Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum menarik semula ta’liq talak?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ
Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
Surah al-Baqarah (229)
Ayat ini bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung (التنجيز) mahupun tidak langsung tergantung (التعليق ). Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak ke atas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta’liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya. (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, 7/447)
Berkenaan masalah menarik semula ta‘liq talak, secara umumnya terdapat beberapa pendapat di sisi ilmuan Islam tentang hukumnya, sama ianya dibolehkan atau tidak. Dalam menyusun kesemua pandangan ini, kami cuba membawakan bersama hujjah setiap pandangan agar dapat dinilai kekuatan istidlal mereka pada hukum yang dikeluarkan.
Pertama: Tidak Boleh Menarik Semula Ta‘liq Talak
Ini merupakan pandangan majoriti fuqaha’ mazhab. Muhammad bin Ahmad ‘Ulaisy, seorang tokoh Mazhab al-Maliki menyebutkan, sekiranya seorang suami telah melafazkan ta‘liq: “Jika aku berkahwin lain, mencari wanita simpanan, atau mengeluarkan isteriku dari tempat asalnya, maka pilihan di tangannya (sama ada untuk terus bersama atau memilih untuk dijatuhkan talak),” maka si suami tidak boleh merujuk semula lafaz ta‘liqnya itu. Dan ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Siqli. (Lihat Minah al-Jalil, 4/186)
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin turut menyebutkan masalah ini, sekiranya seseorang itu menta‘liq isterinya dengan syarat, adakah boleh untuk dia membatalkan syarat tersebut sebelum ia berlaku. Sebagai contoh, seseorang itu berkata kepada isterinya: “Sekiranya kamu pergi ke rumah keluargamu, maka jatuhlah talak kepadamu.” Dia berniat untuk talak, bukan sebagai sumpah. Kemudian dia ingin menarik balik ta’liqnya tersebut, adakah dibolehkan?
Jumhur ulama’ menyatakan bahawa tidak boleh seseorang itu membatalkan talak bersyarat ini kerana dia mengeluarkan talak ini daripada mulutnya dengan syarat tersebut. Maka talak ini berlaku sebagaimana talak biasa (munjiz). (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 13/127)
Al-Mardawi al-Hanbali di dalam kitabnya al-Insaf (9/60) memberikan faedah dalam perbahasan ta‘liq talak, katanya, sekiranya suami malafazkan ta‘liq talak dengan syarat tertentu, maka lazim ke atasnya ta‘liq itu dan dia tidak boleh membatalkannya. Inilah pendapat mazhab, dan ashab (al-Hanabilah) tanpa ada yang berkecuali memutuskan perkara yang sama.
Dakwaan tanpa ada pengecualian ini mungkin dapat disangkal, kerana terdapat riwayat lain dari Imam Ahmad dan sebahagian lain al-Hanabilah yang tidak bersetuju dengan pandangan majoriti.
Jelas di sini, hujjah mereka, apabila seseorang suami itu telah melafazkan talak secara ta‘liq ini, maka lazim ke atasnya untuk kekal dan tidak boleh ditarik, seperti mana lafaz talak secara terus juga tidak boleh ditarik.
Kedua: Boleh Menarik Semula Ta‘liq Talak
Ini adalah salah satu riwayat yang datang dari Imam Ahmad bin Hanbal. Dinukilkan dari kitab al-Intisar fi Masa’il al-Kibar dan kitab al-Wadhih sebuah riwayat yang mengharuskan seseorang untuk menarik semula ta‘liq pada pembebasan hamba, dan ia turut terpakai pada talak. (Lihat al-Insaf, 9/60; al-Furu‘ wa Tashih al-Furu‘, 8/134)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah berpendapat, ini merupakan haknya, jika dia ingin membatalkannya, maka tidak mengapa. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 13/127)
Apabila dilihat, hujjah yang mereka bawakan adalah qias kepada masalah pembebasan hamba. Pembebasan hamba ini merupakan satu amalan yang amat besar ganjarannya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَعْتَقَ رَقَبَةً مُسْلِمَةً، أَعْتَقَ اللَّهُ بِكُلِّ عُضْوٍ مِنْهُ عُضْوًا مِنَ النَّارِ، حَتَّى فَرْجَهُ بِفَرْجِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang memerdekakan seorang hamba muslim, maka Allah akan membebaskannya daripada Neraka dengan setiap anggota tubuhnya, (termasuk) anggota kemaluannya dengan kemaluannya.”
Jika pembebasan yang merupakan tuntutan agama juga boleh ditarik semula ta‘liq pembebasannya, maka lebih utama untuk diharuskan menarik semula ta‘liq talak.
Tarjih
Dr. Husam al-Din ‘Afanah pernah membahaskan isu ini, dan beliau lebih memilih untuk membuka semula perbincangan tentang pandangan majoriti fuqaha’ yang melarang tarik semula ta‘liq talak. Meskipun begitu, kami lebih cenderung kepada pendapat majoriti, kerana membenarkan perkara ini boleh membuka pintu keburukan yang besar serta mendatangkan keburukan kepada para isteri.
Oleh yang demikian, kami membawakan perbincangan berikutnya berkenaan menarik ta‘liq talak yang telah ditetapkan dalam akta di Malaysia agar lebih jelas mengapa kami memilih untuk mentarjihkan pandangan majoriti.
Menarik Semula Ta‘liq Talak Berdasarkan Waqi‘ Malaysia
Mengangkat kajian ta‘liq talak berdasarkan waqi‘ Malaysia ini adalah penting bagi menolak kemudharatan pada masa akan datang. Hal ini kerana terdapat keperluan untuk menjaga beberapa maslahah khusus sehingga memerlukan kerajaan setiap negeri meletakkan bacaan ta‘liq di dalam akta dan garis panduan yang mesti dilakukan pada setiap proses pendaftaran perkahwinan. Maslahah tersebut adalah memelihara hak isteri dan maslahah mereka.
Lafaz ta‘liq yang dibacakan oleh suami mungkin tidak diselaraskan bagi setiap negeri, akan tetapi ia kebiasaannya berkait rapat dengan keadaan apabila suami meninggalkan isterinya selama satu tempoh masa yang tertentu antara 3 hingga 4 bulan tanpa memberikan nafkah, maka terjatuh talak satu. Ada juga yang menyatakan, sekiranya si suami memukul isterinya, maka isteri mempunyai hak untuk mengangkat perkara tersebut ke muka pengadilan mahkamah syari‘ah dan terjatuh talak satu.
Kesemua perkara ini tujuannya tidak lain demi menjaga hak seorang isteri yang selayaknya menerima nafkah sepanjang berada di bawah tanggungjawab suaminya. Begitu juga, antara maqasid perkahwinan itu adalah untuk mencapai sakinah, mawaddah dan rahmah. Allah SWT berfirman:
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
(Surah Rum: 21)
Maka ta‘liq yang dilafazkan bertujuan untuk menjauhkan isteri dari sebarang unsur penderaan fizikal yang semakin lama semakin berleluasa di Malaysia. Jika dilihat, ta‘liq itu seakan satu perjanjian bahawa si suami akan menceraikan isterinya, sedangkan mengekalkan ikatan perkahwinan itu lebih baik berbanding penceraian. Firman Allah SWT:
وَٱلصُّلْحُ خَيْرٌۭ
Maksudnya: “Perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai).”
(Surah al-Nisa’: 128)
Tetapi, sebuah kaedah fiqh ada menyebut:
دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ
Maksudnya: “Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan kebaikan.”
Menghuraikan kaedah di atas, al-Izz bin ‘Abd al-Salam berkata, kaedah ini digunakan apabila bertembung maslahah kebaikan dan juga keburukan. Jika boleh dihimpunkan antara mendapatkan kebaikan dan menolak keburukan, maka wajib ke atas kita melakukannya. Sekiranya tidak mampu untuk menghimpunkan keduanya, maka perlulah mengutamakan untuk menolak keburukan. (Lihat Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 1/98)
Demi mengekalkan ikatan perkahwinan – yang mana ianya merupakan suatu kebaikan – dan mencapai maqasid utama dari perkahwinan itu, maka suami dituntut untuk membacakan ta‘liq talak bagi mengelakkan sebarang keburukan berlaku sepanjang perkahwinan itu.
Sekiranya menarik semula ta‘liq talak ini dibenarkan, maka lebih banyak keburukan yang akan berlaku dari pihak suami yang tidak bertanggungjawab. Mereka akan sesuka hati menarik semula ta‘liq tersebut demi kepentingan diri, tanpa melihat kepada hak yang sepatutnya diberikan kepada si isteri. Oleh kerana ini, mengekalkan pandangan jumhur fuqaha’ yang tidak membenarkan ta‘liq itu dari ditarik adalah lebih baik berbanding membuka pintu keburukan yang lebih besar.
Penutup
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa talak ta‘liq yang sudah dilafazkan adalah jatuh dan tidak boleh ditarik semula. Inilah pandangan yang terkuat dan merupakan pandangan jumhur.
Walau bagaimanapun, keputusan hakim dalam isu ini adalah dianggap sebagai penyelesai, dan mengangkat sebarang khilaf yang berlaku, sepertimana disebut dalam kaedah yang masyhur:
حُكْمُ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim (pemerintah) mengangkat sebarang khilaf (percanggahan).”
Al-Qarafi dalam menjelaskan kaedah ini berkata, hukum hakim dalam masalah ijtihad yang mengangkat khilaf, dan hendaklah yang menyalahi kembali daripada mazhabnya kepada mazhab hakim dan berubah fatwanya selepas keputusan hukum yang terdahulu mengikut pendapat yang sahih dari mazhab ulama’. (Lihat al-Furuq, 2/103)
Justeru keputusan hakim seperti pemerintah tertinggi dalam perkara makruf dan ketaatan adalah wajar dijunjung dan dipatuhi.
Dalam kesempatan ini, kami mengambil peluang untuk menasihatkan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya, agar tidak mengambil ringan perbahasan talak ini, kerana talak tetap boleh terjatuh walau sekadar gurauan semata-mata. Rasulullah SAW bersabda sebagaimana dalam hadith Abu Hurairah R.A:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, dan rujuk.”
Riwayat Abu Daud (2194)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 7)
Wallahu a‘lam