Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan hukum mengitar semula kertas al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُون

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.

(Surah al-Hijr: 9)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, al-Zikr adalah al-Quran. Beliau menyebutkan lagi, Allah SWT sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat  Jami‘ al-Bayan, 17/68).

Secara asasnya, berdasarkan maklumat yang kami peroleh, terdapat beberapa bentuk pelupusan al-Quran yang telah dikeluarkan fatwa, dan kini dilakukan di Malaysia.

Pertama: Pembakaran dan Tanam

Kaedah pertama ini telah ditetapkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia[1] kali ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992, yang telah membincangkan Pelupusan Al-Quran. Muzakarah telah menyimpulkan bahawa al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak lagi boleh dibaca dan yang bukan resam uthmani hendaklah dilupuskan dengan dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam ditempat yang dikawal. Kerja-kerja pelupusan hendaklah di-pertanggungjawabkan kepada Urusetia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. Dan pelupusan ini dilakukan dengan cara tersembunyi demi mengelakkan salah faham orang ramai.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor[2] yang bersidang pada 15 Mac 2016 juga telah membuat keputusan bahawa, antara kaedah untuk melupuskan bahan terbitan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran dan hadith adalah dengan cara membakar bahan-bahan terbitan berikut, sebagaimana ketetapan di bawah:

  • Bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran dan hadith yang dibakar hendaklah menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.
  • Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran dan hadis yang telah dibakar hendaklah dipastikan dikumpul supaya tidak ditiup anginatau bersepah.
  • Bahan yang telah dibakar hendaklah ditanam pada tempat yang bersih atau tempat yang tidak dilalui orang atau dibuang kedalam laut atau sungai yang mengalir airnya.
  • Kerja-kerja pembakaran hendaklah dikawal selia oleh pegawai jabatan agama atau pihak yang mahu melupuskan bahan-bahan tersebut.

Kedua: Proses Pemisahan Tinta (Deinking)

Deinking ialah proses mengeluarkan dakwat dan bahan bukan gentian daripada kertas terpakai. Proses penyahtintaan pertama kali diketahui pada tahun 1800-an dalam industri kitar semula kertas. Keberkesanan proses penyahtintakan bergantung kepada bahan mentah yang digunakan untuk kertas, jenis bahan cemar terutamanya dakwat, peringkat proses yang dijalankan, dan jenis peralatan yang digunakan. Peringkat proses penyahtintakan secara amnya termasuk peringkat penguraian, pembersihan dan penapisan, penyingkiran dakwat, serta peringkat pencucian dan penebalan. Kaedah ini lebih banyak dianjurkan oleh badan-badan fatwa di Malaysia kerana ia merupakan sebuah proses berteknologi hijau kerana tidak menyebabkan sebarang pencemaran kepada alam sekitar.

Kaedah kedua ini pernah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 19 Oktober 2015, yang membincangkan tentang pelupusan al-Quran dan bahan cetakan agama berteknologi hijau melalui proses pemisahan tinta. Mereka memutuskan bahawa pelupusan al-Quran dengan proses ini hukumnya adalah harus.[3] Proses ini kebiasaannya dilakukan dengan kaedah rendaman sehinggalah tinta dakwat al-Quran itu hilang bersih dan hilang sifat al-Quran.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 11 Rabiul Akhir 1437 bersamaan 21 Januari 2016 telah membuat keputusan, pelupusan al-Quran dan bahan cetakan agama berteknologi hijau melalui proses Deinking tanpa ada pembakaran adalah harus menurut hukum syarak. Walau bagaimanapun, ianya hendaklah dilakukan mengikut proses kerja yang diuruskan berdasarkan kepada pematuhan syari‘ah demi memelihara kemuliaan al-Quran dan untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara yang boleh menghina kehormatan serta ketinggian martabat al-Quran al-Karim.[4] Pada sidang yang dilakukan pada 15 Mac 2016, mereka menyatakan sekali lagi bahawa antara kaedah untuk melupuskan bahan terbitan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran dan hadith adalah dengan melalui proses berteknologi hijau yang dikenali sebagai Deinking.[5]

Antara  ulama’ yang turut mengeluarkan pandangan berkenaan dengan isu deinking adalah Syeikh Abdullah bin Bayyah. Beliau berpendapat, sebagaimana ulama’ terdahulu dengan dibakar atau diletakkan pada tempat yang selamat dari dihina. Akan tetapi, jika cara tersebut telah menghilangkan seratus peratus maka ia dibolehkan berdasarkan kaedah:

إِذَا انْتَفَتِ الْعِلَّةُ انْتَفَى الْحُكْمُ

Maksudnya: “Apabila ternafinya ‘illah, maka ternafilah hukum.” (Lihat Syarh Manzumah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 4/13)

Selain itu, terdapat kaedah al-Afw (kemaafan) – Ithbat martabat al-Afw, iaitu jarak yang keluar daripada hukum-hukum yang lima di sisi al-Syatibi, seperti yang disebutkan dalam Nazm al-Muwafaqat li al-Imam al-Syatibi (1/53):

يَصِحُّ بَيْنَ الفَرْضِ وَالحَرَامِ               لِلْعَفْوِ رُتْبَةٌ سِوَى الأَحْكَامِ

دَلِيلُهُ الثُّبُوتُ فِي المَنْقُولِ                  مِنْ خَبَرِ اللهِ أَوِ الرَّسُولِ

مِثْلُ وَيعْفُوا عَنْ كَثِيرٍ وَعَفَا              وَمَا مِنَ السُّنَّةِ مَعْنَاهُ اقْتَفَى

مَعْ أَنَّ ذِي الرُّتْبَةَ مَبْنَاهَا عَلَى          مَسْأَلَةٍ بِهَا الخِلَافُ أُصِّلَا

وَذَاكَ هَلْ يَكُونُ فِي النَّوَازِلِ              مَا الشَّرْعُ لَيْسَ حُكْمُهُ بِشَامِلِ

“Sah antara fardhu dan haram,

                                    Bagi ‘afwu’ sebagai tingkatan selain hukum-hukum

Dalilnya thabit pada yang manqul

                                    Daripada khabar Allah mahupun Rasul

Seperti dan Afwu daripada banyak dan dimaafkan

                                    Dan tidak daripada Sunnah maknanya dicari

Bersama tingkatan ini dibinanya atas

                                    Masalah dengannya yang khilaf yang diasaskan

Yang demikian adakah pada nawazil

                                    Tidakkah pada Syarak tiada padanya tiada                                                        hukumnya yang menyeluruh.”

Walau bagaimanapun, dalam perbincangan tersebut, kami utarakan jika kertas yang sudah dibersihkan itu, digunakan semula untuk cetakan al-Quran, maka ia adalah lebih baik. Ini adalah dalam bab istihsan[6] yang digunakan dalam mazhab Maliki. Begitu juga, ia akan keluar daripada khilaf dan kaedah menyebut:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1)

Syeikh Dr. Ahmed ‘Abd al-‘Aziz al-Haddad dalam isu ini, beliau qiyaskan kepada lauhah (sejenis kayu yang ditulis padanya huruf al-Quran atau ayatnya untuk dihafaz). Kemudian apabila sudah selesai, maka boleh dipadamkannya. Kaedah seperti ini deinking, dan dari segi qiyasnya adalah hampir sama dengan lauhah tadi. Justeru hukumnya adalah dibolehkan kecuali air daripada dakwat tersebut hendaklah dialirkan di tempat yang baik seperti ditanam dan tidak dibuang ke dalam longkang atau tempat yang kotor lagi cemar. Kami telah membincangkan isu ini pada 6 November 2023 bertempat di Hotel Rixos, Abu Dhabi.

Kedua-dua kaedah pelupusan al-Quran yang kami bawakan di atas disebutkan oleh para ulama’ bagi satu tujuan yang sama, iaitu sebagai menghormati Kalamullah dan mengelakkan daripada berlakunya penghinaan kepada kitab suci al-Quran ini.

Pandangan Ulama’ dan Institusi Fatwa

Terdapat ulama’ yang mengeluarkan pandangan mereka secara umum dalam perbincangan ini, dan sebahagian lainnya membincangkan isu kitar semula kertas al-Quran ini di dalam institusi fatwa.

Syeikh Dr. ‘Ali Jum‘ah menyokong usaha kitar semula kertas al-Qura ini. Beliau mengatakan, boleh untuk memproses kertas dan lembaran yang tertulis padanya ayat-ayat al-Quran, lalu mengitar semula menjadi kertas-kertas putih. Dengan cara ini, persekitaran dapat dijamin, agar ianya tidaklah dibuang merata-rata di atas tanah, dan kemuliaan al-Quran juga terpelihara. Dalam masa yang sama, beliau urut menekankan bahawa mengagungkan al-Quran itu sebahagian dari menegakkan syi‘ar Allah SWT.[7]

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga menyimpulkan keharusan mengitar semula kertas al-Quran. Dalam pada itu, mereka mensyaratkan proses tersebut dilakukan dengan penuh penghormatan sebelum kertas-kertas tersebut dimasukkan di dalam mesin, iaitu dengan dibersihkan terlebih dahulu tulisan-tulisan ayat suci al-Quran darinya. Selepas daripada itu, tidak menjadi masalah untuk dikitar semula menjadi kertas yang baharu, bebas dari sebarang unsur penghinaan dan disertakan dengan memuliakannya.[8]

Manakala al-Lajnah al-Da’imah pula bercanggah dengan pandangan di atas, ketika ditanya tentang isu ini, ahli jawatankuasa mereka menyatakan beberapa noktah sebagai justifikasi:

  • Memelihara kertas yang tertulis di atasnya ayat-ayat al-Quran adalah wajib kerana ianya merupakan kalam Tuhan sekalian alam. Maka haram menghinanya atau mendedahkannya kepada penghinaan.
  • Orang yang bukan beragama Islam tidak boleh memegang Kitab yang mulia ini.
  • Muslim boleh memadamkan tulisan al-Quran dari kertas tersebut dan mana-mana mushaf yang telah terkoyak, sama ada dengan cara membakarnya atau menanamnya di dalam tanah yang bersih kawasannya, sebagai bentuk memuliakan al-Quran serta memeliharanya dari sebarang penganiayaan dan penghinaan.

Masalah menggunakan semula kertas al-Quran ini, setelah diteliti oleh anggota Hai’ah Kibar al-Ulama’ yang bersidang buat kali ke-26, mereka menyimpulkan, majlis tidak bersetuju untuk meletakkan kertas al-Quran di dalam mesin untuk dikitar semula kerana terdapat unsur penghinaan, kerana terdapat ayat al-Quran pada kertas yang dikitar semula itu. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 4/53-55)

Tarjih

Melihat kepada perbincangan ilmuan Islam di atas, maka jelas di sini, ‘illah al-Quran yang rosak itu perlu dibakar adalah bagi mengelakkan berlaku penghinaan terhadap ayat suci Allah SWT. Oleh yang demikian, sekiranya ayat al-Quran itu dapat dipadamkan sebersih-bersihnya dari setiap lembaran, maka kewajiban melupuskan al-Quran dengan cara membakar atau menanam juga boleh berubah berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut:

الْحُكْمُ يَدُورُ مَعَ الْعِلَّةِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: “Suatu hukum itu tertakluk kepada kewujudan atau ketiadaan ‘illahnya.”

Sejujurnya, pendekatan untuk menggunakan kertas al-Quran yang telah dibersihkan ayat-ayat suci al-Quran daripadanya ini merupakan suatu kaedah baru yang banyak maslahahnya. Ia bukan sahaja dapat menjimatkan kos pelupusan tersebut, bahkan boleh mengembalikan semula keuntungan jika ia digunakan semula untuk pembuatan al-Quran yang baharu.

Akan tetapi, sebagai usaha memuliakan kedudukan al-Quran itu sendiri, kitar semula kertas al-Quran itu juga perlu diikat dengan syarat yang lebih ketat agar tidak berlakunya sebarang unsur yang tidak baik dan menghina terhadap kertas yang dahulunya dituliskan padanya al-Quran. Kami tidak menjumpai fatwa khusus di Malaysia yang membincangkan tentang masalah kitar semula kertas al-Quran, akan tetapi terdapat perbincangan yang paling hampir dengan masalah ini, iaitu kitar semula buku teks Pendidikan Islam. Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah[9] yang bersidang pada 12 hingga 14 September 2005 telah mengulas tentang hukum pelupusan buku teks Pendidikan Islam secara kitar semula (recycle). Mereka memutuskan bahawa hukumnya dibolehkan, tetapi terikat dengan beberapa syarat tertentu:

  • Syarikat yang akan melakukan kitar semula buku-buku tersebut wajiblah dimiliki oleh orang Islam.
  • Pekerja yang terlibat dari proses pengkitaran tersebut wajiblah terdiri daripada 100 peratus Islam.
  • Syarikat yang menjalankan proses pengkitaran semula tersebut wajiblah berdaftar dengan Lembaga Penapisan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri dan tertakluk kepada Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1996.
  • Kerja-kerja pelupusan secara recycle tersebut hendaklah disaksikan oleh Pegawai atau kakitangan Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri.
  • Kertas yang telah dikitar semula tersebut wajiblah digunakan untuk bahan tulisan atau perkara yang suci sahaja.

Kami melihat bahawa kitar semula kertas al-Quran ini lebih bersifat mesra alam sekitar, kerana ianya dapat mengurangkan kadar kerugian dan lebih baik untuk menjaga alam sekitar. Tuntutan menjaga alam ini juga seiring dengan ketetapan syarak, dan ini difahami menerusi larangan Allah SWT ke atas sekalian manusia daripada melakukan kerosakan ke atas muka bumi. Allah SWT berfirman:

وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.”

(Surah al-A‘raf: 56)

Allah SWT berfirman lagi:

وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.”

(Surah al-Qasas: 77)

Ibn Kathir menyebutkan, Allah SWT melarang kita dari melakukan sebarang kerosakan di muka bumi, dan mendatangkan apa sahaja yang boleh memudharatkan setelah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya. Hal ini kerana, perkara-perkara yang telah ditetapkan peredarannya, kemudian dibuat kerosakan, nescaya ianya kelak akan mendatangkan kemudharatan yang lebih kepada para hamba-hamba Allah SWT sendiri.

Beliau mengatakan lagi, Allah SWT melarang kita dari berhasrat untuk melakukan kerosakan di muka bumi, dan menyakiti hamba-hamba Allah SWT yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/385; 6/228)

Kerosakan dan pencemaran alam yang berlaku di bumi juga dikaitkan dengan tingkah dan perbuatan manusia. Allah SWT berfirman di dalam al-Tanzil:

ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

(Surah al-Rum: 41)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menafsirkan, ayat ini  menunjukkan kepada kita bahawa ujian dan bencana yang melanda umat manusia adalah disebabkan perbuatan manusia yang bersikap kufur, syirik, melampaui batas, melakukan maksiat, meninggalkan perintah-Nya di samping melanggar hak dan juga mengambil hak orang lain. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 21/98)

Menjawab pula pendapat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, mereka menekankan larangan kitar semula kerana tulisan ayat al-Quran masih zahir di atas kertas tersebut sebelum dimasukkan ke dalam mesin kitar semula. Ini sememangnya bertentangan dengan ketetapan syarak. Sekiranya ia kertas al-Quran yang telah rosak tersebut melalui proses pembersihan yang betul, maka ‘illah penghinaan terhadap ayat al-Quran itu juga terangkat. Menerusi perbincangan yang dibawakan di atas, kami cuba menambahkan beberapa syarat yang sesuai sebagai cadangan dalam proses kitar semula kertas al-Quran yang telah rosak:

  • Sebaiknya dikitar semula setelah selesai proses penyahtintaan, kerana ia merupakan suatu kaedah terbaik untuk memebrsihkan tulisan-tulisan ayat suci al-Quran.
  • Memastikan kesemua ayat al-Quran yang bertulis di atas setiap lembaran dipadam sehingga bersih terlebih dahulu.
  • Kertas kitar semula tersebut perlu dikhususkan penggunaannya pada cetakan al-Quran yang baharu atau kitab-kitab agama Islam sahaja.
  • Tempat yang menjalankan kerja kitar semula kertas tersebut mestilah khusus untuk kitar semula kertas al-Quran sahaja. Ini bagi memastikan tidak berlaku percampuran antara kertas yang dahulunya mungkin dituliskan padanya perkataan-perkataan yang lagha dengan kertas yang dahulunya ditulis-kan padanya ayat suci Allah SWT.

Penutup

Kami lebih cenderung kepada hukum keharusan mengitar semula kertas tersebut, tetapi diikat dengan beberapa syarat yang khusus serta ketat agar usaha memelihara kesucian al-Quran ini terealisasi. Ini merupakan salah satu usaha yang amat baik bagi menghalang segala agenda buruk musuh Islam untuk merendah-rendahkan kedudukan al-Quran.

Pandangan ini juga merupakan salah satu buah-buah fikiran dan cetusan idea yang ditimbulkan bagi mewujudkan perbincangan ilmiah yang lebih sihat dalam kalangan penuntut ilmu agama. Semoga pencerahan dan cadangan yang kami kemukakan ini dapat membuka ruang perbincangan yang lebih luas, serta kefahaman agama yang lebih baik kepada semua.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

 

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15553. Diakses pada 26 Disember 2023.

[2] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15868. Diakses pada 26 Disember 2023.

[3] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/16085. Diakses pada 26 Disember 2023.

[4] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15873. Diakses pada 26 Disember 2023.

[5] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15868. Diakses pada 26 Disember 2023.

[6] Dari sudut bahasa, istihsan menurut Ibn Manzur berasal daripada perkataan ‘hasan’ yang bermaksud baik, dan dalam wazan istif’al (istihsan) membawa makna apa yang dituju kepadanya dan dikehendaki oleh seseorang, meskipun ia dianggap buruk oleh orang lain, manakala al-Fairuzabadi menyatakan ia bermaksud menganggap sesuatu sebagai baik. (Lihat Lisan al-Arab 13/117 dan al-Qamus al-Muhit, 4/215-216)

Manakala dari sudut istilah syarak ia mempunyai pelbagai definisi yang diberikan oleh para ulama:

Menurut Imam Malik, istihsan bermaksud beramal dengan dalil yang lebih kuat antara dua dalil. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/738)

Kata al-Faqih al-Halwani al-Hanafi, istihsan adalah: Meninggalkan qiyas kerana satu dalil yang lebih kuat darinya daripada al-Quran ataupun al-Sunnah atau ijma’.

Imam al-Sarakhsi al-Hanafi menyebut beberapa lagi definisi, antaranya meninggalkan qiyas dan mengambil hukum yang lebih ringan dan lebih memudahkan orang ramai, serta mengambil keringanan, kemudahan dan keluasan. Dengan kata lain, istihsan boleh disebut sebagai meninggalkan hukum yang sukar dan mengambil hukum yang ringan kerana maslahah, dan kaedah ini merupakan salah satu usul agama Islam dan selaras dengan firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمْ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمْ الْعُسْر

Maksudnya: Allah SWT mahu memberikan kemudahan kepada kalian, dan Dia tidak mahu memberikan kesusahan kepada kalian.

Surah al-Baqarah (185) (Lihat al-Mabsut 10/145)

Selain itu, dalil istihsan ini juga sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan konsep maslahah dan Maqasid Syariah, di mana menurut Imam Abu Ishaq al-Syatibi, istihsan disisi mazhab Malik ialah beramal dengan maslahah dalam isu-isu juz’iy yang bercanggah dengan dalil umum, dan ia juga bermaksud mendahulukan istidlal dengan maslahah mursalah ke atas qiyas. Ulama yang menggunakan istihsan pula tidak berpandukan semata-mata kepada perasaan dan kehendaknya sahaja, tapi dia mesti mengambil Maqasid Syariah dalam perkara tersebut. (Lihat al-Muwafaqat 4/195)

Bagi Syeikh Wahbah al-Zuhaily pula, istihsan sebenarnya merupakan apa yang biasanya diaplikasikan oleh pengamal undang-undang, iaitu menggapai ruh dan semangat suatu undang-undang serta prinsip-prinsip umum yang universal. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/739) Dalam konteks fiqh dan syariat, istihsan sebenarnya merupakan usaha untuk mencapai objektif Syariah, iaitu mencapai maslahah dan mengelakkan mafsadah.

Autoriti al-istihsan: Majoriti para ulama menggunapakai al-istihsan dan menganggapnya sebagai satu dalil daripada dalil-dalil hukum. Manakala sebahagian fuqaha lain pula mengingkarinya seperti golongan al-Syafi‘iyyah. Sehingga dinukilkan daripada Imam al-Syafi‘i bahawa beliau berkata: Istihsan adalah berseronok-seronok dan berkata mengikut hawa nafsu. Kata beliau lagi: Sesiapa yang melakukan istihsan sesungguhnya dia telah membuat syariat. (Lihat al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Saifuddin al-Amidi 4/209)

[7] Lihat https://www.elbalad.news/3272859. Diakses pada 26 Disember 2023.

[8] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/17482/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D9%81%D8%B1%D9%85-%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B5%D8%A7%D8%AD%D9%81-%D8%A7%D9%84%D9%82%D8%AF%D9%8A%D9%85%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%A8%D8%A7%D9%84%D9%8A%D8%A9-%D9%88%D8%A7%D9%84%D8%A7%D9%88%D8%B1%D8%A7%D9%82-%D8%A7%D9%84%D8%AF%D9%8A%D9%86%D9%8A%D8%A9. Diakses pada 26 Disember 2023.

[9] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/11350. Diakses pada 26 Disember 2023.