#8 Kesahihan Kisah Cubaan Mencuri Jasad Nabi SAW

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00

Soalan

Benarkah kisah cubaan mencuri jasad Nabi SAW oleh dua orang pemuda dari Maghribi pada zaman Sultan Nuruddin Mahmud Zinki?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Beliau hingga ke Hari Kesudahan.

Kisah Yang Masyhur

Ali al-Samhudi menukilkan kisah ini sebagaimana yang disebut oleh Jamaluddin al-Matori yang menceritakan kisah ini di dalam kitabnya al-Ta’rif Bima Ansati al-Hijrah min Ma’alim Dar al-Hijrah[1]. Katanya: Aku mendengar kisah ini daripada al-Faqih ‘Ilm al-Din, Ya’qub bin Abu Bakar, daripada orang-orang besar yang diketahui menceritakan:

“Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki pada suatu hari telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW Dalam mimpinya itu Rasulullah SAW telah berkata kepada Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki:

Wahai Mahmud, selamatkanlah aku daripada mereka

Sambil Rasulullah SAW menunjukkan kepadanya dua orang lelaki yang berambut perang. Selepas itu Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki terjaga daripada tidurnya dalam keadaan panik. Mungkin menganggap ianya hanyalah gangguan tidur, lantas beliau bangun berwudhu’, solat dan berdoa lalu kembali tidur. Tetapi beliau tetap mendapat mimpi yang sama lagi berulang kali sebanyak tiga kali.

Buntu akan mimpi yang dialami oleh beliau itu, kemudiannya beliau telah memanggil Perdana Menterinya iaitu Jamaluddin al-Mausili yang bukan sahaja alim malahan bijak orangnya, lalu diceritakan perihal mimpi beliau yang bertemu dengan Rasulullah SAW itu.

Pada pandangan Perdana Menteri Jamaluddin al-Mausili, kemungkinan mimpi Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki itu adalah benar, kerana syaitan tidak akan dapat menyerupai wajah Nabi Muhammad SAW. Mendengar pandangan Perdana Menterinya itu, lantas Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki mengarahkan menterinya membuat persiapan dan persediaan untuk perjalanan ke Madinah. Beliau dan menterinya terus memulakan perjalanan ke Madinah bersama 20 orang pengawal dengan membawa barang-barang yang banyak.

Rombongan Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki itu mengandungi 1000 ekor unta yang membawa muatan barang-barang yang banyak. Dikatakan perjalanan dari Syam ke Madinah yang biasanya memakan masa selama sebulan perjalanan.

Namun rombongan Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki ini hanya mengambil masa selama 16 hari sahaja perjalanan. Sampai di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan terus melakukan solat. Selepas itu beliau duduk termenung di sana kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan olehnya. Menteri yang bersama dengan beliau bertanya;

Adakah beliau dapat mengecam kedua-dua lelaki yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW dalam mimpinya itu?”

Dengan yakin Sultan Nuruddin Mahmud bin Zanki mengatakan bahawa beliau masih mengenali dengan jelas kedua-dua wajah lelaki itu. Apabila mendengar jawapan beliau itu, Menteri tersebut segera memanggil seluruh penduduk Madinah untuk datang menerima hadiah daripada Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki.

Dalam ramai-ramai penduduk Madinah yang datang itu, beliau masih tidak dapat mengecam dua orang lelaki tersebut di kalangan orang ramai yang datang pada hari itu. Sehinggalah orang ramai beransur pulang, masih lagi tidak kelihat kelibat dua orang lelaki tersebut. Bila beliau bertanya;

Adakah lagi penduduk Madinah yang tidak hadir?”

Barulah beliau diberitahu bahawa hanya dua orang lelaki asing yang bukannya penduduk tempatan, tidak hadir pada hari tersebut. Lantas beliau pun mengarahkan agar kedua-dua orang lelaki asing itu dibawa berjumpa dengannya. Alangkah terkejutnya beliau tatkala melihat kedua-dua orang lelaki asing itu dibawa menghadapnya. Kerana kedua-dua lelaki itulah merupakan lelaki yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di dalam mimipinya.

Kedua-dua orang lelaki itu berperwatakan alim. Apabila disoal siasat, keduanya mengaku berasal dari Maghribi dan datang untuk mengerjakan Haji serta melawat Masjid Nabawi. Mereka berdua juga mengatakan bahawa mereka bercadang untuk tinggal di Madinah selama setahun. Selepas soal siasat, beliau masih tidak berpuas hati lantas meninggalkan kedua lelaki tersebut bersama pengawalnya dan beliau terus ke rumah kedua lelaki tersebut untuk menyiasat. Kedua-kedua lelaki tersebut menyewa sebuah rumah yang tidak jauh dari Raudhah, berhampiran makam Rasulullah SAW.

Di rumah kedua-dua lelaki tersebut, beliau tidak menjumpai apa-apa bukti melainkan sejumlah wang yang amat banyak. Dengan kehendak Allah SWT, Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki telah tersepak satu kepingan kayu. Apabila diangkat kepingan kayu itu, terbukalah terowong bawah tanah yang menghala ke arah makam Rasulullah SAW

Apabila diselidiki, didapati rupa-rupanya terowong bawah tanah itu telah pun melepasi tembok dan dinding Masjid Nabawi. Lantas diarah kedua-dua lelaki tersebut ditangkap dan disebat sehingga mereka mengakui jenayah yang dilakukan dan menceritakan siapakah mereka sebenarnya.

Tidak tahan dengan sebatan yang diterima, akhirnya mereka berdua menceritakan bahawa mereka adalah orang Kristian yang menyamar sebagai orang Maghribi yang datang dari Andalusia, Sepanyol. Mereka datang menyamar sebagai jemaah haji Maghribi. Tujuan mereka berdua datang ke Madinah adalah untuk mencuri jasad Rasulullah SAW dan memindahkan jenazah Rasulullah SAW daripada makamnya di Madinah. Mereka berdua dibekalkan dengan wang yang banyak dan diarahkan untuk menggunakan segala peluang yang ada untuk mengambil jenazah Rasulullah SAW untuk dibawa pulang bersama mereka.

Terlebih dahulu mereka berdua perlu mengaburi mata masyarakat di Madinah dengan berlagak seperti orang alim dan sentiasa datang ke Masjid Nabawi untuk melawat serta bersolat di dalamnya.Selain itu mereka turut berlakon menjadi orang yang pemurah dengan memberi sedekah kepada fakir miskin dan selalu menziarahi perkuburan Baqi’. Ternyata lakonan mereka berdua itu berjaya memperdayakan orang ramai terutamanya penduduk Madinah.

Mereka berdua juga menceritakan bahawa mereka menggali terowong bermula dari rumah sewa secara rahsia hingga ke dalam makam Rasulullah SAW. Tanah-tanah dari terowong tersebut dibuang ke dalam telaga yang terletak berhampiran kediaman mereka dan ada kalanya diisi ke dalam beg kulit untuk dibuang di perkuburan Baqi’. Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki menggigil kemarahan apabila mengetahui hal tersebut lalu kedua-dua lelaki tersebut dijatuhkan hukuman mati dan badan mereka berdua dibakar selepas itu setimpal dengan jenayah yang dilakukan mereka.

Setelah itu, Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki mengarahkan supaya digali lubang di sekeliling makam Nabi, dalamnya sampai ke air. Kemudian dipenuhkan dengan timah sampai ke atas untuk dijadikan pagar bawah tanah bagi melindungi makam tersebut.”

Kisah ini dinukilkan daripada kitab Wafa’ al-Wafa’ bi Akhbar Dar al- Musthafa[2] dan juga Khulasah al-Wafa bi Akhbar Dar al-Musthafa[3] yang dikarang oleh Ali bin Abdullah bin Ahmad al-Hasani al-Samhudi (wafat 911 H).

Kebenaran daripada kisah ini

Namun begitu, menurut Syeikh Fayez bin Ali al-Fayez, Pengarah Pameran al-Haramain al-Syarifain ( مدير معرض الحرمين الشريفين), menjelaskan bahawa kisah ini sebenarnya tidak benar. Hal ini berdasarkan beberapa fakta yang dikemukakan oleh beliau, antaranya:[4]

  • Ibn Asakir (wafat 571H) hidup sezaman dengan Sultan Nuruddin Zinki (wafat 561H) di Syam, beliau seorang yang terkenal dengan kitab Tarikh al-Dimasyq, tetapi beliau tidak pernah meriwayatkan dan menceritakan kisah ini dalam mana-mana karya beliau.
  • ‘Imad al-Din al-Katib al-Asbahani (lahir 519H – wafat 597 H), terkenal dengan kitab al-Barq al-Syami yang hidup sezaman dengan Sultan Nuruddin Zinki di bumi syam, tetapi beliau tidak menceritakan ataupun meriwayatkan kisah ini.
  • Imam al-Dzahabi (wafat 748H) yang hidup sezaman dengan Jamaluddin al-Matori (wafat 741H). Beliau terkenal dengan kitab Siyar A’lam al-Nubala’. Beliau menceritakan mengenai “Nuruddin Mahmud bin Mahmud Zinki al-Turki” di dalam kitabnya[5], namun beliau tidak menceritakan kisah ini sebagaimana Jamaluddin al-Matori menukilkan kisah ini. Hal ini kerana Jamaluddin al-Matori menyatakan diakhir kisah ini dengan berkata:

هَكَذَا حَدَّثَنِي عَمَّنْ حَدَّثَهُ

Maksudnya: Begitulah yang diceritakan kepadaku, daripada sesiapa yang menceritakannya.[6]

Hal ini bermakna, kisah ini diceritakan tanpa ada sanad, sedangkan Imam al-Dzahabi tidak akan menukilkan mana-mana kisah tanpa sanad.

Penulis kitab al-Madinah Baina al-Madhi wa al-Hadhir,  al-Syarif Ibrahim bin Ali al-‘Ayyasyi menyatakan kisah yang diceritakan ini sangat tidak masuk akal. Antara hujjah beliau:

  • Tidak ada manusia di dunia ini yang mengingkari kedudukan Nabi SAW di sisi Allah SWT. Allah yang menjaga Nabi SAW sejak baginda lahir sehinggalah baginda wafat. Allah menyelamatkan baginda daripada dibunuh oleh persepakatan kaum Quraisy, Allah menyelamatkan daripada apa-apa musibah yang menimpa baginda. Bagaimana Rasulullah SAW meminta pertolongan daripada manusia ketika sudah wafat, sedangkan Allah menjaga baginda ketika mana baginda hidup dan juga mati. Hal in sangat tidak masuk akal.
  • Ibn Kathir (wafat 774 H) menulis terjemahan dan juga peribadi Sultan Nuruddin Mahmud Zinki di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah[7].Jika kisah ini benar, pasti beliau akan menceritakan mengenai kisah ini, tetapi beliau langsung tidak menukilkan kisah mengenainya di dalam kitab beliau.
  • Secara logiknya, tidak masuk akal apabila dua orang yang cuba mencuri jasad Nabi SAW itu datang untuk mencuri jasad Nabi dan memindahkannya dari Madinah ke negara mereka di Maghrib dengan menggunakan tenaga dua orang sahaja. Mustahil mereka akan berjaya memindahkannya tanpa diketahui orang. Pastilah perbuatan mereka akan terbongkar sekiranya mereka berjaya mencuri jasad Nabi dan membawanya secara terangan ketika mereka memulakan perjalanan pulang ke tempat asal mereka. Hal ini sangat tidak masuk akal.
  • Sebagaimana yang dikatakan, menurut pegangan beliau, kisah ini adalah kisah khayalan yang direka bertujuan untuk mengangkat darjat Sultan Nuruddin Zinki.[8]

Kesimpulan

Berdasarkan hujjah-hujjah yang kami kemukakan, kami cenderung dengan pandangan dan hujjah yang mempertikaikan kisah cubaan mencuri jasad Nabi SAW oleh dua orang pemuda dari Maghrib ini. Kami juga cenderung bahawa kisah ini sebenarnya tidak benar walaupun kisah ini telah tersebar luas kepada kita sejak zaman berzaman.

Akhirnya, semoga Allah SWT menunjukkan kepada kita kebenaran dan menjauhkan kita daripada kebatilan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya:Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 28 Januari 2022 bersamaan 25 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat al-Ta’rif bima Ansati al-Hijrah min Ma’alim Dar al-Hijrah, hlm. 208-209

[2] Lihat Wafa’ al-Wafa’ bi Akhbar Dar al-Musthafa , 2/185-186

[3] Lihat Khulasah al-Wafa bi Akhbar Dar al-Musthafa , 2/175

[4] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=aqnp80zXz_M (Diakses pada 27 Januari 2022)

[5] Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 20/531

[6] Lihat al-Ta’rif Bima Ansati al-Hijrah min Ma’alim Dar al-Hijrah, hlm. 209

[7] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah (16/480)

[8] Lihat al-Madinah Baina al-Madhi wa al-Hadhir, hlm. 161-164

Leave a Reply

Your email address will not be published.