#792: Suami Mandikan Jenazah Isteri

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkan suami memandikan jenazah isterinya atau sebaliknya?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Jenazah

Menurut Imam al-Ramli, perkataan al-Jana’iz merupakan jamak dari perkataan janazah. Perkataan janazah adalah nama bagi mayyit (mayat) yang mana diletakkan di atas keranda. (Lihat Nihayah al-Muhtaj Syarah al-Minhaj, 8/16) Selain itu, al-Nawawi menukilkan pandangan daripada Ibn Faris, yang mana beliau mengatakan perkataan al-Jana’iz itu adalah kalimah jamak dari masdar al-Janazah. (Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm. 94)

Manakala dari sudut istilah, menurut Muhammad Batthal, jenazah bermaksud seseorang yang meninggal dunia dan yang telah terpisah rohnya dari badannya. (Lihat al-Nazm al-Musta’zab fi Syarh Gharib al-Muhazzab, 1/123)

Begitu juga, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, jenazah boleh didefinisikan sebagai mayat bagi orang Islam.

Tanggungjawab kepada Si Mati

Secara umumnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadis ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 51)

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155)

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma’ para ulama’ tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu’, 5/104)

Bolehkan Suami Memandikan Jenazah Isterinya atau Sebaliknya?

Antara kewajipan fardu kifayah yang mesti dilakukan oleh orang yang hidup terhadap saudaranya yang meninggal dunia ialah memandikan jenazahnya.

Merujuk dan meneliti kitab-kitab fiqh yang ditulis oleh para ulama, mereka menyatakan bahawa yang lebih utama adalah jenazah lelaki dimandikan oleh orang lelaki manakala jenazah wanita dimandikan oleh orang perempuan sendiri.

Walaupun begitu, terdapat beberapa riwayat daripada Nabi SAW yang menunjukkan bahawa seorang suami boleh memandikan jenazah isterinya, dan begitulah juga seorang isteri boleh memandikan jenazah suaminya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umm al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata:

 رَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مِنَ الْبَقِيعِ فَوَجَدَنِي وَأَنَا أَجِدُ صُدَاعًا فِي رَأْسِي وَأَنَا أَقُولُ وَارَأْسَاهُ فَقَالَ ‏”‏ بَلْ أَنَا يَا عَائِشَةُ وَارَأْسَاهُ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ قَالَ ‏”‏ مَا ضَرَّكِ لَوْ مِتِّ قَبْلِي فَقُمْتُ عَلَيْكِ فَغَسَّلْتُكِ وَكَفَّنْتُكِ وَصَلَّيْتُ عَلَيْكِ وَدَفَنْتُكِ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah pulang daripada al-Baqi’ dan baginda menemui aku dalam keadaan sakit kepala, lalu aku mengatakan: Alangkah sakitnya kepalaku. Maka baginda bersabda: Bahkan aku, alangkah sakit kepalaku wahai A’isyah. Kemudian sabda baginda: Tidak menjadi masalah buatmu, sekiranya kamu mati sebelum aku nescayalah aku sendiri yang akan menguruskan jenazahmu, aku mandikan kamu, kafankan kamu, solatkan ke atas jenazahmu, dan kebumikan kamu.

Riwayat Ibn Majah (1465)

Berdasarkan kepada hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW sendiri yang akan memandikan isterinya A’isyah R.Anha sekiranya beliau pergi dahulu meninggal dunia sebelum Nabi SAW. Ini merupakan isyarat yang menggambarkan keharusan seorang suami memandikan jenazah isterinya.

Demikian juga sebuah riwayat daripada Abdullah bin Abi Bakr bahawasanya Asma’ binti ‘Umais memandikan jenazah Abu Bakr al-Siddiq ketika beliau meninggal dunia. (Lihat al-Muwatta’, 1/223)

Asma’ di atas merupakan isteri kepada Abu Bakr al-Siddiq, dan terdapat riwayat yang lain menunjukkan bahawa Asma’ memandikan jenazah Abu Bakr di atas faktor melaksanakan tuntutan wasiat yang dilakukan oleh Abu Bakr sendiri. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Umm al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata: Abu Bakr al-Siddiq R.A wafat pada malam selasa bersamaan lapan Jamadil Akhir tahun yang ke-13 H. Dan beliau mewasiatkan supaya dia dimandikan oleh Asma’ binti ‘Umais yang merupakan isterinya. (Lihat al-Sunan al-Kubra, 3/397)

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Mayat lelaki wajib dimandikan oleh orang lelaki dan mayat orang perempuan oleh orang perempuan sebagaimana yang disebut dalam hadis-hadis yang lalu. Bagaimanapun harus bagi lelaki memandikan mayat isterinya dan perempuan memandikan mayat suaminya.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/234)

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, dan berdasarkan beberapa riwayat yang kami kongsikan di atas, hukumnya harus bagi seorang suami itu memandikan jenazah isterinya dan begitu juga seorang isteri boleh memandikan jenazah suaminya. Ini mengambil kira, tidak terdapat nas yang melarang hal ini menjadikannya kekal kepada hukum asal iaitu harus.

Demikian juga terdapat ijma’ dalam hal ini seperti kata Imam Ibn al-Munzir Rahimahullah: Dan mereka (para fuqaha) berijma’ bahawa seorang isteri itu boleh memandikan jenazah suaminya apabila dia meninggal dunia. (Lihat al-Ijma’, hlm. 44)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *