#801: Memelihara Biawak

Soalan

Apakah hukum memelihara biawak?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Biawak merupaka Reptilia yang kebanyakannya berasal dari Asia , Afrika dan Australia. Namun ia juga boleh ditemui di bahagian benua Amerika disebabkan oleh perdagangan haiwan peliharaan haram. Biawak terkenal dengan kukunya yang besar, ekor yang kuat, leher yang panjang, dan kaki yang berkembang dengan baik. Mereka boleh bergerak dengan pantas dan kuat dalam mengejar mangsa. Kebanyakan biawak berada di darat dan sebahagian besarnya adalah karnivor. Mereka akan makan apa sahaja daripada serangga dan burung sehingga mamalia kecil bergantung pada saiz mereka.[1]

Hukum Memelihara Haiwan

Membela sesuatu binatang untuk dijadikan haiwan peliharaan adalah dibolehkan di dalam Islam selagi mana tidak berlaku zalim terhadap binatang tersebut serta tiada larangan yang menghalang daripada memelihara binatang-binatang tersebut seperti khinzir dan anjing. Perkara ini boleh dilihat berdasarkan hadis Nabi SAW yang berikut. Daripada Anas bin Malik RA, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ ‏ “‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ‏” نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا‏.‏

Maksudnya: Nabi SAW merupakan insan yang paling baik akhlaknya. Aku mempunyai seorang saudara lelaki yang diberi gelaran Abu Umair – dia berkata: Aku kira dia sudah berhenti daripada meminum susu ibu. Sekiranya Baginda datang, Baginda akan bertanya: “Wahai Abu ‘Umair! Apa yang sedang dilakukan al-Nughair?” iaitu sejenis burung pipit yang selalu dia bermain-main dengannya. Kadang-kala apabila tibanya waktu solat sedangkan Baginda berada di rumah kami, maka Baginda menyuruh untuk disapu (dibersihkan) tikar yang duduk di atasnya, lalu direnjis dengan air. Kemudian Baginda solat dan kami pun berdiri di belakang Baginda, Baginda mengimamkan kami.

Riwayat al-Bukhari (6203)

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari menyatakan: Berdasarkan hadith ini, dibolehkan membelanjakan harta untuk permainan kanak-kanak pada perkara yang harus dan dibolehkan juga mengurung burung di dalam sangkar dan semisalnya, dan mencukur sayapnya. (Lihat Fath al-Bari, 10/583)

Bahkan diwajibkan bagi sesiapa yang memelihara jenis-jenis haiwan yang dibolehkan untuk dipelihara dengan berbuat baik kepada mereka, memberikan mereka makan sebagaimana yang mereka perlukan. Hal ini kerana terdapat peringatan daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya:Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makanan, bahkan tidak membiarkannya memakan serangga-serangga tanah.

Riwayat al-Bukhari (3318), dan Muslim (2242)

Imam al-Khatib al-Syirbini menukilkan bahawa haiwan bahimah ini ialah haiwan yang muhtaram (yang dimuliakan yakni bukan haiwan perosak), tidak terhad kepada haiwan ternakan berkaki empat, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Azraie. Menjadi kewajiban bagi pemilik haiwan berkenaan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan. (Lihat al-Iqna`, 2/482)

Perbezaan Antara Biawak dan Dhab

Jika diteliti, terdapat perbezaan yang ketara di antara dhab dan biawak yang biasa kita kenali di Malaysia. Dalam bahasa Arab biawak yang biasa kita kenali itu dipanggil sebagai waral (الوَرَلُ) manakala dalam bahasa Inggeris pula ia dikenali sebagai Monitor lizard. Biawak yang biasa kita ketahui itu memiliki leher yang panjang, ekor dan cakar yang kuat. Berbeza dengan dhab yang berekor besar dan mempunyai kulit bersisik tebal. Selain itu, biawak termasuk dalam kategori haiwan pemangsa yang tidak boleh dijinakkan, berbeza dengan dhab yang dianggap sebagai haiwan jinak. Begitu juga dhab tergolong dalam kategori haiwan herbivor yang memakan tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran sedangkan kebanyakan biawak pula tergolong dalam kategori haiwan karnivor dan pemangsa. Ia memakan telur, reptilia yang lebih kecil, ikan, burung, serangga, dan mamalia kecil [2], sehinggakan dhab pun menjadi makanan kepadanya.[3]

