#817: Membaca Quran Tanpa Wudhu

Soalan

Apakah dibolehkan membaca al-Quran secara hafazan ataupun dengan tidak memegang mushaf tanpa wudhu’?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya.[1]

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.[2]

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bi Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.[3]

Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.[4]

Membaca al-Quran Tanpa wuduk

Dalam hal membaca al-Quran terdapat adab-adab yang disarankan oleh para fuqaha’. Antaranya ialah membersihkan mulut dengan bersiwak atau selainnya. Begitu juga disunatkan bagi seseorang yang hendak membaca al-Quran itu menyucikan dirinya.[5]

Imam al-Nawawi menyebutkan: Disunatkan membaca al-Quran ketika ia dalam keadaan suci dan sesiapa yang membaca al-Quran dalam keadaan ianya berhadas maka diharuskan, dan ini merupakan ijma’ para ulama. Imam al-Nawawi menukilkan pandangan Imam Haramain menyebut bahawa membaca al-Quran ketika berhadas bukan perkara yang makruh akan tetapi ia meninggalkan perkara yang afdhal. Imam al-Nawawi menyebut lagi, dan bagi orang yang berjunub (berhadas besar) dan haid maka haram bagi mereka membaca al-Quran.[6]

Hal ini sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Ali RA menyebut:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقْرِئُنَا الْقُرْآنَ عَلَى كُلِّ حَالٍ مَا لَمْ يَكُنْ جُنُبًا

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW membacakan kepada kami al-Quran dalam setiap keadaan, melainkan dalam keadaan berjunub.[7]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa dibolehkan untuk membaca al-Quran tanpa wudhu’ secara hafazan ataupun dengan tidak memegang mushaf. Namun yang paling terbaik dalam membaca al-Quran ialah dengan membacanya dalam keadaan suci daripada hadas kecil dan hadas besar, iaitu dengan berwudhu’.

Kami juga menasihatkan supaya sentiasa menjaga adab-adab ketika membaca al-Quran sepertimana yang digariskan oleh para ulama seperti menutup aurat, mengadap kiblat dan membersihkan mulut atau seumpamanya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

 

[1] Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2

[2] Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8

[3] Riwayat al-Tirmizi (2910)

[4] Riwayat Muslim (804)

[5] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 33/34-35

[6] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran, 1/73; al-Itqan fi Ulum al-Quran, 1/363

[7] Riwayat al-Tirmizi (146)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *