Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah syarat-syarat sah sebagai pewasiat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Wasiat

Wasiat menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kehendak yang penghabisan yang disampaikan oleh orang yang hampir meninggal dunia (berkenaan harta dan lain-lain) atau juga didefinisikan sebagai pesanan terakhir.

Menurut Sayyid Sabiq, wasiat didefinisikan sebagai hadiah daripada seseorang kepada orang lain sama ada secara ‘ain, hutang, atau manfaat supaya ianya dimiliki oleh orang yang diwasiatkan sebagai hadiah selepas kematian pemberi wasiat. (Lihat al-Fiqh al-Sunnah, 3/583)

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ ‏

Maksudnya: “Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”

Riwayat al-Bukhari (2438) dan Muslim (1627)

Dalam Syarh Riyadh al-Salihin oleh Ibn Uthaimin (3/460) menyatakan bahawa: Tidak sepatutnya seseorang itu membiarkan dua malam berlalu melainkan dia telah menulis wasiat yang ingin dia sampaikan. Sejak Ibn Umar R.A mendengar kata-kata ini daripada Rasulullah, dia tidak pernah melalui satu malam pun melainkan dia telah menulis wasiatnya.

Syarat-syarat Pewasiat

Wasiat adalah sah bagi orang yang memenuhi beberapa syarat berikut:

  1. Berakal: Ia adalah syarat yang mesti ada, khususnya dalam soal memberi hadiah dan sedekah. Wasiat tidak sah jika dilakukan oleh orang gila atau terencat akal, orang yang pengsan dan orang yang mabuk. Kesemua mereka dianggap orang-orang yang kehilangan akal, yang merupakan asas kepada taklif. Oleh itu, orang-orang ini tidak layak memberi sedekah.
  2. Baligh: Syarat ini juga adalah asas kepada taklif. Dengan ini, adalah tidak sah wasiat daripada seorang kanak-kanak, sekalipun telah mumayyiz kerana ia tidak layak untuk bersedekah.

iii. Pilihan: Wasiat tidak sah jika dilakukan oleh orang yang dipaksa. Ini kerana wasiat bermakna menyerahkan hak milik. Maka, ia perlu melalui keredhaan dan pilihan pemiliknya.

  1. Merdeka: Tidak sah wasiat daripada seorang hamba sama ada qinna, mudabbir atau mukatib kerana hamba bukan pemilik. Bahkan, diri dan hartanya adalah merupakan milik tuannya.

Syara’ mengaitkan wasiat dengan pusaka dan perwarisan, sedangkan hamba tidak boleh mewariskan hartanya. Dengan ini, hamba tidak dibenarkan terbabit dalam soal wasiat.

Berdasarkan kepada syarat pewasiat yang dinyatakan tadi, maka wasiat daripada golongan berikut adalah sah:

  1. Kafir: Ini kerana ia layak untuk bersedekah.
  2. Orang yang dihalang daripada berbelanja (al-Mahjur ‘alaih) kerana kebodohannya (safih). Ini kerana tindakannya adalah sah selain beliau juga memerlukan pahala selepas kematiannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/47)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam