Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah untuk merawat jika seorang itu malas untuk sembahayng malam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah (sembahyang tahajjud) padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

(Surah al-Isra’: 79)

Ibn al-‘Arabi menjelaskan, firman-Nya ‘فَتَهَجَّدْ بِهِ’ bermaksud berjagalah di waktu malam. Perkataan الْهُجُودُ” membawa maksud tidur, manakala perkataan التَّهَجُّدُ” adalah dalam wazan (timbangan kata) تَفَعُّلٌ” yang membawa maksud mengusahakan perbuatan itu dan mensabitkannya sebagaimana asalnya. Adakalanya timbangan perkataan atas wazan ini membawa erti menafikan perbuatan tersebut. Tetapi hanya segelintir perkataan sahaja yang membawa pengertian penafian ini. Keseluruhannya ada tujuh perkataan yang wazan “تَفَعُّلٌ” baginya membawa erti menafikan perbuatan tersebut, iaitu “تَهَجَّدَ” yang membawa maksud menafikan “الْهُجُودَ”  (tidur). (Lihat Ahkam al-Quran, 5/372).

Ibn Kathir dalam menghuraikan makna tahajjud, menyebutkan: Sesungguhnya tahajjud itu adalah sesuatu yang dilakukan selepas tidur. Inilah pendapat yang disebutkan oleh ‘Alqamah, al-Aswad, Ibrahim al-Nakha‘i, dan selain mereka dan inilah maksudnya yang makruf dalam bahasa Arab. Demikian juga telah thabit hadith-hadith daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda melakukan solat tahajjud selepas bangun daripada tidur. Hal ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, Aisyah, dan selain mereka daripada kalangan para sahabat R.Anhum. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 5/102).

Kami nyatakan di sini beberapa kelebihan solat malam:

Terdapat banyak dalil dan nas bahawa syariat menggalakkan umatnya melakukan ibadat Qiamullail yang sepatutnya menjadi amalan setiap individu muslim. Apatah lagi jika mereka merupakan seorang ulama’ atau da’ie. Antara dalil-dalilnya ialah:

Antaranya:

  1. Memperoleh Kedudukan yang Terpuji

Firman Allah SWT :

‏ وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

(Surah al-Isra’: 79)

Para ulama’ mengatakan: Pengertian ibadah sunat (tambahan) pada ayat, ada dua pengertian:

Pertama: Bahawa ini hanya diperuntukkan dan diwajibkan kepada kamu. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dengan sanad daif dia berkata: Abdullah bin Abbas RA berkata: “Qiamullail diwajibkan kepada Rasulullah SAW sementara bagi kita itu hanya berupa ibadah sunat.”

Jadi, makna nafilah adalah bahawa solat tahajjud merupakan tambahan kewajipan dari solat lima waktu khususnya pada diri Rasulullah  SAW.  Oleh kerana itu, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan Qiamullail sama ada dalam keadaan bermukim di Madinah mahupun ketika musafir, sehingga Rasulullah SAW wafat.

Kedua: Nafilah, bererti tambahan kebaikan bagi dirimu. Sedangkan selain kamu, Qiamullail itu bukan berupa tambahan kebaikan bagi mereka. Hal ini kerana Qiamullail bagi kita merupakan penebus daripada kejahatan-kejahatan kita. Begitu juga kerana kita adalah jiwa para pendosa dan kesalahan, kejahatan dan kemaksiatan, sedangkan Rasulullah SAW semua dosa dan kesalahannya, sama ada yang dahulu mahupun yang akan datang telah diampuni oleh Allah SWT, maka Qiamullail hanyalah berupa tambahan kebaikan sahaja baginya, sebagaimana yang difirmankan Allah SWT:

لِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ

Maksudnya: “Supaya memberi keampunan terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang…”

(Surah al-Fath: 2)

  1. Perintah untuk Qiamullail Walaupun Sedikit

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ ‎﴿١﴾‏ قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا ‎﴿٢﴾‏ نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut (Muhammad) bangunlah untuk sembahyang di malam hari kecuali sedikit daripadanya iaitu seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit.”

(Surah al-Muzammil: 1-3)

Al-Syaukani menjelaskan: Maksudnya, bangunlah setengah malam atau kurangkanlah sedikit daripada setengah itu sehingga menjadi sepertiga. Atau tambahkanlah sedikit daripada setengah itu sehingga menjadi dua pertiga. Seakan-akan ia berkata: Bangunlah dua pertiga malam, atau setengahnya, atau sepertiganya. (Lihat Fath al-Qadir, 11/689).

  1. Sifat Golongan yang Hebat di Sisi Allah

Firman Allah SWT:

كَانُوا قَلِيلًا مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ (17) وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (18)

Maksudnya: “Di dunia mereka sedikit tidur di waktu malam. Dan selalu memohonkan keampunan di waktu pagi sebelum fajar.”

(Surah al-Zariyat: 17-18)

Ahnaf bin Qais R.A  mengatakan: “Tatkala aku menyerahkan jiwa aku kepada kitabullah, aku melihat bahawa orang-orang soleh telah memperolehi keutamaan yang sangat banyak.”

Ada yang mengatakan bahawa huruf ‘مَا’ pada ayat ini adalah “ma nafiyah” (ertinya tidak) sehingga maknanya adalah; “mereka sedikit sekali bangun di waktu malam.” Namun jika dikatakan “ma masdariyah”, maka ertinya; “mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan di sebahagian besar malam, mereka tidak tidur.”

Para ulama’  mengatakan: “Kita mesti melakukan Qiamullail, meskipun seperti lamanya mengeluarkan susu kambing.”

Mereka juga mengatakan: “Orang-orang yang biasa Qiamullail adalah orang yang melakukan solat dua rakaat dan inilah makna sedikit bangun malam itu.”

Para ulama’ daripada kalangan salafussoleh mengatakan: “Lakukanlah Qiamullail pada awal malam, atau pada pertengahan malam atau pada akhir malam, supaya kamu termasuk dalam golongan orang yang disebutkan Allah di dalam firman-Nya tersebut.”  (Lihat Ensiklopedia Solat Sunat, hlm. 75)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, jangan sekali-kali tinggal solat malam kerana Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya. Sebaliknya jika sakit atau malas, maka solatlah dengan cara duduk. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin Abi Musa, bahawa Aisyah R.Anha berkata:

لَا تَدَعْ قِيَامَ اللَّيْلِ، فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَذَرُهُ، وَكَانَ إِذَا مَرِضَ أَوْ كَسِلَ صَلَّى قَاعِدًا

Maksudnya: “Jangan sesekali meninggalkan solat malam, kerana sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya walaupun dalam keadaan sakit atau berasa malas, dengan melakukannya secara duduk.”

Riwayat Abu Dawud (1307), Ahmad (26114) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (800). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Adab al-Mufrad (614).

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”