Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Berapa lama hubungan antara barat dan Islam akan tegang? Ini kerana kami dapati seolah-olah tiada punca perdamaian yang sebenarnya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya:Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

(Surah al-Nahl: 125)

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menytakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)

Al-Maraghi menjelaskan: Yakni, gunalah pendekatan yang terbaik dalam dakwah dan berdebat, iaitu berdakwah dengan cara yang terbaik. Itulah kewajipanmu manakala pemberian petunjuk dan penyesatan serta pembalasan terhadap kedua-duanya diserahkan kepada Allah SWT semata-mata. Dia lebih mengetahui keadaan orang yang tidak mahu meninggalkan kesesatan kerana ikhtiarnya yang buruk dan keadaan orang yang mengikut petunjuk kerana dia mempunyai persiapan yang baik. Apa yang digariskan oleh Allah SWT untuk berdakwah, itulah yang dituntut oleh hikmah dan itu telah cukup untuk memberikan petunjuk kepada orang yang mahu mengikut petunjuk serta menghilangkan alasan daripada orang yang sesat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3868)

Syeikh al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib berkata:

Ketegangan ini berpunca dari Barat dan bukannya umat Islam. Islam tidak membawa permusuhan kepada siapa pun, dan Islam menjadikan iman kepada kedua ajaran samawi sebelumnya sebagai satu juzuk yang tidak boleh dipisahkan dari akidah seorang Muslim, maka di sana terdapat ikatan agama antara Muslim, Yahudi, dan Nasrani. Inilah keyakinan kami dan kami menerapkannya dalam interaksi kami dengan mereka yang berbeza kepercayaan dari Ahli Kitab. Sekiranya ada yang melanggar hal tersebut, perbuatan itu ditolak dan dikecam oleh komuniti Muslim. Malang sekali, roh permusuhan masih datang dari Barat. Sebahagian besar penganut Yahudi dan Kristian tidak mengakui Islam sebagai agama samawi dan menyebarkan maklumat yang salah tentangnya, serta mewarisi kebencian mereka tanpa sebarang sebab yang jelas, bahkan tanpa kefahaman yang sebenarnya tentangnya.

Oleh itu, kami menuntut orang Barat untuk membuang roh permusuhan dan rasa benci yang diwariskan terhadap Islam dan umat Islam itu. Kami menyeru mereka untuk menghentikan dasar-dasar Islamofobia. Kami juga menyeru institusi keagamaan Barat untuk berhenti memburukkan Islam dengan menyuarakan provokasi, menyifatkan Islam dengan sesuatu yang tidak benar, dan menyebarkan maklumat yang salah tentang agama kami. Begitu juga, kami menuntut organisasi pembaptisan Barat untuk menghentikan gerakan mereka yang menyasarkan golongan fakir Muslim, dan mengeksploitasi keperluan hidup mereka seperti makanan, minuman, ubat-ubatan, dan pakaian sebagai alat untuk memalingkan mereka dari agama Islam. Bantuan kemanusiaan seharusnya tidak perlu mengaitkan sebarang ideologi dan tuntutan keagamaan. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 3/283-284)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.