Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kita perlu membezakan antara golongan Yahudi dan Nasrani dalam pendekatan dan dakwah bahkan dialog?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”

(Surah al-Ma’idah: 82)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah, ‘ لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا’, yakni bahawa orang-orang musyrik dan Yahudi adalah orang-orang yang paling memusuhi orang-orang beriman, sedangkan orang-orang Nasrani adalah orang-orang yang paling dekat rasa cintanya kepada orang-orang beriman. (Lihat Fath al-Qadir, 2/77)

Syeikh al-Sa’di berkata: Kedua kelompok ini (orang Yahudi dan musyrik) secara mutlak adalah orang-orang yang paling keras memusuhi Islam dan umat Islam, serta paling berusaha untuk merugikan umat Islam. Hal tersebut disebabkan kebencian mereka yang besar, atas dasar kedengkian, penolakan dan kekufuran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 2/125)

Syeikh al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib berkata:

Terdapat perbezaan yang jelas untuk berurusan dengan kedua-dua kelompok tersebut. Antara agama Kristian dan Islam sejak zaman dahulu lagi, telah wujudnya persengketaan. Di dalam al-Quran, disebutkan bahawa Nasrani lebih dekat kepada Muslim, kerana di antara mereka terdapat pendeta dan rahib, dan Maryam dianggap sebagai wanita terbaik di dunia menurut ayat al-Quran. Adapun Bani Israil, mereka hanya ingin menggunakan dialog sebagai cara untuk memujuk kami menormalisasi tanpa memberikan sesuatu yang benar-benar bermanfaat kepada rakyat Palestin. Saya ingin menegaskan bahawa Rasulullah SAW pernah berurusan dengan orang Yahudi dengan penuh rasa kasih dan hormat, sehingga beliau meminta seorang Muslim yang berkahwin dengan seorang Yahudi agar tidak memaksa isterinya untuk menukar agamanya, dan membenarkan isteri tersebut untuk pergi ke tempat ibadahnya untuk bersembahyang. Di kalangan orang Yahudi, hanya sedikit yang berlaku adil, seperti yang dinyatakan. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 3/282)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.