Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah pensyariatan talaq itu melambangkan kemuliaan syariat Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

Surah al-Baqarah (229)

Ayat ini  bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung   (التنجيز)  mahupun  tidak langsung tergantung (التعليق ). Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak ke atas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta’liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya.( Lihat : al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu (7/447)

Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/127) Sekiranya telah berlaku tiga kali penceraian secara khulu’ maka haram untuk lelaki itu menikahi isterinya selagi wanita itu tidak berkahwin dengan lelaki lain. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i,4/202)

Hikmah Pensyariatan Talak

Perkahwinan adalah untuk mengekalkan kehidupan berumah tangga pasangan suami isteri. Allah SWT telah mensyariatkan pelbagai hukum dan adab perkahwinan untuk menjamin kebahagiaan serta menyuburkan hubungan mereka.

Walau bagaimanapun, kadangkala terdapat suami isteri atau seorang daripada mereka tidak mematuhinya. Contohnya, suami tidak mementingkan pemilihan pasangan yang baik. Atau kedua-dua suami isteri, atau seorang daripadanya tidak mematuhi adab pergaulan yang digariskan oleh Islam. Ekoran daripada itu, berlakulah kebencian dan semakin bertambah buruk sehingga tiada lagi ruang untuk berbaik-baik dan tiada lagi cara untuk persefahaman dan hidup bersama.

Dalam keadaan ini, adalah perlu diadakan peraturan sebagai langkah berhati-hati yang boleh dirujuk dalam situasi tersebut. Hal ini adalah membolehkan ikatan perkahwinan itu diungkai tanpa mensia-siakan hak kedua-dua suami isteri tersebut apabila tiada sebab bagi mereka untuk hidup bersama.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ ۚ وَكَانَ اللَّهُ وَاسِعًا حَكِيمًا

Maksudnya: “Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Nisa’: 130)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan, setelah memberikan dorongan dan motivasi untuk mengadakan perdamaian antara suami isteri (dalam ayat sebelumnya), kemudian Allah SWT menyebut dalam ayat ini “وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ” iaitu tentang bolehnya untuk berpisah dan bercerai, sekiranya memang tidak ada jalan lain lagi untuk menghindarinya. Allah SWT menghiburkan hati kedua belah pihak dan menjanjikan kepada masing-masing bahawa Dia akan memberikan kecukupan kepada mereka, jika matlamat sebenar perpisahan itu adalah dengan maksud untuk menghindarkan diri daripada perbuatan tidak menunaikan hak-hak Allah SWT yang telah diwajibkan-Nya. Oleh itu, kedua-dua belah pihak hendaklah bersangka baik kepada Allah SWT. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/285).

Jika talaq ini digunakan oleh suami sebagai cara yang terakhir dalam keadaan genting ini, maka ia adalah penyelesaian yang amat perlu yang tidak dapat dielakkan lagi walaupun ia amat pahit dalam banyak keadaan.

  • Boleh jadi kedua-dua pasangan sukar untuk hidup bersama kerana tabiat yang berbeza meskipun kedua-duanya baik, ketika itu perceraian adalah jalan yang terbaik.
  • Ada pasangan yang cukup baik antara keduanya tetapi tidak dikurniakan anak walaupun telah diusaha sehingga belasan tahun. Apabila mereka bercerai dan kedua-dua mencari pasangan yang baru yang akhirnya kedua-dua pasangan memperolehi anak dan zuriat.
  • Ada pasangan yang mewah dan berada tetapi kedua-duanya saling bersifat ego menyebabkan mereka menjarakkan diri daripada agama. Ketika itu syaitan dan hawa nafsu menguasai diri mereka, akhirnya mereka berpisah tetapi kesan selepas itu masing-masing bermuhasabah dan kedua-duanya menjadi soleh dan solehah.

Secara ringkasnya, kami katakan bahawa apabila sudah gagal segala percubaan untuk mendamaikan antara pasangan suami isteri, dan semua usaha tidak berjaya, maka barulah ketika itu suami boleh mengambil jalan yang terakhir yang ditunjukkan oleh Islam. Hal ini bagi merungkai kekusutan yang tidak menemui jalan penyelesaiannya melainkan dengan perpisahan antara suami isteri secara baik.

Islam membenarkan untuk mengambil jalan ini dalam keadaan terdesak dan terpaksa, apabila tiada lagi jalan lain bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga yang dihadapi melainkan dengannya. Oleh  kerana itulah, Islam tidak menyukainya mahupun menganjurkannya. Bahkan Nabi SAW sendiri bersabda:

أَبْغَضُ الحْـَلاَلِ إِلىَ اللهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.”

Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018). Hadith ini dinilai sebagai dha‘if oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir(4/1244).

Begitu juga Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadith yang lain:

مَا أَحَلَّ اللهُ شَيْئاً أَبْغَضَ إِلَيْهِ مِنَ الطَّلاَقِ

Maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang dihalalkan oleh Allah SWT yang sifatnya sangat buruk sekali lebih daripada talaq.”

Riwayat Abu Daud (2177), al-Baihaqi (15293) dan Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (19537). Hadith ini dinilai sebagai dha‘if oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (4/1244).

Ungkapan yang disifatkan bahawa talaq itu adalah sesuatu perkara halal yang dibenci Allah SWT menunjukkan bahawa talaq itu merupakan suatu keringanan daripada Allah SWT yang disyariatkan kerana darurat atau keperluan, di mana akan timbul daripadanya rasa buruk pergaulan, kehilangan rasa kemesraan di antara kedua suami isteri, sehingga menghindari mereka daripada dapat menegakkan batasan hukum Allah SWT dan hak-hak suami isteri.

Penutup

Pensyariatan hukum talaq dan natijahnya menurut Islam merupakan lambang kemuliaan syariat Islam. Ia juga merupakan dalil yang unggul, bahawa peraturan syariat Islam amat bersesuaian dengan fitrah manusia dan keperluan semula jadinya.

Ini adalah jelas apabila umat-umat yang lain merujuk kembali, iaitu daripada pegangan mereka yang mengharamkan talaq dan menganggap perkahwinan sebagai penjara yang kekal abadi, yang dihuni oleh suami isteri sama ada mereka suka atau tidak.

Hal ini selepas mereka melihat pegangan tersebut akan menimbulkan natijah yang amat buruk dan jenayah yang amat berbahaya. Mereka telah sedar bahawa hubungan suami isteri tidak mungkin berlaku dengan paksaan. Jika dipaksa, akan timbul kecelakaan kepada seluruh keluarga, bahkan ia umpama gunung berapi yang membawa kebinasaan, pembunuhan dan kerosakan. Syariat Islam amat mementingkan usaha mewujudkan persefahaman antara suami isteri berkasih sayang dan hidup bersama yang berkekalan.

Walaupun begitu, usaha ini tidak sekadar mengikat jasad kedua-dua suami isteri itu semata-mata, bahkan ia dilakukan dengan peringatan dan panduan ke arah mewujudkan pelbagai jaminan yang positif bagi menyuburkan kasih sayang dan persefahaman antara mereka.

Dengan cara ini, ia menjauhkan mereka daripada perselisihan dan kebencian. Di antara faktor terpenting yang dianjurkan oleh Islam adalah dengan wujudnya pegangan agama yang sahih dalam kalangan suami isteri, melaksanakan semua kewajipan yang ditentukan serta sentiasa berakhlak mulia, sebagaimana yang diaturkan oleh syariat Allah SWT.

Inilah faktor yang memelihara rumah tangga daripada keruntuhan dan juga mewujudkan syariat sebagai undang-undang yang dirujuk jika perlu, iaitu jika pasangan tersebut cuai daripada melaksanakan adab-adab yang telah disyariatkan oleh Allah bagi memelihara kehidupan rumah tangga dan perasaan cinta serta kasih sayang antara mereka.

Berdasarkan keadaan rumah tangga dan keluarga yang harmoni dan berpegang teguh kepada hukum-hukum Islam dan adab-adabnya, didapati kes-kes penceraian hampir tidak berlaku. Ini kerana kebanyakan perceraian berlaku dalam keluarga yang bebas daripada ikatan Islam dan terkeluar daripada peraturan-peraturan serta adab-adabnya.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT yang bersifat Rahmah agar mengurniakan kepada kita  taufik, hidayah, afiyat dan selamat. Begitu juga rezeki yang halal, kelapangan dan kebahagiaan dalam hidup.

Kami memohon kepada Allah dengan doa yang diajar:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)