Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apa hukum orang yang kerja makan gaji buta. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”

(Surah al-Mukminun:8)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Yakni, jika mereka (orang mu’min) diberi amanah, mereka tidak mengkhianati, malah mereka mengembalikannya kepada pemiliknya. Dan jika mereka membuat perjanjian atau akad, mereka memenuhinya (terma dan syarat).” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/404)

Begitu juga firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”

(Surah al-Anfal: 27)

Al-Maraghi menjelaskan akan larangan mengkhianati amanah sesama manusia dalam segala jenis urusan melibatkan urusan muamalat, akhlak dan aspek sosial. Begitu juga larangan mengkhianati pemerintah dalam perihal politik dan juga peperangan kerana perbuatan itu boleh memberi manfaat kepada pihak musuh. Justeru, dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/191-194)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan amalan memakan gaji buta mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Tindakan ini menunjukkan kegagalan individu untuk menjalankan tanggungjawab dengan integriti dan profesionalisme.

Selain itu, ia memperlihatkan sifat tidak amanah terhadap tugas yang diberikan, di mana individu yang berbuat demikian secara langsung mengkhianati kepercayaan majikan atau organisasi. Perbuatan ini bukan sahaja memberi kesan buruk kepada majikan, seperti kerugian kewangan dan penurunan produktiviti, tetapi juga melibatkan isu keberkatan gaji yang diterima.

Islam amat mementingkan rezeki yang diterima itu hendaklah diperoleh dengan cara yang halal dan diberkati oleh Allah SWT. Yang demikian sebagaimana yang telah ditegaskan dalam firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah:168)

Ini adalah seruan kepada seluruh manusia, baik yang beriman mahupun yang kafir. Allah telah mengurniakan nikmat kepada mereka dengan memerintahkan agar mereka memakan segala yang ada di bumi, seperti bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, dan haiwan, dengan syarat makanan itu adalah, iaitu dibenarkan untuk dimakan. Maksudnya, ia tidak diperoleh melalui cara yang haram seperti merampas, mencuri, atau melalui urus niaga yang dilarang, mahupun diperoleh dengan cara yang tidak dibenarkan, atau digunakan untuk tujuan yang haram. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.80)

Yang demikian juga berkait rapat dengan keberkatan gaji, kerana sumber pendapatan yang halal menjadi asas keberkatan dalam kehidupan. Gaji yang diperoleh melalui usaha yang jujur, urus niaga yang sah, dan pekerjaan yang mematuhi syariat akan membawa keberkatan, menjadikan makanan yang dimakan, pakaian yang dipakai, dan kehidupan seharian lebih diberkati.

Sebaliknya, pendapatan yang diperoleh melalui cara haram seperti riba, rasuah, atau penipuan bukan sahaja menghilangkan keberkatan, malah boleh mendatangkan kemurkaan Allah dan menjejaskan kesejahteraan hidup. Oleh itu, setiap individu harus memastikan sumber rezekinya berlandaskan prinsip halal dan tayyib, sebagaimana yang ditegaskan dalam ayat ini, agar kehidupan mereka dinaungi rahmat dan mendapat keredhaan Allah.

Selain itu juga, ia turun ditegaskan dalam sebuah hadith Nabi SAW:

مَا كَسَبَ الرَّجُلُ كَسْبًا أَطْيَبَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ، وَمَا أَنْفَقَ الرَّجُلُ عَلَى نَفْسِهِ وَأَهْلِهِ وَوَلَدِهِ وَخَادِمِهِ فَهُوَ صَدَقَةٌ

Maksudnya:Tiada seorang pun yang memperoleh pendapatan yang lebih baik daripada jerih payah tangannya sendiri. Dan tidaklah seseorang itu memberi nafkah kepada dirinya, isterinya, anak-anaknya dan hamba-hambanya melainkan ia dikira sebagai sedekah.”

Riwayat Ibn Majah (2138) dan Ahmad (17190). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’(5660)

Justeru, berdasarkan perbincangan di atas, amalan memakan gaji buta bukan sahaja melanggar nilai moral dan etika kerja tetapi juga bertentangan dengan prinsip amanah dan integriti yang dianjurkan dalam Islam. Oleh itu, setiap individu hendaklah memastikan tugas yang diamanahkan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan kejujuran agar pendapatan dan gaji yang diterima itu diperolehi dengan cara yang halal dan mendapat keberkatan. Ingatlah Baginda pernah berpesan:

أَدِّ الْأَمَانَةَ إِلَى مَنْ ائْتَمَنَكَ، وَلَا تَخُنْ مَنْ خَانَكَ

Maksudnya: “Tunaikan amanah kepada siapa yang mengamanahkan kepada kamu dan jangan kamu khianat siapa yang mengkhianati kamu.”

Riwayat Ahmad (15424), Al-Tirmizi (1264), dan Abu Daud (3534)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa: Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya. (Lihat Raudhat al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, 7/337)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam