Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana seseorang yang tidak ingin berdakwah lagi kerana ingin perbaiki atau islah dirinya terlebih dahulu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

(Surah Ali ‘Imran: 110)

Ayat ini menunjukkan Allah SWT memuji umat ini dengan menyatakan mereka adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan oleh Allah SWT daripada kalangan manusia yang ada. Ini kerana, disebabkan kesempurnaan diri mereka dengan wujudnya iman serta beriltizam dalam melaksanakan perintah Allah SWT, di samping menyempurnakan orang lain dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 143).

Ada dalam kalangan orang-orang yang baik apabila ditanya, “Kenapa kamu tidak menyampaikan dakwah?” Lantas dijawabnya: “Saya perlu mengislahkan diri saya dahulu.” Bahkan sebahagian mereka berhujah dengan beberapa nas yang memberi ancaman pada mereka yang pandai menyuruh orang berbuat baik, sedangkan dia tidak melakukan kebaikan.

Jawapannya, kita katakan bahawa konsep seperti ini adalah salah faham yang amat nyata. Ini kerana untuk mencapai kesempurnaan, sudah tentu neraca dan ukurannya amat sukar. Apa yang sepatutnya dilakukan adalah dengan kita mengislahkan diri kita, dan pada saaat yang sama, kita menyampaikan dakwah. Seorang ulama apabila ditanya tentang isu ini, lantas beliau memberi jawapan:

أَصْلِحْ نَفْسَكَ وَادْعُ غَيْرَكَ

Maksudnya: “Perbaikilah diri kamu serta serulah orang lain.” (Lihat Asalib al-Da‘wah wa al-Irsyad, hlm. 180)

Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

(Surah Ali ‘Imran: 104)

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan bahawa ayat di atas mengandungi perintah untuk sebahagian daripada anggota ummah, untuk melakukan perintah yang terkandung di dalam ayat. Tanggungjawab ini diletakkan sebagai suatu fardhu kifayah, iaitu kewajipan yang wajib disempurnakan sebahagian daripada sesuatu kelompok, sekiranya tiada yang melakukan, maka berdosalah seluruh ahli dari kelompok itu. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 4/165)

Perlu juga diingat, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.”

Riwayat al-Bukhari (3461)

Syeikh al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa hadith ini menuntut kita untuk menyampaikan satu ayat daripada al-Quran walaupun ayat tersebut pendek. Hadith ini juga boleh difahami bahawa Nabi SAW juga menuntut kita untuk menyampaikan hadith-hadith Baginda SAW. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/360).

Pada saat yang sama, kehendak dan nawaitu serta azam yang bulat dan tekad untuk mengislahkan diri adalah sikap yang terpuji dan tidak mengendurkan sedikit pun semangat juang untuk menyampaikan dakwah. Bahkan dakwah itu sendiri adalah proses pengislahan. Boleh jadi ketika mana beliau menyampaikan dakwah, akan turun dan singgah dalam hidupnya, sakinah, hidayah dan pertolongan Allah. Justeru, dengan itu, dia menjadi bertambah baik.

Mereka yang berhujah dengan ‘untuk membaiki diri dulu’ hanya akan menyebabkan terbantutnya usaha dakwah. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA Rasulullah SAW telah bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ ، وَخَيْرُ الخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: “Setiap anak Adam banyak melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang banyak melakukan kesalahan adalah orang yang banyak bertaubat.”

Riwayat al-Tirmizi (2499), Ibn Majah (4251) Ahmad (13049), Ibn Abi Syaibah (34216), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5/420), al-Hakim (4/244), al-Darimi (2727) dan Abu Ya‘la (2922). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai hasan dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (5/92)

Berdasarkan hadith di atas, difahami bahawa manusia tidak akan terlepas daripada kesilapan. Al-Mubarakfuri berkata:  ‘كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ’ yakni banyak kesalahan.  Ungkapan  ‘وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ’ (Sebaik-baik orang yang banyak melakukan kesalahan adalah orang yang banyak bertaubat) bermaksud mereka kembali kepada Allah dengan bertaubat daripada segala maksiat, dan sebaliknya giat dalam melakukan ketaatan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/202)

Justeru, dengan kita mengislahkan diri kita, sentiasa menambah ilmu, menguatkan amalan ibadat, membetulkan niat, dan berdakwah kepada Allah SWT, maka itulah solusi yang terbaik berdasarkan kepada himpunan pandangan serta perlakuan salafus soleh terdahulu.

Semoga kita sentiasa diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT, seterusnya dapat mengislahkan diri dari semasa ke semasa agar hubungan menjadi bertambah dekat dan akrab dengan Tuhan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.