharaman Menyerupai Jantina Berlawanan

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لُبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لُبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)

Syeikh Badr al-Din al-‘Aini dalam menjelaskan hadith ini, menyebut: (Celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/41)

Jelas daripada hadith ini bahawa adalah haram hukumnya bagi seseorang untuk memakai pakaian mahupun perhiasan yang khas bagi jantina yang berlawanan dengannya.

Dinyatakan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267)

Ibnu Hajar al-Haitami pula menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita ialah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki; adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261)

Hukum Lelaki Mengambil Emas Sebagai Perhiasan

Haram hukumnya bagi lelaki mengambil emas sebagai perhiasan. Ini berdasarkan sebuah hadis yang mana Nabi SAW telah bersabda:

أُحِلَّ الذَّهَبُ وَالْحَرِيرُ لإِنَاثِ أُمَّتِي وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا

Maksudnya: Telah dihalalkan emas dan sutera asli bagi perempuan dikalangan umatku dan diharamkan (keduanya) bagi lelaki.”

Riwayat al-Nasa’ie (5148)

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَلْبَسْ حَرِيرًا وَلَا ذَهَبًا

Maksudnya: “Barang siapa yang beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat, maka janganlah memakai sutera asli dan emas.”

Riwayat Ahmad (22249)

Pengharaman cincin emas bagi lelaki juga jelas melalui hadis Nabi SAW, seperti dalam riwayat daripada Abu Hurairah RA:

أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ

MaksudnyaSesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.”

Riwayat Muslim (2089)

Pemakaian bagi tujuan perhiasan atau selain daripada perubatan seperti pen yang diletak di dalam poket, dan jam tangan, maka hukumnya juga tidak dibolehkan. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada Saidina ‘Ali bin Abi Talib R.A:

إِنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ حَرِيرًا فَجَعَلَهُ فِي يَمِينِهِ، وَأَخَذَ ذَهَبًا فَجَعَلَهُ فِي شِمَالِهِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذَيْنِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanannya, dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Sesungguhnya dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki.”

Riwayat Ahmad (935)

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:

أُحِلَّ لِإِنَاثِ أُمَّتِي، وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا

Maksudnya: “Halal bagi umatku yang perempuan, dan haram bagi kaum lelaki dalam umatku.”

Riwayat Ahmad (19502)

Al-Syaukani berkata: Hadis ini merupakan dalil yang digunakan jumhur ulama yang berpendapat bahawa sutera dan emas haram bagi lelaki dan harus bagi wanita. (Lihat Nail al-Autar, 2/98)

Ini kerana Nabi SAW menyebut dengan jelas lagi sarih tentang pengharaman pemakaian sutera asli dan emas bagi lelaki.

Adapun jika seorang lelaki memakai emas kerana hajat ataupun darurat, seperti kerana masalah kesihatan, maka ini dibolehkan. Dalilnya berdasarkan hadis daripada ‘Abd al-Rahman bin Tarafah:

أَنَّ جَدَّهُ عَرْفَجَةَ بْنَ أَسْعَدَ قُطِعَ أَنْفُهُ يَوْمَ الْكُلَابِ، فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ، فَأَنْتَنَ عَلَيْهِ، فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ

Maksudnya: “Bahawa datuknya ‘Arfajah bin As’ad terpotong hidungnya pada hari Peperangan Kulab. Kemudia dia memasang acuan hidung daripada bahan perak, lalu baunya busuk dan mengganggu beliau, maka Nabi SAW menyuruhnya mengambil hidung daripada jenis emas.”

Riwayat Abu Dawud (4232)

Al-Khattabi berkata: Hadis ini menunjukkan keharusan menggunakan sedikit emas bagi lelaki ketika keadaan darurat seperti dalam penyusunan gigi, dan tidak ada bahan lain yang boleh menggantikannya. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/215)

Hukum Pemakaian Emas Putih Bagi Lelaki

Berbalik kepada persoalan di atas, iaitu berkenaan hukum lelaki memakai emas putih, maka perlu dibuat sedikit perincian dalam menjelaskan isu ini. Perlu difahami bahawa emas putih adalah terhasil daripada campuran dua unsur logam iaitu emas dengan salah satu logam putih (white metal) iaitu nikel, manganese dan palladium.[1] Dalam menghasilkan emas putih, formulasi yang biasa digunakan ialah campuran emas kuning dan dialoikan dengan nikel, dengan nisbah 90% emas dan 10% nikel. (Lihat Emsley, John (2003) Nature’s building blocks: an A-Z guide to the elements, Oxford University Press, hlm. 168)

Pada asalnya, tidak ada satu bahan yang dinamakan emas putih. Apa yang ada hanyalah satu campuran antara emas dan bahan logam yang lain sehingga membentuk emas yang telah berubah warnanya dan tidak lagi berwarna kekuningan. Justeru, hukumnya adalah haram jika seorang lelaki memakai emas putih ini yang disaluti dengan platinum, atau dicampur dengan bahan seperti zink, perak dan tembaga. Akan tetapi, sekiranya yang dimaksudkan sebagai emas putih adalah platinum, maka tidak mengapa bagi seorang lelaki untuk memakainya kerana ia tidak mempunyai unsur emas.

Dalam menjelaskan perkara ini, sebuah kaedah menyebut:

إذَا اجْتَمَعَ الْحَلَالُ وَالْحَرَامُ، غَلَبَ الْحَرَامُ

Maksudnya: “Apabila berkumpul perkara halal dan haram maka perkara haram akan lebih menguasai.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 105 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 93)

Selain itu, menurut kajian lagi, emas putih mengandungi logam emas melebihi 50 peratus. Berdasarkan keterangan daripada sumber-sumber yang berwibawa ini, adalah jelas bahawa emas putih adalah jenis logam yang sama dengan emas kuning. Cuma ia terdapat campuran logam berwarna putih sama ada daripada perak atau palladium. Justeru, hukumnya adalah sama iaitu haram buat orang lelaki dan halal bagi kaum wanita memakainya.

Di samping itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 juga telah membincangkan Hukum Lelaki Memakai Emas Putih, dan Muzakarah telah memutuskan bahawa haram memakai emas putih ke atas golongan lelaki.

Dijelaskan bahawa tiada bahan khusus yang dinamakan ‘emas putih’ dan yang masyhur sebagai emas putih itu ialah hasil campuran beberapa jenis logam termasuklah emas kuning, dan ianya boleh dipisahkan semula. Oleh kerana itu, orang lelaki tidak dibolehkan menggunakannya. Hal ini juga sepertimana fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah al-Da’imah Arab Saudi di mana mereka menyatakan bahawa diharamkan pemakaian cincin emas putih ke atas lelaki. (Lihat Fatwa Al-Lajnah al-Da’imah, nombor fatwa 21867, 24/67)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443H

 

[1] Lihat https://www.wikiwand.com/en/Colored_gold#/White_gold

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *