Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mohon nasihat berhubung amalan Ilmu Belian, adakah ia boleh diamalkan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Berdasarkan kepada pembacaan kami, Ilmu Belian ini merupakan satu ilmu yang diamalkan dalam seni pertahanan diri silat. Kalimah ‘belian’ itu sendiri, menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat merujuk kepada pawang, bomoh, atau hantu harimau yang mempunyai kekuatan ghaib.[1]
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu kaedah:
الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ
Maksudnya: “Asas dalam memberi hukum ke atas sesuatu, cabangnya adalah terlebih dahulu mesti mempunyai gambaran (menyeluruh).”
Ini merupakan antara kaedah yang masyhur dan amat mulia dalam kalangan ulama yang merentasi mazhab. Al-Jurjani berkata: “Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat. Bukanlah maksud dengan tasawwur dalam kaedah ini semata-mata gambaran pada zihin pada akal dari sesuatu. (Lihat al-Ta‘rifat, hlm. 59)
Abu al-Baqa’ al-Kafawi berkata: “Kadangkala tasawwur dengan maksud ilmu atau pengetahuan. Dan ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam tentang sesuatu perkara. Hal ini kerana tasawwur tersebut adalah dhabit pada zihin dan fikir yang selamat daripada kesilapan. (Lihatal-Kulliyyat, hlm. 290)
Imam al-Ghazali turut menekankan peri pentingnya bagi seorang ilmuwan itu untuk memahami hakikat sebenar perkara yang dibahaskan sebelum itu layak untuk mengkritik atau menerimanya. Beliau menegaskan seseorang yang mengkritik sesuatu perkara tanpa terlebih dahulu memahaminya dengan mendalam adalah ibarat orang yang memanah dengan mata yang tertutup. (Lihat al-Munqiz min al-Dhalal, hlm. 578)
Justeru, kami katakan bahkan disebutkan Ilmu Belian ini sebagai ilmu kebatinan yang hanya dikhususkan kepada murid-murid tertentu sahaja. Menurut seorang pengkaji berkenaan amalan kebatinan dalam seni silat Melayu, Mohd Muhaizam bin Md Ishak, masyarakat Melayu sejak sebelum dari kemunculan Islam di Malaysia lagi telah memiliki kepercayaan terhadap alam ghaib, bahkan wujudnya perdampingan antara alam ghaib dan juga alam nyata.[2]
Berdasarkan kepada dapatan kami melalui penulisan dan video penerangan oleh persatuan silat, ilmu ini dapat dikuasai oleh pengamal silat sekiranya mereka beramal dengan bacaan tersebut:
- Amalkan bacaan Surah al-Ikhlas sebanyak 70 ribu kali dengan sekali khatam, atau juga disebutkan sebagai Qulhu Sekhatam dan sebagainya.
Di dalam Silat Gayong, ‘belian’ ini merujuk kepada binatang yang amat ganas seperti harimau atau singa. Seseorang itu dapat mengamalkan ilmu ini apabila dia berjaya mengamalkan Qulhu Sekhatam, maka ketika itu barulah ‘belian’ itu akan datang kepada orang tersebut.[3] Kami melihat, perbuatan ini adalah dilarang dan tidak lain hanyalah sebahagian dari tipu daya syaitan yang menghasut manusia untuk meletakkan kepercayaan kepada unsur ghaib selain daripada Allah SWT. Pada zahirnya, ia mempunyai persamaan dengan isu Amalan Menurun dalam perubatan tradisional, yang bertujuan untuk menghadirkan satu entiti ghaib ke dalam tubuh badan bagi manfaat-manfaat tertentu.
Perbuatan begini disebutkan sebagai tahdhir al-arwah (تَحْضِيرُ الْأَرْوَاحِ), kerana Ilmu Belian itu bertujuan untuk menghadirkan semangat ghaib harimau yang dianggap dapat memberikan kekuatan fizikal kepada pengamalnya. Memetik fatwa oleh Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi berhubung amalan tahdhir al-arwah, beliau menyatakan bahawa ianya tidak mempunyai asas daripada al-Quran dan al-Sunnah serta satu pembohongan semata-mata. (Lihat al-Fatawa, hlm. 19)
Meminta bantuan fizikal dari satu khadam ghaib begini juga dikhuatiri boleh membawa kepada syirik. Allah SWT berfirman:
وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ ٱلْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ ٱلْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”
(Surah al-Jin: 6)
Syaikh Abu Bakar al-Jazairi meyatakan: Mereka memberitahu tentang perkara yang luar biasa, iaitu terdapat lelaki dari kalangan manusia, termasuk orang Arab dan lain-lain, apabila mereka turun ke suatu tempat yang menakutkan di lembah atau gunung, mereka mencari perlindungan dengan merayu kepada jin jantan. Contohnya, seorang lelaki berkata: “Aku berlindung kepada tuan lembah ini daripada kebodohan kaumnya.” Manusia menjadikan jin-jin itu sebagai perlindungan dari dosa dan perbuatan zalim. (Lihat Aisar al-Tafasir,5/448)
Kami menasihatkan agar kita sentiasa melazimi doa kepada Allah SWT agar dipelihara dari tipu daya syaitan begini. Beginilah yang diajarkan kepada kita, sebagaimana dalam firman-Nya:
وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَـٰطِينِ (٩٧) وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ (٩٨)
Maksudnya: “Dan katakanlah: ‘Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. (97) Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku’. (98)”
(Surah al-Jin: 97-98)
Semoga Allah SWT melindungi kita dari segala perbuatan yang boleh menjerumuskan kita ke dalam lembah kesyirikan. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Wallahu a‘lam
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=belian+I&d=243192&. Diakses pada 27 Jan 2024.
[2] Lihat https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/50843/1/50843.pdf#page=2.83. Diakses pada 27 Jan 2024.
[3] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=ABoHZpjbbMQ. Diakses pada 27 Jan 2024.