Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum bunuh diri tetapi mempunyai sebab-sebab yang munasabah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertama sekali, kami menyeru sekalian masyarakat Malaysia agar menitik beratkan kesihatan mental kita kerana ia merupakan faktor utama seseorang itu boleh mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri. Kami mengingatkan kembali bahawa bunuh diri itu bukanlah hak bagi individu sehingga mereka boleh menjustifikasikan perbuatan tersebut dengan apa sahaja alasan atau sebab yang dianggap munasabah. Perincian perbahasannya boleh dirujuk dalam artikel yang bertajuk: “6151: Bunuh Diri Bukan Hak Individu.” Memetik hujah dalam artikel tersebut, Rasulullah SAW bersabda sebagaimana dalam hadith Jundub bin Junadah R.A:
كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ، فَجَزِعَ، فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، فَحَرَّمْتُ عَلَيْهِ الجَنَّةَ
Maksudnya: “Dalam kalangan umat sebelum kamu, terdapat seorang lelaki yang menderita kecederaan (bernanah), dia berasa takut (dan tidak sabar atas penderitaan) lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya menggunakan pisau tersebut. Darah tidak berhenti mengalir sehingga (menyebabkan) dia meninggal dunia. Allah SWT berfirman: ‘Hamba-Ku telah bersegera kepada-Ku dengan dirinya sendiri, maka Aku mengharamkan Syurga ke atas dirinya’.”
Riwayat al-Bukhari (3463) dan Muslim (113)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, pengharaman Syurga ke atas orang yang bunuh diri ini sebagai balasan, kerana dia menyegerakan ajalnya dengan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kematian. Dia ibarat menjadikan perbuatan maksiat terhadap Allah SWT itu sebagai suatu pilihan, maka dia layak dihukum. Hadith ini juga menunjukkan tindakan orang tersebut menoreh tangannya kerana ingin mati, bukan kerana ingin menyembuhkan seksaannya yang disangka suatu pilihan yang bermanfaat. (Lihat Fath al-Bari, 6/500)
Perlu difahami, kami tidak menafikan betapa teruknya masalah kesihatan mental itu boleh memberi kesan kepada diri individu. Akan tetapi, apa sahaja sebab seperti masalah kemurungan, kebimbangan (anxiety), atau tekanan (stress), ia bukanlah alasan munasabah sehingga membenarkan perbuatan bunuh diri. Hukum Islam berkenaan larangan bunuh diri tidaklah datang secara sia-sia tanpa sebarang hikmah, sebaliknya syara‘ bertujuan untuk memelihara maslahah makhluk di dunia dan juga di akhirat kelak. Syeikh Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan menyebutkan, maslahah yang hendak dicapai itu boleh jadi berbentuk manfaat yang diperolehi makhluk, atau mudarat yang diangkat dari mereka. Faktor inilah yang menjadi pendorong utama mengapa sesebuah hukum itu diletakkan oleh syara‘, sama ada hukum itu berbentuk perintah untuk melakukan, meninggalkan, atau keharusan secara umum. (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, hlm. 189)
Tidak ada alasan atau sebab yang munasabah sehingga ditetapkan hukuman bunuh melainkan yang berikut:
- Murtad
Orang yang murtad dan memilih kekufuran, sedangkan Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah SWT, maka syara‘ menetapkan hukuman bunuh ke atas si pelaku. Hal ini telah jelas dalam banyak nas, antaranya yang disebutkan dalam sabda Rasulullah SAW:
مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ
Maksudnya: “Sesiapa menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia.”
Riwayat al-Bukhari (3017)
- Penzina yang Muhsan
Seseorang yang pernah berkahwin dan melakukan persetubuhan yang sah dalam perkahwinan tersebut, mereka ini disebutkan sebagai muhsan, sama ada dia masih kekal dalam ikatan perkahwinan atau sudah bercerai. Sekiranya dia melakukan zina, maka perbuatan maksiat itu menjadi asbab dijatuhkan ke atas dirinya hukuman bunuh.
Diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
خُذُوا عَنِّي. خُذُوا عَنِّي. قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلًا. الْبِكْرُ بِالْبِكْرِ جَلْدُ مِائَةٍ وَنَفْيُ سَنَةٍ وَالثَّيِّبُ بِالثَّيِّبِ، جَلْدُ مِائَةٍ وَالرَّجْمُ
Maksudnya: “Ambillah daripadaku, ambillah daripadaku! Sesungguhnya Allah telah menetapkan hukuman untuk mereka (penzina): Bagi yang masih teruna dengan yang masih dara (kerana belum pernah berkahwin), hukumannya ialah seratus sebatan dan pengasingan selama setahun. Manakala bagi duda dengan janda (kerana pernah berkahwin), hukumannya ialah seratus sebatan dan direjam (hingga mati).”
Riwayat Muslim (1690)
- Orang yang membunuh dengan sengaja
Orang yang melakukan pembunuhan dengan sengaja, tanpa sebarang sebab yang mengharuskannya seperti jihad di jalan Allah, maka hukuman yang dijatuhkan adalah bunuh sebagai qisas. Pengecualian hukum hanya akan diberikan sekiranya waris mangsa memberikan kemaafan kepada si pelaku, atau mereka berpada dengan menerima bayaran diyat sahaja.
Allah SWT telah berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِصَاصُ فِى ٱلْقَتْلَى ۖ ٱلْحُرُّ بِٱلْحُرِّ وَٱلْعَبْدُ بِٱلْعَبْدِ وَٱلْأُنثَىٰ بِٱلْأُنثَىٰ ۚ فَمَنْ عُفِىَ لَهُۥ مِنْ أَخِيهِ شَىْءٌ فَٱتِّبَاعٌ بِٱلْمَعْرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَـٰنٍ ۗ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ ۗ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan.”
(Surah al-Baqarah: 179)
Rasulullah SAW telah menjelaskan hal ini dalam hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A:
لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ، يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ، إِلَّا بِإِحْدَى ثَلاَثٍ: النَّفْسُ بِالنَّفْسِ، وَالثَّيِّبُ الزَّانِي، وَالمَارِقُ لِدِيْنِهِ التَّارِكُ الجَمَاعَةَ
Maksudnya: “Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan bahawa aku adalah utusan Allah kecuali dengan salah satu dari tiga perkara; nyawa (dibalas) dengan nyawa, orang yang telah berkahwin yang berzina, dan orang yang melepaskan (meninggalkan) diri daripada agamanya serta meninggalkan Jemaah (kaum Muslimin).”
Riwayat al-Bukhari (6878) dan Muslim (1676)
- Penyamun
Penyamun yang datang dengan bersenjata dan secara terang-terangan, maka mereka inilah yang disebutkan oleh fuqaha’ perlu dijatuhkan hukuman bunuh. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/157)
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّمَا جَزَٰٓؤُا۟ ٱلَّذِينَ يُحَارِبُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَسْعَوْنَ فِى ٱلْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوٓا۟ أَوْ يُصَلَّبُوٓا۟ أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَـٰفٍ أَوْ يُنفَوْا۟ مِنَ ٱلْأَرْضِ ۚ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْىٌ فِى ٱلدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: “Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.”
(Surah al-Ma’idah: 33)
Adapun selain dari sebab-sebab di atas, maka tidak halal bagi seseorang itu dijatuhkan hukuman bunuh, sama ada terhadap orang lain atau dirinya sendiri. Kecenderungan yang melampau ini diumpamakan seperti kemuncak putus asa seseorang itu terhadap rahmat Allah SWT, sedangkan ujian yang diberikan di dunia ini sudah dijanjikan oleh-Nya dengan kesenangan pada kemudiannya. Firman-Nya:
وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”
(Surah Yusuf: 87)
Al-Tabari menjelaskan: “Yakni Allah berfirman bahawa janganlah seseorang itu berputus asa daripada (mengharapkan) jalan keluar daripada-Nya, rahmat-Nya, dan janganlah dia bertindak memutuskan harapan kepada-Nya, melainkan orang-orang kafir yakni kaum yang membantah kemampuan Allah untuk menciptakan apa yang Dia kehendaki.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 12/232)
Semoga kita semua diberikan ketenangan jiwa, dijauhkan dari segala masalah mental yang tidak dapat dibendung, serta menjadikan kita dalam kalangan mereka yang meletakkan pengharapan penuh kepada-Nya. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”
(Surah al-Baqarah: 286)
Wallahu a‘lam