Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukumnya jika suami terus tidur selepas melakukan persetubuhan tanpa mandi wajib?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ

Maksudnya: “Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Imam al-Baghawi berkata: Firman Allah SWT: “فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ” – “Bersetubuhlah dengan mereka” yang dimaksudkan di sini adalah berhubungan secara sah, yang disebut dengan “berhubungan” kerana bertemunya kulit masing-masing. “وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَكُمْ” – Maksudnya, carilah apa yang telah ditentukan oleh Allah untuk kamu. Ada yang berpendapat bahawa apa yang telah ditulis oleh Allah untuk kamu dalam Lauh al-Mahfuzh adalah mengenai anak. Pendapat ini disebut oleh kebanyakan mufassir. Mujahid berkata: “Carilah anak, jika isteri ini tidak mengandung, carilah yang lain.” Manakala Qatadah berkata: “Dan carilah kemudahan yang telah ditulis oleh Allah untuk kamu, berupa kebenaran makan, minum, dan bersetubuh yang tercatat dalam Lauh al-Mahfuz.” (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/207)

Seterusnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Seterusnya, para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).

Selain itu, sebagaimana yang kita maklumi bahawa mandi wajib tujuannya adalah untuk mengangkat hadas besar. Justeru, mandi wajib hendaklah dengan menggunakan air mutlak, yang boleh digunakan bagi mengangkat hadas dan membersihkan najis. Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).

Tambahan lagi, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan beberapa contoh air mutlak. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh beliau bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).

Dalam menjawab persoalan di atas, terdapat beberapa riwayat berkenaan hal ini yang diriwayatkan oleh Abu Salamah R.A, beliau bertanya kepada Aisyah R.Anha :

أَكَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَرْقُدُ وَهْوَ جُنُبٌ قَالَتْ نَعَمْ وَيَتَوَضَّأُ

Maksudnya: Adakah Nabi S.A.W pernah tidur dalam keadaan berjunub ? Kemudian Aisyah menjawab : Ya, dan baginda berwuduk (terlebih dahulu sebelum tidur).

Riwayat Al-Bukhari (286)

Ibn Rajab al-Hanbali berkata : ‘’Hadith ini menunjukkan harusnya untuk melewatkan mandi junub tanpa sebarang dharurat. Akan tetapi sekiranya dia hendak tidur maka disunatkan untuk dia berwuduk terlebih dahulu’’. (Lihat Fath al-Bari li Ibn Rajab, 1/349).

Demikian juga seperti yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata :

اسْتَفْتَى عُمَرُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَيَنَامُ أَحَدُنَا وَهوَ جُنُبٌ قَالَ نَعَمْ إِذَا تَوَضَّأَ

Maksudnya: Umar pernah bertanya kepada Nabi S.A.W : ‘’Adakah boleh seseorang dari kami tidur dalam keadaan dia berjunub ?’’. Lalu jawab Rasulullah S.A.W : ‘’Ya boleh, apabila dia telah berwudhu’’.

Riwayat Al-Bukhari (289)

Terdapat juga riwayat yang lain daripada Ibn Umar R.A beliau berkata : Umar pernah menceritakan kepada Rasulullah S.A.W bahawa dia berjunub pada waktu malam. Kemudian Rasulullah S.A.W berkata :

تَوَضَّأْ وَاغْسِلْ ذَكَرَكَ ثُمَّ نَمْ

Maksudnya : Berwudhulah kamu dan basuhlah kemaluan kamu kemudian tidurlah.‏

Riwayat al-Nasa’i (261)

Namun, di sisi fuqaha al-Syafi’iyyah dan selain mereka, arahan yang terdapat di dalam riwayat di atas ini bukanlah merujuk kepada makna wajib, sebaliknya merujuk kepada hukum mustahab iaitu disunatkan. Ini kerana terdapat beberapa riwayat lain yang menunjukkan bahawa hukumnya adalah mustahab sahaja.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa tidak mengapa seseorang yang sedang berjunub untuk tidur tanpa berwudhu dan tanpa mandi wajib dan menangguhkannya selepas bangun daripada tidur, dan hal tersebut adalah dibolehkan dan tidak termasuk dalam perkara yang dilarang. Namun begitu, jika seseorang yang sedang berjunub dapat menyegerakan mandi wajib terlebih dahulu bagi mengangkat hadas besar yang sedang ditanggung, maka ia adalah lebih baik. Jika dia tetap tidak dapat melakukan mandi wajib sebelum tidur kerana kepenatan atau seumpamanya, maka sekurang-kurangnya dia berwudhu sebelum tidur. Sekiranya dia tidur dalam keadaan berjunub tanpa berwudhu terlebih dahulu, maka hukumnya adalah makruh.

Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita pasangan yang soleh atau solehah serta menganugerahkan kepada kita semua zuriat-zuriat yang menjadi penyejuk mata buat setiap orang yang melihatnya. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”