Selain itu juga dhab dianggap oleh masyarakat Arab sebagai haiwan yang elok dan memujinya sebagaimana yang disebutkan oleh Ahmad ‘Umairah dalam hasyiahnya. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 4/259) Sedangkan menurut al-Damiri, biawak dihukumkan sebagai haram kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang melata dan para ulama tidak mengecualikannya seperti dhab, landak dan weasel. Antara bukti yang menguatkan lagi pengharamannya — dan ia dianggap jijik berbeza dengan dhab — ialah ia boleh mengalahkan ular dan memakannya. Malah, ia juga boleh menghalau ular keluar dari lubangnya, lalu ia menjadikan lubang tersebut tempat tinggalnya. Di samping itu, cengkaman biawak juga adalah lebih kuat daripada cengkaman dhab. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/542)

Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa dhab dan biawak sebagaimana yang biasa kita ketahui merupakan haiwan yang berbeza.

Hukum Memelihara Biawak

Namun begitu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan mengenai haiwan yang berbahaya dan yang memudharatkan. Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh mereka di mana sahaja mereka ditemui. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا

Maksudnya: “ Lima binatang fawasiq yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram (atau dalam keadaan berihram), iaitu ular, burung gagak hitam bercampur putih, tikus, anjing gila, burung helang.

Riwayat al-Bukhari (3314) dan Muslim (1198),

Imam al-Nawawi menyatakan di dalam syarahnya: Perkataan fawasiq yang di dalam hadith ini bermaksud binatang-binatang pengganggu dan perosak. Berdasarkan hadith ini juga, kebanyakan ulama’ bersepakat bahawa harus membunuh binatang-binatang tersebut sama ada di tanah haram dan juga di luar tanah haram. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/113-114)

Manakala, biawak pula bersifat ganas serta mengancam haiwan ternakan manusia menjadikan dia (biawak) termasuk dalam kategori seperti yang disebutkan di dalam hadis di atas. Di samping biawak juga memakan makanan yang jijik seperti bangkai menjadikannya ia tidak sesuai untuk dipelihara oleh umat Islam di dalam rumah kerana agama Islam amat mementingkan isu kebersihan. Sifat biawak ini adalah sama dengan sifat burung helang yang disunatkan untuk dibunuh berdasarkan tafsir hadith di atas.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami berpandangan bahawa dilarang untuk memelihara biawak bagi umat Islam di dalam rumah di atas dasar menutup mafsadah yang ada. Sekalipun haiwan ini tidak disebut di dalam hadith Nabi SAW dengan jelas sepertimana lima jenis haiwan yang lain, namun sifat semulajadi biawak yang sama dengan haiwan yang dinyatakan di dalam hadith menjadikan biawak tergolong dalam haiwan perosak di atas.

Berkaitan isu kebersihan pula, biawak ialah haiwan yang memakan benda-benda yang kotor serta jijik turut menjadikan haiwan tersebut tidak sesuai untuk dipelihara di dalam rumah umat Islam. Hal ini kerana, implikasi daripada kesan kotor haiwan tersebut akan membawa kepada kesempurnaan sesuatu ibadat kepada Allah SWT. Oleh itu, memelihara haiwan seperti ini dilihat lebih membawa keburukan daripada kebaikan kepada pemelihara tersebut. Justeru, kepada mana-mana pemelihara disarankan untuk memelihara haiwan yang lebih mesra sifatnya kepada manusia serta tidak membawa kesan negatif kepada tuannya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://a-z-animals.com/animals/monitor-lizard/#

[2] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Monitor_lizard. Diakses pada 26 Januari 2022. Lihat juga https://barrobahr.com/a/ حيوان-الضب-أهم-المعلومات-عنه-والفرق-بينه-وبين-الورل. Diakses pada 26 Januari 2022.

[3] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=qNNPH-2iWQg, dan https://www.youtube.com/watch?v=POYXNJ4sVXs. iakses pada 26 Januari 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *