Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana hukumnya seseorang mempersendakan al-Quran dan Rasul SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ ﴿٦٥﴾ لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ
Maksudnya: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.
(Surah al-Taubah: 65-66)
Ayat ini turun kepada sebahagian orang munafik ini sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya, katanya: “Abdullah ibn Wahab berkata: Hisyam bin Sa‘d mengkhabarkan kepadaku, daripada Zaid bin Aslam, daripada Abdullah bin Umar, katanya: “Seorang lelaki berkata ketika perang Tabuk dalam satu majlis, ‘Aku dapati para qurra’ kita (orang yang mahir membaca al-Quran dalam kalangan kita), adalah orang yang paling menjaga perut, paling pembohong dan paling pengecut apabila bertempur dengan musuh.’ Seorang lelaki yang berada di masjid ketika itu berkata, ‘Engkau pembohong, dan engkau adalah munafik! Aku pasti akan memberitahu Rasulullah SAW tentang hal ini.’ Lalu berita tersebut sampai kepada Rasulullah SAW, lalu ayat di atas diturunkan.” Abdullah bin Umar berkata: “Aku melihat lelaki itu bergantung pada tali kekang unta Rasulullah SAW dan batu terkenanya, sambil dia berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami hanya bergurau dan bermain.’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Adakah dengan Allah dan Rasul-Nya kamu mempersendakan? Janganlah kamu memohon kemaafan, kerana kamu telah kufur selepas keimanan kamu.’” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/171)
Golongan seperti ini yang menghina al-Quran ketika menuju ke Tabuk apabila ditekan mereka memohon maaf seraya berkata, “Kami hanya bergurau dan bermain-main. Ini bertujuan unutk melepaskan lelah musafir kami dan kami sekali-kali tidak bermaksud demikian.” (Lihad Zad al-Masir, 3/465 dan Tafsir al-Jalalain, 1/251)
Syeikh al-Tantawi berkata ketika menafsirkan ayat ini: “Apabila kamu wahai Nabi yang mulia atau orang beriman yang berakal bertemu dengan orang yang bermain-main dengan ayat-ayat Kami dengan cara mendustakannya, mentohmahnya atau menghinanya maka hendaklah kamu melarikan diri daripada mereka atau meninggalkan majlis mereka supaya mereka melihat perbuatan kamu itu (iaitu meninggalkan mereka) seperti tidak senang dengan tingkah laku mereka dan janganlah kamu kembali semula kepada mereka sehinggalah mereka berbicara tentang perkara yang lain. Ini kerana, ayat-ayat Kami itu dinisbahkan kepada Kami (Allah SWT) dan menjadi tanggungjawab kita terhadap ayat-ayat al-Quran adalah dengan membesarkan serta memuliakannya dan bukannya menjadi tempat untuk diejek atau dihina.” (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 5/98)
Menurut imam al-Nawawi, perbuatan mempersendakan agama bagi seorang muslim adalah haram bahkan boleh membawa kepada murtad. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/293)
Ibn Hajar al-Haitami pula menyatakan, perbuatan tersebut merupakan suatu bentuk daripada dosa-dosa besar. Persendaan terhadap agama itu termasuklah mempersendakan nama Allah SWT atau Nabi SAW, mempermainkan perintah dan larangan-Nya. Hal ini sebagai contoh apabila seseorang berkata “Jika Allah memerintahkan kepadaku begini dan begitu maka tidak akan aku lakukan” atau “Jika kiblat arahnya sedemikian tidak akan aku solat menghadapnya” dan sebagainya daripada bentuk-bentuk yang mempersendakan agama. (Lihat al-Jawazir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 1/48)
Al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”