#813: Memakan Llama

Soalan:        

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan daging llama? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

Surah al-Baqarah: 168

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya — yakni makan dan ambil manfaat daripadanya, — bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk — yakni kotor dan jijik — seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu — yakni untuk dimakan dan diambil manfaatnya — adalah harus. Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80

Definisi llama

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, llama ialah sejenis binatang berbulu tebal daripada genus Lama yang berasal dari Amerika Selatan, rupanya seakan-akan unta tetapi tidak mempunyai bonggol, biasanya digunakan untuk mengangkut barangan.[1]

Secara umumnya, llama ialah anggota yang terbesar dalam famili unta di Amerika Selatan. Llama yang lebih kecil dikenali sebagai alpaka, adalah haiwan bela jinak yang berasal daripada keturunan guanaco. Vicuna adalah satu-satunya saudara kepada llama. lama tidak mempunyai bonggol dan tingginya kira-kira 1.2 meter pada paras bahu. Bulunya yang tebal dan panjang berwarna perang, kuning pucat, kelabu, putih atau hitam. Llama betina melahirkan seekor anak pada satu masa. Llama paling berguna sebagai haiwan pengangkut. llama biasanya boleh membawa muatan sehingga kira-kira 60 kilogram, dan bergerak tegap melalui denai di kawasan pergunungan. Ia boleh berjalan lebih daripada 30 kilometer sehari dengan muatan penuh. Sekiranya llama merasakan muatannya terlalu berat atau la berasa penat, ia akan baring dan tidak mahu bergerak. Apabila ia marah atau diserang, ia akan meludahi muka musuhnya dengan air liur yang berbau busuk.

Llama sangat berguna kepada Orang Asli Amerika di Banjaran Andes Amerika Selatan. Apabila penakluk Sepanyol datang ke kawasan ini pada tahun 1500-an, lebih kurang 300 000 llama sangat digunakan untuk mengangkut perak dari lombong. Orang Asli Amerika masih lagi menggunakan llama untuk mengangkut barang. Mereka memakan daging anak llama. Mereka menggunakan bulu llama untuk membuat pakaian dan kulitnya untuk membuat sandal. llama tidak mahal untuk dibela. la tahan lasak dan memakan rumput dan pokok renek yang tumbuh di gunung yang tinggi. Llama tidak perlu meminum banyak air. la boleh memperoleh lembapan daripada tumbuh-tumbuhan. Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 12/334-335.

Gambar di atas: Llama

Hukum memakan llama

Mengenai hal ini, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

Surah al-Ma’idah: 1

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

Surah al-Baqarah: 29

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

Surah al-Jathiyah: 13

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2.) Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125.

Oleh itu, kami berpendapat bahawa daging llama adalah halal dimakan. Lebih-lebih lagi, llama juga bukanlah tergolong dalam kategori haiwan pemangsa yang memburu mangsanya sebagai makanan seperti singa, memerang dan lain-lain. Akan tetapi llama merupakan haiwan herbivor yang hanya makan rumput dan pokok renek.

Selain itu, llama dilihat hampir kepada unta dan termasuk dalam keluarga unta. Maka boleh untuk kita katakan bahawa ia termasuk dalam jenis unta dan unta termasuk dalam haiwan yang halal dimakan dagingnya. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji bahawa antara binatang yang halal dimakan ialah binatang ternakan (الأنعام), iaitu unta, lembu, biri-biri, kambing, kuda, seladang, keldai liar, kijang, arnab dan lain-lain, yang dianggap elok oleh orang Arab, yang kemudiannya diakui halal oleh syarak. Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/68.

Tambahan lagi, disebutkan juga dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa setiap haiwan liar yang tidak mempunyai taring yang digunakan untuk memburu haiwan lain sebagai makanannya, dan bukan daripada jenis haiwan yang melata (yakni hasyarat), dan haiwan tersebut adalah seperti antelop, lembu liar, keldai liar, unta liar. Jenis-jenis haiwan seperti ini adalah halal menurut ijmak (kesepakatan) kaum Muslimin kerana ia termasuk dalam makanan yang baik-baik. Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/134.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa daging llama adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana ia mirip kepada haiwan ternakan seperti unta dan termasuk dalam keluarga unta. Justeru, diharuskan untuk memakannya sebagaimana diharuskan untuk memakan unta. Selain itu, ia bukanlah haiwan yang memiliki taring yang berburu bagi mendapatkan makanannya, tetapi termasuk dalam jenis haiwan herbivor yang hanya memakan rumput, jerami dan seumpamanya. Lebih-lebih lagi, fakta menunjukkan bahawa llama juga disembelih bagi mendapatkan dagingnya untuk dimakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=llama. Diakses pada 30 Mac 2022.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *