Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana mengubah sikap dan mentaliti dalam mengubah nasib kehidupan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

(Surah al-Ra’d: 11)

Al-Tabari berkata: Maksudnya, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan kesihatan dan nikmat suatu kaum jika mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka dengan perbuatan kezaliman dan permusuhan kepada sesama mereka, sehingga azab-Nya menimpa mereka dan perubahan pun terjadi.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 14/178)

Di antara peranan setiap individu dalam usaha memajukan kehidupannya dan keluar daripada belenggu kemiskinan adalah dengan mengubah sikap dan mentaliti.

Sikap dan pemikiran individu memainkan peranan utama dalam mengubah nasib dan kemiskinan yang dihadapi. Dalam kajian bertajuk Combating Poverty Through Self Reliance: The Islamic Approach oleh Dogarawa menyatakan bahawa sikap bekerja, berdikari dan bergantung kepada diri sendiri (self-reliance) adalah teras dalam sistem ekonomi Islam bagi membasmi masalah kemiskinan. Beliau juga menyatakan bahawa pergantungan oleh seseorang yang mampu berusaha kepada orang lain adalah berdosa dalam agama, menimbulkan stigma sosial dan mengaibkan.

Kajian ini turut menyentuh berkenaan sikap individu yang terlalu bergantung kepada pemberian oleh kerajaan. Beliau menukilkan kajian oleh Sachs yang menyebut bahawa bantuan dan pemberian wang tidak akan mengubah apa-apa dalam mengatasi kemiskinan. Untuk membasmi masalah kemiskinan, ia memerlukan perubahan dalam cara fikir oleh setiap individu. Justeru, ramuan asas dalam sebarang program membasmi kemiskinan adalah konsep berdikari dengan tidak bergantung kepada orang lain (self-reliance).

Strategi membasmi kemiskinan yang boleh dilaksanakan secara praktis dan jelas,  hendaklah merangkumi konsep tidak bergantung kepada orang lain, memberdayakan potensi yang telah dimiliki (empowerment) serta pertumbuhan dan pembangunan jangka panjang. Ia adalah sangat penting memandangkan apa yang berlaku kepada golongan miskin dalam jangka panjang adalah bergantung kepada daya usaha diri mereka sendiri. Memperlengkapkan mereka dengan daya upaya untuk berikhtiar serta memaksimumkan setiap aset yang boleh digunakan, ditambah dengan kerja keras boleh menyelesaikan masalah. Dalam masa yang sama, ia boleh membantu golongan miskin memahami situasi diri mereka dan sebab kenapa masalah kemiskinan ini berlaku.

Dalam Islam, menekankan pemikiran bahawa setiap orang perlu berusaha dan bekerja dalam mencari rezeki dan nafkah. Hal ini kerana terdapat setengah individu yang mendakwa bahawa dengan bertawakal sahaja sudah memadai. Pemikiran ini hendaklah diperbetulkan dan diganti dengan pemikiran untuk berusaha bekerja bersungguh-sungguh dalam mengubah nasib kehidupan. Justeru, kefahaman berkaitan konsep tawakal ini hendaklah dengan kefahaman yang benar seperti mana disebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً

Maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.

Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894)

Al-Munawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, ketahuilah dengan yakin bahawa tiada yang berkuasa melakukan sesuatu kecuali Allah SWT. Dalam erti kata lain, setiap sesuatu yang ada, tidak kira penciptaan, rezeki, pemberian, atau penolakan (halangan), semuanya adalah daripada kehendak Allah SWT. Kemudian, dia berusaha dengan usaha yang baik, bertawakal kepada Allah sambil menunjukkan kelemahan dan berserah hanya kepada-Nya (sebagai tempat pergantungan). (Lihat Faidh al-Qadir, 5/311).

Ini menunjukkan bahawa tawakal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Tawakal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki. Namun, pada masa yang sama, bertawakal dan menyerahkan urusan rezeki itu kepada Allah SWT kerana Dia ialah Maha Pemberi Rezeki; Dia boleh memberikan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan juga boleh menghalang atau menyekat pemberian rezeki kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Dalam hadith ini juga, Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa konsep  tawakal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami‘ al-Tirmizi, 7/8).

Imam al-Suyuti menukilkan bahawa Imam al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman menyebutkan, hadith ini bukanlah dalil untuk duduk bersantai-santai dan enggan melakukan usaha untuk memperoleh rezeki. Sebaliknya hadith ini merupakan dalil yang memerintahkan untuk mencari rezeki kerana burung tersebut pergi pada pagi hari untuk mencari rezeki. (Lihat Qut al-Mughtazi ‘ala Jami‘ al-Tirmizi, 2/567).

Imam al-Ghazali menyatakan, tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap eskapisme[1] bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha atau gagal usahanya, tetapi tawakal itu ialah tempat kembalinya segala usaha. Tawakal bukan menanti nasib sambil berpangku tangan, tetapi berusaha sekuat tenaga dan setelah itu baru berserah diri kepada Allah. Allah lah yang nanti akan menentukan hasilnya. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/65)

Justeru, dalam usaha mengatasi masalah kemiskinan yang dihadapi, setiap individu hendaklah memperbetulkan cara fikir serta mentaliti mereka terlebih dahulu untuk bekerja bersungguh-sungguh dalam mengubah nasib kehidupan.

Perbezaan Minda Orang Kaya dengan Orang Miskin

Kami kemukakan di sini, berdasarkan data-data atau kajian, berkenaan sikap dan minda orang yang kaya, yang berbeza dengan orang miskin.  Di antaranya:

  • Minda Orang Kaya Menetapkan Matlamat Tinggi dan Jauh, Minda Orang Miskin Meletakkan Matlamat Rendah dan Pendek

Minda kaya akan meletakkan sasaran dan matlamatnya pada tahap yang tertinggi dan jelas. Manakala minda miskin pula terkadang tidak memiliki matlamat. Jika ada sasaran dan matlamat sekalipun, maka matlamatnya adalah kecil. Sebagai contoh, ingin mencari wang secukupnya untuk bulan depan.  Kemudian, bulan seterusnya pula, mengulangi matlamat yang sama, iaitu untuk mencari wang secukupnya pada bulan akan datang pula. Justeru, berbanding hanya meletakkan matlamat yang kecil dan bersifat jangka masa pendek, tukarlah kepada matlamat yang besar dan jauh ke hadapan.

  • Minda Orang Kaya Berfikir dengan Besar, Manakala Minda Orang Miskin Berfikir Kecil

Minda orang kaya mempunyai matlamat yang besar dan luar biasa, yang ingin dicapai dalam kehidupan. Manakala minda orang miskin hanya berfikir dalam ruang lingkup yang kecil. Dengan menetapkan matlamat yang besar, seseorang akan memiliki satu fokus dan sasaran untuk dituju. Jika tiada matlamat, maka sudah tentu seseorang tidak tahu ke arah mana yang ingin dia pergi.

  • Minda Orang Kaya Melihat Orang Berjaya dengan Perasaan Inspirasi, Manakala Minda Orang Miskin Melihat Orang Berjaya dengan Perasaan Benci

Orang yang memiliki minda kaya akan mengambil semangat dan inspirasi dengan melihat orang yang telah berjaya. Dengan itu, ia dapat mendorong mereka untuk ikut menjadi hebat. Manakala minda miskin pula akan melihat orang berjaya dengan pandangan negatif. Maka, sewajarnya pandangan tersebut diubah kepada pandangan positif, dengan menjadikan orang berjaya sebagai role-modelatau contoh tauladan yang mendorong mereka untuk turut sama ikut berjaya.

  • Minda Kaya Melihat “Dua” Pilihan, Manakala Minda Miskin Hanya Melihat “Satu” Pilihan

Minda kaya tidak hanya melihat sebagai satu pilihan sahaja, tetapi setiap sesuatu mempunyai pilihan. Sebagai contoh, minda miskin melihat satu pilihan sahaja, sama ada memilih untuk menjalankan perniagaan atau meluangkan masa dengan keluarga. Manakala minda kaya akan menjadikannya sebagai pilihan yang boleh dipilih kedua-duanya sekali, iaitu menjalankan perniagaan dan juga meluangkan masa dengan keluarga. Dengan itu, mereka akan menjadikannya seimbang dengan memiliki kedua-duanya.[2]

Selain daripada itu, hal ini juga boleh dilihat kepada Sunnah Rasulullah SAW dan amalan para Sahabat R.Anhum, di mana walau sebesar mana kesukaran yang dihadapi, maka mereka akan mencari pelbagai idea dan buah fikiran yang bernas melalui kaedah syura sesama mereka. Justeru, kita tidak boleh hanya mengandaikan bahawa itu sahaja pilihan yang ada.

Justeru, sekiranya kita mahu keluar daripada belenggu kemiskinan, maka ubahlah minda daripada minda orang miskin kepada minda orang kaya. Ia merupakan satu langkah awal dalam usaha membawa kejayaan dalam hidup.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

 

[1] Eskapisme bermaksud tindakan atau kecenderungan melarikan diri daripada kenyataan dengan menumpukan fikiran kepada sesuatu perkara lain (biasanya yang kurang baik) daripada masalah yang dihadapi sebagai langkah untuk mencari ketenangan. (Lihat  https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=eskapisme. Diakses pada 27 Disember 2023)

[2] Lihat juga Minda Kaya vs Minda Miskin… Anda Yang Mana? oleh Irfan Khairi, https://www.irfankhairi.com/blog/motivasi/minda-kaya-vs-minda-miskin-bahagian-1/. Diakses pada 28 Disember 2023.