Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat larangan daripada membunuh diri dalam Islam? Boleh jelaskan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), membunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab kedua kematian bagi mereka yang berumur 15 sehingga 29 tahun.[1] Berdasarkan laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia ‘Preventing Suicide, A Global Imperative’, dianggarkan lebih daripada 800,000 orang di seluruh dunia membunuh diri setiap tahun. Ini bersamaan dengan satu kematian akibat bunuh diri setiap 40 saat. Manakala bagi setiap satu kes kejadian bunuh diri, terdapat kira-kira 25 kes cubaan bunuh diri.[2]

Membunuh diri kebanyakannya dikaitkan dengan penyakit mental dan ia berlaku di serata dunia tidak mengira agama dan budaya. Perkataan putus asa menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud habis atau hilang harapan, atau tidak ada harapan lagi. Dalam Encyclopedia Britannica  pula,  bunuh diri didefinisikan sebagai usaha seseorang untuk mengakhiri hidupnya dengan cara suka rela atau sengaja. Perkataan suicide berasal daripada perkataan latin Sui yang bermaksud diri (self) dan Caedere yang bermaksud membunuh (to kill).

Secara umumnya, terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada keinginan untuk membunuh diri, iaitu:

  • Keluarga yang porak peranda, mempunyai masalah kemiskinan, tempat tinggal yang kurang memuaskan dan juga kelemahan personaliti kendiri.
  • Mengalami pengalaman dalam putus percintaan. Dalam kesedihan yang melampau ini, seseorang sangat memerlukan kekuatan dan kemahiran dalam menanganinya.
  • Keluarga yang mempunyai banyak konflik sehingga kehidupan tidak tenteram dan masing-masing tidak bertanggungjawab sama ada ibu bapa dan adik beradik.
  • Ibu bapa yang tidak mempunyai kemahiran keibubapaan, komunikasi, akhlak dan adab Islami yang baik. Hubungan keluarga yang bercirikan kemarahan, sindir-menyindir, kata-mengata, emosi tidak stabil dan ketidakterimaan juga boleh memberikan kesan terhadap karakter, personaliti dan akhlak individu.
  • Pencapaian akademik serta kegagalan dalam mencapai keputusan yang diharapkan seterusnya membawa tekanan kepada pelajar sehingga berkecenderungan untuk membunuh diri terutamanya apabila berhadapan dengan tekanan yang melampau.
  • Ketakutan kepada seseorang yang mengancam seperti kepada ceti haram atau along.
  • Pandangan alam (worldview) kesan daripada bunuh diri berkluster di mana kadang-kadang membuatkan mereka meniru-meniru gejala ini seperti melihat di dalam internet atau filem yang merasionalkan tindakan dan keputusan ini.

Selain itu, sejarah cubaan membunuh diri yang terjadi dalam kalangan ahli keluarga terdekat turut boleh menjadi faktor yang membawa kepada cubaan membunuh diri. Dalam satu kajian mendapati bahawa risiko untuk membunuh diri meningkat apabila wujud sejarah membunuh diri dalam kalangan ahli keluarga.[3]

Daripada kesemua faktor yang disebutkan, antara faktor yang utama yang membawa kepada perbuatan membunuh diri adalah disebabkan penyakit mental. Penyakit mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja terutamanya apabila seseorang itu mengalami tekanan yang melampau lalu tidak dapat mengawal emosinya. Apabila seseorang individu tidak berupaya mengawal emosinya, ia akan menyebabkan seseorang individu tidak dapat berfikir secara rasional dan boleh bertindak di luar kawalan.

Penyakit mental boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai isu kesihatan mental. Antaranya ialah kemurungan, kebimbangan dan tekanan yang melampau. Seseorang yang memiliki salah satu daripada faktor-faktor ini ataupun kesemuanya berkemungkinan besar untuk mendapat penyakit mental. Masalah kewangan juga dikaitkan sebagai faktor penyumbang kepada gangguan kepada kesihatan mental, dan boleh menyebabkan tahap kesihatan mental menjadi teruk seterusnya membawa kepada keinginan untuk membunuh diri.[4]

Dalam isu ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengesyorkan empat intervensi utama dalam usaha mencegah bunuh diri, iaitu:

  • Menyekat akses kepada cara membunuh diri.
  • Membina kemahiran golongan muda dalam menghadapi tekanan hidup.
  • Pengesanan awal pesakit yang ber-potensi membunuh diri dan mendapat saranan rawatan.
  • Bekerjasama dengan media untuk memastikan laporan berita bunuh diri adalah penuh etika dan bertanggungjawab.[5]

Namun, menurut WHO, kesemua perkara ini merupakan aspek asas di mana ia memerlukan satu strategi pencegahan yang lebih komprehensif untuk
dibangunkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mencegah gejala ini telah mengusahakan beberapa inisiatif. Antaranya ialah advokasi Kempen Let’s TALK Minda Sihat. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan penjagaan kesihatan mental, disamping mengajak masyarakat berganding bahu ke arah pencegahan tingkah laku bunuh diri dan mengurangkan stigma terhadap masalah kesihatan mental. [6]

Perkataan “TALK” di dalam tajuk kempen ini adalah singkatan kepada:

  • T – Tell someone you trust about your problems (Berkongsi masalah yang dihadapi dengan orang yang dipercayai).
  • A – Ask for help (Meminta pertolongan).
  • L – Listen without judgement (Mendengar tanpa menghukum atau menghakimi).
  • K – Know where to seek help (Mengetahui di mana untuk mendapatkan bantuan). Dalam hal ini, terdapat beberapa saluran perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan talian-talian bantuan yang boleh untuk dihubungi.

KKM turut menyediakan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) selain talian sokongan bagi membantu masyarakat termasuk petugas barisan hadapan yang memerlukan perkhidmatan bantuan awal psikologi. Ia turut dijalankan dengan kerjasama bersama beberapa agensi lain seperti Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy), KSK- Care Jakim, Talian KASIH dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam memastikan perkhidmatan sokongan psikososial yang bersepadu.

Dalam menjawab isu ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Surah al-Baqarah (195)

Maknanya ialah janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu. Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan lafaz ‘التَّهْلُكَةُ’ ini adalah termasuk setiap perkara yang membawa kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, ‘التَّهْلُكَةُ’ juga merupakan sesuatu perkara yang perlu diwaspadai dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/215)

Tambahan lagi, Syeikh al-Sa’di menyebut ‘التَّهْلُكَةُ’ merupakan perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ia termasuk dalam pelbagai perkara, antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/90)

Begitu juga, Allah SWT turut berfirman:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).”

Surah al-Isra’ (33)

Ayat ini menunjukkan haram membunuh jiwa termasuklah diri sendiri kerana ia adalah bersifat umum. Menurut Dr Wahbah al-Zuhaili, pembunuhan diharamkan kerana ia satu perlanggaran terhadap makhluk Allah dan membinasakannya, sedangkan manusia bukanlah miliknya, tetapi ia milik Allah dan merupakan aset bagi masyarakat dan negara. Oleh kerana itu, Allah mengharamkan bunuh diri dan mengharamkan membunuh orang lain kecuali dengan sebab yang benar. Justeru, dinyatakan bahawa orang yang membunuh dirinya ialah orang yang berdosa dan melampaui batas, dan orang yang membunuh orang lain juga termasuk dalam kalangan orang yang melampaui batas dan berdosa. (Lihat Tafsir al-Munir, 8/78)

Tambahan pula, perbuatan membunuh diri adalah dosa besar, kerana adanya ancaman
khusus baginya, sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada Hari Kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.”

Riwayat al-Bukhari (6047) dan Muslim (110)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Jundub RA, Nabi SAW bersabda:

كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ، فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، قَالَ اللهُ تَعَالَى بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ ‏

Maksudnya: “Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: ‘Hamba ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.’

Riwayat al-Bukhari (3463)

Hadith ini menunjukkan bahawa pembunuh diri tidak dimasukkan ke dalam syurga dan ia adalah satu ancaman yang amat keras.

Ini juga berdasarkan sabda Nabi SAW:

منْ قَتَلَ نَفْسَهُ بحَديدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِى يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِى بَطْنه فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ تَردَّى مِنْ جبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِى نَارِ جَهَنّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka Jahannam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan sesiapa yang bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka Jahannam nanti dia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan sesiapa yang bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka Jahannam nanti, dia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.”

Riwayat Muslim (109)

Al-Qadhi Iyadh meletakkan hadith ini dalam Syarah Sahih Muslim di bawah bab “Larangan membunuh diri sendiri, sesungguhnya sesiapa yang membunuh dirinya sendiri dengan sesuatu, dia akan diazab dengan perkara tersebut dalam neraka dan dia tidak akan memasuki syurga kecuali dirinya seorang Muslim.” Beliau turut menyebut bahawa orang yang membunuh diri akan memasuki neraka dalam tempoh yang panjang akan tetapi tidaklah kekal di dalam neraka selama-lamanya.

Selain itu, al-Syatibi juga ada menyatakan bahawa semua ajaran yang ditetapkan oleh Islam adalah untuk menjaga kemaslahatan yang lima. Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas bahawa perbuatan membunuh diri merupakan perbuatan yang dilarang dan bertentangan dengan perintah agama. Disebabkan besarnya dosa akibat perbuatan tersebut maka tempat kembali orang yang melakukannya adalah neraka Jahannam.

Berdasarkan nas di atas dan juga pendapat ulama jelas menunjukkan bahawa perbuatan membunuh diri adalah haram dan termasuk dalam dosa besar. Bahkan kita dapat melihat, ramai ulama memasukkan dalam kitab mereka dengan menyatakan bahawa salah satu daripada dosa besar ialah membunuh diri.

Dalam sebuah hadith, Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَهُوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ، يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَحَسَّى سَمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَسَمُّهُ فِي يَدِهِ، يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ، فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ، يَجَأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا

Maksudnya: “Sesiapa yang sengaja terjun dari atas gunung dan membunuh dirinya, maka dia akan jatuh di neraka ke dalam api dan kekal selama-lamanya dalam keadaan tersebut; sesiapa yang meminum racun dan membunuh dirinya, dia akan membawa racun tersebut dengan tangannya dan meminumnya di neraka selama-lamanya; dan sesiapa yang membunuh dirinya dengan senjata besi, akan membawa senjata itu dan menusuk-nusuk perutnya di neraka selama-lamanya.”

Riwayat al-Bukhari (5778) dan Muslim (109)

Pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Kami nukilkan juga di sini daripada kitab al-Halal wa al-Haram (541-543) oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkenaan isu membunuh diri, antara lain menyebut:

Semua yang disebutkan tentang jenayah pembunuhan meliputi pembunuhan manusia terhadap dirinya sendiri, sebagaimana meliputi pem-bunuhan terhadap orang lain. Sesiapa yang membunuh dirinya sendiri dengan apa jua cara sekalipun, samalah dia telah membunuh diri yang diharamkan oleh Allah SWT membunuhnya tanpa sebarang hak.

Kehidupan manusia itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun kerana dia tidak men-ciptakan dirinya sendiri. Begitu juga dengan anggota daripada anggota tubuh badannya atau sebarang sel-sel yang terdapat di dalam tubuh manusia. Oleh yang demikian, diri seseorang manusia itu merupakan barang amanah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap manusia untuk dipelihara. Oleh sebab itu, manusia tidak boleh mensia-siakan amanah tersebut atau bertindak sesuka hati terhadap dirinya.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa Mengasihani kamu.”

Surah al-Nisa’ (29)

Islam menganjurkan agar semua umatnya itu mempunyai kekuatan fizikal dan kuat keazaman dalam menghadapi segala bentuk kesusahan. Islam tidak menyukai seseorang Muslim yang melarikan dirinya daripada kehidupan disebabkan bencana yang menimpanya, ataupun kerana ada cita-cita yang tidak kesampaian. Hal ini kerana manusia itu diciptakan oleh Allah SWT dengan kemampuan untuk berusaha bersungguh-sungguh dan bukannya berputus asa dengan diri sendiri, Tuhan dan kehidupan. Justeru, walau apapun kesulitan dan cabaran yang dihadapi dalam kehidupan seharian, seseorang individu harus berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menguruskannya dengan berkesan berbekalkan dengan keimanan dan harapan kepada Allah SWT.

Bahkan, Nabi SAW menegah daripada melakukan perbuatan membunuh diri ini dengan ancaman akan terhalangnya orang tersebut daripada rahmat Allah SWT untuk menjadi penghuni syurga-Nya, malah sebaliknya dia akan menerima kemurkaan Allah SWT dengan dimasukkan ke dalam neraka.

Rasulullah SAW bersabda:

كَانَ فِيمَنْ قَبْلِكُم ْرَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ فَجَزَعَ، فَأَخَذَ سِكِّيْنًا، فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، فَقَالَ اللهُ: بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، فَحَرَّمْتُ عَلَيهِ الجَنَّةَ

Maksudnya: “Mereka yang sebelum kamu, ada seorang lelaki yang mengalami luka dan tidak tahan untuk menanggung deritanya, kemudian diambilnya pisau, lalu menorehkan ke urat nadi tangannya sehingga darah keluar dan tidak berhenti mengalir sehinggalah menemui ajalnya. Allah SWT berfirman: Hamba-Ku telah mendahului-Ku dengan (membunuh) dirinya, oleh itu Aku mengharamkan baginya memasuki syurga.”

Riwayat al-Bukhari (3463)

Jika sekiranya orang ini diharamkan kepadanya untuk memasuki syurga kerana luka yang tidak sanggup ditanggungnya, lalu dia membunuh dirinya, apatah lagi dengan orang yang membunuh dirinya kerana sebab menanggung kerugian dalam perniagaan, sama ada sedikit mahupun banyak, atau kerana gagal di dalam sebarang ujian yang menimpa, atau kerana mengalami putus cinta.

Justeru, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri dan sentiasa mengingatkan diri sendiri serta memberikan peringatan kepada orang-orang lain terutamanya kepada individu yang ingin melakukan perbuatan membunuh diri tentang ancaman yang disebut oleh Nabi SAW dalam sabdanya sebagai suatu ancaman yang harus digeruni oleh setiap Muslim.

Kami juga ada menjawab persoalan seperti ini dengan panjang lebar dalam buku kami bertajuk:  Kemurungan dan Putus Asa:  Solusi Islam untuk Jiwa yang Tertekan. Semoga ia memberi manfaat kepada semua. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

 

[1]          https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/suicide

[2]          https://www.astroawani.com/berita-malaysia/hari-pencegahan-bunuh-diri-sedunia-bekerja-bersama-untuk-mencegahnya-258675 10 September 2020

[3]  Lihat Kadar Prevalens Kemurungan dan Cubaan Bunuh Diri dalam kalangan Remaja di Malaysia oleh Nor Ba’yah Abdul Kadir, et al. Jurnal Psikologi Malaysia 32.4 (2018).

[4]  Lihat Peranan Kesihatan Mental Sebagai Moderator Terhadap Kecenderungan Bunuh Diri oleh Nurul Sofiah Ahmad Abd Malek et. al. Jurnal Sains Sosial: Malaysian Journal of Social Sciences 5.1 (2020): 87-99.

[5]  Lihat topik Suicide Prevention di laman web rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia. [https://www.who.int/health-topics/suicide#tab=tab_3]

[6]  Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pelaksanaan kempen ini akan merentas agensi dan selari dengan strategi dalam Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025 untuk memperkukuhkan promosi kesihatan mental, pencegahan penyakit mental bagi meningkatkan literasi kesihatan mental masyarakat.