Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami tafsir ayat 23 daripada surah al-Furqan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَّنثُورًا ‎

Maksudnya: Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.

(Surah al-Furqan: 23)

Ibn Kathir berkata: Firman Allah SWT: (“Lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan”) merujuk kepada fenomena sinar matahari yang memasuki sebuah lubang pada dinding. Tafsiran ini juga diriwayatkan oleh ulama seperti Ibnu Abbas, Mujahid, Ikrimah, dan lain-lain. Hasan al-Bashri turut menjelaskan bahawa ia menggambarkan sinar matahari yang masuk melalui lubang dinding rumah seseorang. Jika seseorang cuba meraupkan tangannya pada sinar itu, dia tidak akan dapat menangkapnya.

Kesimpulan daripada semua pendapat ini menerangkan maksud yang terkandung dalam ayat tersebut. Ia menunjukkan bahawa amal perbuatan mereka, walaupun pada zahirnya kelihatan banyak dan benar menurut anggapan mereka, akan menjadi sia-sia apabila dipersembahkan di hadapan Allah SWT, Raja dan Hakim yang Maha Adil. Allah SWT tidak pernah melampaui batas atau menganiaya sesiapa pun. Namun, amal perbuatan mereka tidak memiliki sebarang nilai di sisi Allah, lantas diibaratkan seperti sesuatu yang tiada erti dan bertebaran, yang bagi pemiliknya tidak membawa sebarang manfaat.

Sebagaimana firman Allah SWT: “Perumpamaan orang yang ingkar kepada Tuhannya, perbuatan mereka seperti abu yang ditiup oleh angin kencang pada suatu hari yang berangin kuat. Mereka tidak kuasa (mendatangkan manfaat) sama sekali daripada apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.” (Surah Ibrahim: 18) (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/212)

Al-Syaukani berkata: Mereka dahulu melakukan amalan-amalan yang zahirnya kelihatan baik, seperti menjalin silaturahim, membantu orang yang memerlukan, memberi makan kepada yang lapar, dan seumpamanya. Namun demikian, Allah menghapuskan segala amalan mereka disebabkan kekufuran dan kesyirikan yang mereka lakukan. Maka, amalan-amalan tersebut menjadi seperti debu yang berterbangan, tiada nilai dan manfaatnya di sisi Allah. (Lihat Fath al-Qadir, 3/411)

Syeikh al-Sa’di berkata: Firman Allah, “Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan,”membawa maksud, Kami menilai amal perbuatan mereka yang mereka sangka sebagai kebaikan dan yang mereka telah bersusah payah melakukannya. “Lalu Kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan,” bermaksud, amal itu menjadi sia-sia dan lenyap. Mereka mengalami kerugian kerana tidak memperoleh sebarang pahala, bahkan mereka diseksa disebabkan perbuatan tersebut. Hal ini berlaku kerana amal itu tidak disertai iman dan dilakukan oleh seseorang yang mendustakan Allah serta para rasul-Nya. Sesungguhnya, amal kebaikan yang diterima oleh Allah adalah amal yang bersumber daripada seorang Mukmin yang ikhlas, mempercayai para rasul, dan mengikuti ajaran mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 328)

Amalan tanpa niat adalah sia-sia dan niat tanpa ikhlas adalah riya’ serta ikhlas tanpa kebenaran dan tahqiq adalah ibarat debu-debut yang terterbangan. Inilah yang disebut oleh ulama’ tasawwuf yang dinukilkan oleh Ibn Qudamah di dalam kitabnya. (Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 343)

Justeru, marilah sama-sama kita membetulkan hati kita agar sentiasa dipahalakan oleh Allah. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”