Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa pandangan ustaz berkenaan cubaan menghalalkan LGBT atas nama ijtihad baharu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦٓ أَتَأْتُونَ ٱلْفَـٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍۢ مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ ٨٠ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهْوَةًۭ مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌۭ مُّسْرِفُونَ ٨١ وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓا۟ أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌۭ يَتَطَهَّرُونَ ٨٢ فَأَنجَيْنَـٰهُ وَأَهْلَهُۥٓ إِلَّا ٱمْرَأَتَهُۥ كَانَتْ مِنَ ٱلْغَـٰبِرِينَ ٨٣ وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًۭا ۖ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُجْرِمِينَ ٨٤

Maksudnya: Dan Kami juga telah mengutuskan Nabi Lut kepada kaumnya. Ketika dia berkata kepada kaumnya, “Mengapakah kamu melakukan perbuatan fahisyah; yang keji itu, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari umat manusia sebelum kamu.” “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” Dan tidak ada jawapan daripada kaumnya selain berkata, “Usirlah mereka; Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat dari bandar kamu ini. Sesungguhnya mereka ialah golongan yang menganggap diri mereka suci.” Lalu Kami selamatkan Nabi Lut bersama-sama pengikutnya kecuali isterinya yang termasuk dalam golongan yang dibinasakan. Dan Kami turunkan kepada mereka hujan batu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu.

(Surah al-A’raf: 80-84)

Allah SWT telah mengutuskan Nabi Lut A.S sebagai rasul, Baginda menyeru kaumnya kepada agama Allah dan melarang mereka dari melakukan perbuatan yang keji. Baginda melarang mereka dari melakukan hubungan homoseksual yang tidak pernah dilakukan oleh umat sebelum mereka. Baginda menegah mereka dari melakukan hubungan seks sejenis. Baginda mengecam dan mengutuk perbuatan mereka yang melakukan hubungan seks antara lelaki dengan lelaki. Mereka telah melampaui batas dan mereka meninggalkan perkahwinan antara lelaki dan perempuan yang dibenarkan. Reaksi kaum Lut yang tidak mahu menerima nasihat Nabi Lut A.S yang telah melarang mereka dari melakukan homoseksual. Reaksi mereka ialah mereka berusaha untuk mengusir Nabi Lut A.S keluar dari tempat mereka dan mereka tidak ingin diganggu oleh orang yang menentang perbuatan mereka. Mereka berkeras untuk mengusir Nabi Lut A.S kerana Baginda adalah orang yang mensucikan diri dan tidak melakukan  perbuatan keji seperti mereka.

Nabi Lut A.S dan keluarganya diselamatkan kecuali isterinya, isterinya dibinasakan kerana dia tidak beriman kepada suaminya. Selain dari mereka yang dinyatakan itu, semua orang di dalam kawasan kaum Nabi Lut A.S dan isterinya dibinasakan dengan hujan batu dari langit. Mereka semua direjam dengan batu berapi yang membunuh mereka. Allah SWT memerintahkan supaya manusia melihat akibat dan hukuman yang dikenakan kepada golongan homoseksual dan bernafsu songsang ini. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/54-55)

Adapun terdapat  pandangan-pandangan baharu yang dikeluarkan atas nama ijtihad dan penafsiran semula al-Quran ialah berkenaan isu homoseksual dan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) iaitu Beberapa penulis di laman web Islam Liberal Indonesia, Khoirul Anwar dan Khoirul Anam secara terang menyebut bahawa tiada satupun ayat dalam al-Quran yang secara eksplisit (terang dan nyata) yang menolak LGBT, mahupun yang menerimanya. Maka, menurut penulis tersebut, setiap orang bebas mengemukakan tafsiran masing-masing.

Bahkan sebahagian mereka berhujah bahawa yang diharamkan ialah hubungan seks secara paksa (non-consensual sex), dan bukannya perilaku homoseksual itu sendiri. Hujah ini berdasarkan perlakuan rakus kaum Nabi Lut  yang mendesak Baginda menyerahkan dua tetamu tampan (yang sebenarnya malaikat utusan Allah SWT) untuk memenuhi nafsu songsang mereka. Namun hujahan mereka ini jelas ditolak melalui ayat al-Qurzn  yang secara terang menempelak perlakuan homoseksual itu sendiri.

Lebih menghairankan, mereka turut menjadikan riwayat-riwayat sejarah tentang adanya pemimpin kerajaan Muslim yang berorientasi homoseksual dan kewujudan syair-syair Arab yang berunsur homoseksual sebagai dalil bahawa LGBT itu merupakan sebahagian ciptaan Allah SWT yang mesti dipertahankan kewujudan mereka atas dasar kepelbagaian.

Hal ini pastinya bercanggah dengan firman Allah SWT yang secara jelas menempelak umat Nabi Lut A.S yang mengadakan hubungan seks sesama lelaki sebagaimana firman Allah SWT:

أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ ﴿١٦٥﴾ وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ج بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ

Maksudnya: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, (165) Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas!”

(Surah al-al-Syu’ara:165-166)

Perjuangan Nabi Lut dalam menangani dan membanteras kerosakan LGBT adalah suatu perkara yang mesti diberi perhatian. Keutamaan mengawal kerosakan fitrah manusia ini diteruskan oleh Baginda Nabi SAW. Dewasa ini telah lahir kumpulan-kumpulan liberal yang melaungkan hak LGBT atas nama kebebasan individu. Entiti yang cenderung kepada amalan LGBT mula mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda. Perkara ini mestilah ditangani dengan serius oleh semua pihak. Dalam al-Quran, Allah SWT mengingatkan kita tentang ancaman ini melalui kisah Nabi Lut. Perbuatan terkutuk ini disifatkan oleh Allah SWT sebagai “orang yang melampaui batas” seperti yang dinyatakan dalam ayat 81.

Dalam menangani musibah ini, Rasulullah SAW telah memberikan amaran dan ancaman yang keras. Baginda SAW menyifatkan perbuatan ini sebagai perkara yang dilaknat oleh Allah. Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ

Maksudnya: “Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut.”

Riwayat Ahmad (2913). Syeikh Syuaib al-Arnaut menilainya sanadnya hasan

Menurut Ibn al-Jauzi, Rasulullah tidak pernah melaknat pelaku dosa besar sebanyak tiga kali berturut-turut seperti yang dilakukan kepada pelaku homoseksual ini. Di sini jelas menampakkan ketegasan Baginda dalam menangani permasalahan ini. Malah, Rasulullah meletakkan hukuman yang amat keras terhadap pelaku LGBT.

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ وَجَدْتُمُوه يَعمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ والمفْعُولَ بِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut, maka bunuhlah si pelaku dan yang diperlakukan.

Riwayat Abu Dawud (4462). Hadith ini dinilai sebagai Hasan Sahih

Dalam merelisasikan saranan ini, al-Syaukani menjelaskan bahawa Khulafa al-Rasyidin pernah menjatuhkan hukuman mati terhadap pelaku homoseksual. (Lihat al-Sayl al-Jirar, 1/840)

Menurut al-Qardawi, tindakan tegas yang dikenakan oleh Syariat Islam ini adalah bagi membersihkan masyarakat dari budaya yang tidak sihat. Malah perlakuan ini membawa kepada penyebaran penyakit yang tidak diingini. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 150)

Justeru dalam isu ini menurut Dr. Khalif Muammar, ijtihad telah dijadikan alasan dalam mengeluarkan pendapat-pendapat baru yang kelihatannya amat jauh daripada kefahaman muktabar. Golongan Islam liberal berusaha untuk mengubah tafsiran Islam agar selaras dengan keadaan manusia. Perbuatan memahami teks wahyu dalam kerangka duniawi, adalah bersalahan dengan sikap Muslim yang sepatutnya terhadap wahyu. Muslim sepatutnya menurut panduan wahyu sepenuhnya, bukan berusaha mengubah fahaman wahyu agar selaras dengan perspektif manusiawi dan duniawi. (Lihat Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, hlm. 43-45)

Pemahaman terhadap Ilmu tafsir harus berlandaskan pada pendekatan yang ditegaskan oleh al-Quran dan hadis seperti yang dilakukan oleh para ulama. Dalam konteks epistemologi, al-Quran sebenarnya mengikuti dua prinsip utama sebagai landasan ilmiah yang berinteraksi dengan teks agama, iaitu metode ‘periwayatan’ dan ‘pembuktian’.

Menurut Khalid Abd Rahman al-‘Ak , suatu penafsiran harus memenuhi maqasid utama al-Quran, seperti memperbaiki keyakinan, menyampaikan aqidah yang benar, dan membentuk perilaku yang baik. Begitu juga ia hendaklah  menerapkan hukum syariat, dan membina umat, serta menjaga peraturan. Ini juga termasuk dalam menyampaikan kisah-kisah masa lalu sebagai contoh, mengajarkan hal-hal yang relevan dengan zaman, memberikan khabar baik dan buruk, memberikan peringatan, menyampaikan peringatan serta sebagai I’jaz al-Qur’an.[1]

Oleh yang demikian, kecenderungan ke arah penafsiran semula ayat-ayat al-Quran berkenaan isu LGBT ini juga kesan daripada perubahan sikap tamadun Barat terhadap kelompok ini. Kami percaya jika masyarakat Barat pada hari ini tidak mengangkat dan memperjuangkan hak LGBT, nescaya kalangan Muslim liberal tidak akan membangkitkan isu ini.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

[1] Lihat https://ejournal.unipsas.edu.my/index.php/haady/article/view/47/36 Diakses pada 2 Januari 2024