Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum seorang muslim, menyiapkan atau mencantikan kubur orang muslim/non muslim serta meletakkan gambar di kuburannya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197)

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, pada asalnya penjagaan dan pemeliharaan kubur sebagai tanda penghormatan kepada penghuninya adalah perkara yang dianjurkan dalam Islam, sesuai dengan adab dan syariat. Namun, penjagaan tersebut hendaklah dilakukan secara sederhana dan berpada, hanya untuk memastikan kubur tetap terpelihara serta tidak terbiar. Islam melarang sebarang bentuk keterlaluan yang bertentangan dengan syariat, seperti mengagung-agungkan kubur hingga menyerupai amalan penyembahan, menghias, meletakkan gambar atau memperindahnya secara berlebihan, serta membazirkan harta untuk perkara seperti pembinaan struktur mewah, plasteran, atau pengecatan. Lebih-lebih lagi ia dilarang sekiranya melibatkan kubur bukan islam.

Yang demikian sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa beliau berkata:

أنَّ أُمَّ سَلَمَةَ، ذَكَرَتْ لِرَسولِ اللَّهِ ﷺ كَنِيسَةً رَأَتْها بأَرْضِ الحَبَشَةِ يُقالُ لَها مارِيَةُ، فَذَكَرَتْ له ما رَأَتْ فِيها مِنَ الصُّوَرِ، فَقالَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ: أُولَئِكَ قَوْمٌ إذا ماتَ فِيهِمُ العَبْدُ الصّالِحُ، أوِ الرَّجُلُ الصّالِحُ، بَنَوْا على قَبْرِهِ مَسْجِدًا، وصَوَّرُوا فيه تِلكَ الصُّوَرَ، أُولَئِكَ شِرارُ الخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ.

Maksudnya: “Umm Salamah menyebutkan kepada Rasulullah SAW perihal sebuah gereja yang pernah dilihatnya di Habsyah. Ia digelar Gereja Mariah. Ummu Salamah menyebutkan gambar-gambar yang pernah dia lihat di dalam gereja itu. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Itulah orang-orang yang apabila hamba yang salih atau orang yang salih dalam kalangan mereka mati, mereka membina masjid di atas kuburnya dan melukis gambar-gambar di dalamnya. Merekalah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah.”

Riwayat al-Bukhari (434) dan Muslim (528)

Ini menjelaskan kepada kita bahawa pembinaan di atas kubur adalah amalan orang Nasrani dan Yahudi, serta termasuk perbuatan keji mereka. Perbuatan ini menjadikan mereka dalam kalangan makhluk yang paling buruk. Oleh itu, orang beriman hendaklah berhati-hati daripada melakukan perkara tersebut dan tidak menyerupai musuh-musuh Allah, iaitu Yahudi dan Nasrani, dengan membina bangunan di atas kubur, mendirikan masjid di atasnya, atau meletakkan gambar di atasnya. Semua ini adalah perbuatan keji mereka dan merupakan jalan yang boleh membawa kepada syirik. (Lihat al-Ifham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, hlm.358)

Justeru, amalan menghias kubur, sama ada milik Muslim atau bukan Muslim, adalah dilarang kerana ia melibatkan pemborosan, berpotensi mengundang pengagungan yang melampaui batas, dan bertentangan dengan prinsip kesederhanaan dalam Islam. Larangan ini bertujuan untuk mencegah umat Islam daripada terjebak dalam amalan yang menyerupai kaum lain yang boleh membawa kepada perbuatan syirik, seperti penyembahan kubur atau menjadikan kubur sebagai tempat ibadah.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia termasuk dalam kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Al-San‘ani menjelaskan, maknanya ialah sesiapa yang menyerupai atau meniru orang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah, maka dia termasuk dalam kalangan mereka — yakni sama seperti mereka. Dalam erti kata lain, dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka. (Lihat Subul al-Salam, 4/175).

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Wallahua’lam