Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam syariat Islam, adakah khitab (seruan) atau arahan yang ditujukan kepada perempuan turut merangkumi lelaki, dan begitu juga sebaliknya? Jika ya, adakah terdapat contoh dalil atau pandangan ulama yang menjelaskan perkara ini?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Hukum dalam Islam yang diarahkan kepada lelaki tidak semestinya melibatkan wanita, begitu juga sebaliknya, melainkan ada dalil atau konteks khusus yang menyatakan ia melibatkan kedua-duanya.

Ibn Qudamah berkata bahawa wanita termasuk dalam lafaz jamak yang disandarkan kepada “manusia” atau yang tidak menunjukkan jelas bentuk lelaki atau perempuan, seperti alat syarat. Namun, mereka tidak termasuk dalam istilah khusus untuk lelaki seperti “lelaki” atau “laki-laki”. Mengenai lafaz jamak muzakkar seperti “Muslimin” atau kata ganti lelaki dalam firman Allah, “Makanlah dan minumlah,” Qadhi memilih pendapat bahawa wanita termasuk di dalamnya, seperti pandangan sebahagian ulama Hanafi dan Ibn Daud. Namun, Abu al-Khattab dan kebanyakan ulama berpendapat wanita tidak termasuk kecuali ada dalil lain, kerana Allah secara khusus menyebut “Muslimat” dengan lafaz berbeza. Beliau menjelaskan bahawa dalam bahasa Arab, jika lelaki dan wanita berkumpul, bentuk muzakkar diutamakan, seperti jika seseorang berkata kepada sekumpulan lelaki dan wanita, “Bangunlah dan duduklah,” maka ia mencakupi kedua-duanya tanpa perlu perincian lebih lanjut. Ini ditegaskan melalui firman Allah, “Turunlah kamu semua,” yang ditujukan kepada Adam, Hawa, dan syaitan. Kebanyakan ayat al-Quran menggunakan lafaz muzakkar, seperti “Wahai orang-orang yang beriman” dan “Hamba-hamba-Ku yang melampaui batas,” di mana wanita turut termasuk dalam lafaz umum ini, meskipun terkadang disebut secara khusus untuk memperjelas maksud, seperti dalam firman-Nya tentang Jibril dan Mikail yang termasuk dalam kategori malaikat. (Lihat Raudhah al-Nazir, 2/45)

Syeikh al-Amin al-Syanqiti memberikan perincian berkenaan isu ini dengan membahagikan lafaz umum dalam syariat kepada tiga kategori, iaitu:

  • Kategori Pertama: Lafaz yang merangkumi lelaki dan wanita secara ijmak, contohnya, panggilan umum seperti: يَا أَيُّهَا النَّاسُ “Wahai manusia.” Begitu juga dengan penggunaan alat syarat seperti: مَنْ “Sesiapa.”
  • Kategori Kedua: Lafaz yang tidak merangkumi wanita secara ijmak, contohnya, istilah khusus seperti “lelaki” (الرِّجَالُ) atau “lelaki-lelaki” (الذُّكُورُ). Dalam hal ini, wanita tidak termasuk kerana lafaz tersebut secara spesifik merujuk kepada lelaki sahaja.
  • Kategori Ketiga: Lafaz yang menjadi perselisihan sama ada merangkumi wanita atau tidak
    Kategori ini melibatkan lafaz-lafaz berbentuk jamak, seperti penggunaan kata ganti lelaki (هُمْ) dalam Al-Quran.

Menurut Syeikh al-Amin al-Syanqiti, terdapat perbezaan pendapat mengenai kategori ketiga ini:

  • Pendapat pertama: Wanita termasuk dalam lafaz ini, sebagaimana yang dipilih oleh Imam al-Qadhi dan sebahagian ulama Hanafi serta Ibn Dawud.
  • Pendapat kedua: Wanita tidak termasuk, sebagaimana pendapat majoriti ulama dan pilihan Abu al-Khattab. (Lihat Muzakkirah fi Usul al-Fiqh, hlm. 254)

Jika lafaz suatu perintah atau hukum menggunakan kata ganti lelaki (الرِّجَالُ), maka wanita tidak termasuk dalamnya. Begitu juga sebaliknya, jika lafaz itu dikhususkan untuk wanita, lelaki tidak termasuk. Sebagai contoh, jika disebut:أيما رجلMaksudnya: “Mana-mana lelaki.” Wanita tidak termasuk. Begitu juga jika disebut: أيما امرأةMaksudnya: “Mana-mana wanita.” Lelaki tidak termasuk.

Namun, Tidak termasuknya lelaki atau wanita dalam lafaz khas ini tidak bermaksud hukum tersebut tidak berlaku ke atas mereka. Prinsip asasnya ialah hukum syarak meliputi lelaki dan wanita kecuali terdapat dalil atau petunjuk khusus yang menunjukkan pengecualian.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menjelaskan: “Prinsip asas ialah segala hukum yang ditetapkan untuk lelaki juga berlaku untuk wanita, dan apa yang ditetapkan untuk wanita juga berlaku untuk lelaki, kecuali jika ada dalil yang menunjukkan pengecualian.” (Lihat Syarh al-Mumti‘, 3/27)

Sebagai contoh, sabda Nabi SAW:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktunya, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya, dan taat kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya: ‘Masuklah ke syurga dari mana-mana pintu yang engkau kehendaki.’”

Riwayat Ibn Hibban dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘ (660)

Hadith ini tidak merangkumi lelaki kerana lafaznya dikhususkan kepada wanita. Selain itu, terdapat petunjuk khusus dalam hadith ini, iaitu frasa: “Dan taat kepada suaminya,” yang jelas menunjukkan ia hanya berlaku untuk wanita dan tidak sebaliknya.

Contoh lain yang menunjukkan hukum tertentu dikhususkan untuk wanita ialah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang wanita berpuasa (puasa sunat) sedangkan suaminya hadir kecuali dengan izinnya.”

Riwayat al-Bukhari (5195) dan Muslim (1026).

Hukum dalam hadith ini tidak terpakai untuk lelaki kerana lelaki tidak diwajibkan untuk meminta izin isterinya bagi melakukan puasa sunat. Sebaliknya, wanita perlu mendapatkan izin kerana suaminya mempunyai hak terhadapnya.

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لَا يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ، فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Hak kamu ke atas mereka ialah mereka tidak membenarkan sesiapa yang kamu tidak suka memasuki tempat tidur kamu. Jika mereka melakukannya, pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Hak mereka ke atas kamu ialah kamu menyediakan makanan dan pakaian mereka dengan cara yang makruf.”

Riwayat Muslim (1218).

Hukum ini juga tidak terpakai kepada lelaki kerana hak-hak yang disebutkan adalah khusus untuk wanita. Contohnya, wanita tidak boleh membenarkan seseorang yang tidak disukai suaminya masuk ke dalam rumah suami, sedangkan lelaki bebas melakukan apa yang diingininya di dalam rumahnya.

Perbezaan ini kembali kepada tanggungjawab keutamaan lelaki (القِوَامَة) dan kedudukan yang Allah berikan kepada lelaki terhadap wanita sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pelindung bagi kaum wanita.”

(Surah al-Nisa’: 34)

Yakni, lelaki itu adalah pemimpin ke atas isteri-isterinya, iaitu dengan ditaati setiap perintahnya dalam perkara-perkara ketaatan (iaitu perkara-perkara yang bertepatan dengan syara‘). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/256)

Syeikh ‘Abd al-Wahhab Khallaf pula berkata, menerusi ayat inilah thabit hak ketaatan isteri-isteri kepada suami; kerana kepimpinan itu tidak akan berjaya direalisasikan kecuali apabila arahannya dilaksanakan dan ketaatan kepadanya diwajibkan. (Lihat Ahkam al-Ahwal al-Syakhsiyyah fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, hlm. 122)

Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa khitab dalam syariat Islam umumnya merangkumi lelaki dan wanita, melainkan terdapat dalil yang menunjukkan pengecualian. Prinsip ini penting untuk memastikan keadilan dan keselarasan dalam memahami hukum-hukum syarak. Walaupun terdapat perbezaan dalam tanggungjawab dan hak antara lelaki dan wanita, ia tetap berlandaskan hikmah dan keadilan Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”