Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Suami sudah meninggal dunia. Adakah dibolehkan menggunakan duit peninggalan suami untuk perbelanjaan nafkah seperti perbelanjaan anak sekolah barang dapur dan sebagainya. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/274)

Diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”

Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997)

Imam al-Syaukani menyebut: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin. Ijma’  ulama’ turut sepakat mewajibkan nafkah suami terhadap isteri  dan anak-anak (Lihat Nail al-Autar, (6/381)

ـJusteru, jelas bahawa kewajipan memberi nafkah ke atas anak-anak dan isteri adalah tanggungjawab seorang bapa. Hal ini juga berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/634)

Begitu juga diriwayatkan daripada  Abu Hurairah R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلًا أَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم فَقَالَ: إِنَّ مَعِي دِينَارًا قَالَ: أَنْفِقْهُ عَلَى نَفْسِكَ قال: إن معي آخر قال: أَنْفِقْهُ عَلَى وَلَدِكَ

Maksudnya: “Bahawasanya seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai satu dinar, lalu baginda bersabda: “Tunaikanlah nafkah ke atas dirimu, lalu lelaki tersebut berkata: Aku juga mempunyai yang lain (wang), lalu baginda bersabda: “Tunaikanlah nafkah ke atas anakmu….”

Riwayat Abu Dawud (1691), al-Nasa’i (5/62), al-Hakim (1/415)

Berdasarkan kedua-dua nas di atas jelaslah bahawa seseorang bapa berkewajipan memberi nafkah kepada anak-anaknya. Kewajipan tersebut berasaskan tiga faktor iaitu perkahwinan, keturunan dan pemilikan.

Bagi menjawab persoalan di atas, perlu difahami bahawa sekiranya suami meninggalkan harta, terdapat beberapa perkara yang mesti didahulukan sebelum pembahagian faraid dilakukan. Keutamaan pertama ialah pengurusan jenazah yang perlu disempurnakan terlebih dahulu. Seterusnya, segala hutang si mati hendaklah dilangsaikan, diikuti dengan pelaksanaan wasiatnya, sekiranya ada, mengikut ketetapan syariah. Selain itu, sebarang tanggungan si mati, seperti nafkah yang belum diselesaikan semasa hayatnya, juga perlu ditunaikan. Setelah semua keperluan ini dipenuhi, barulah harta pusaka boleh dibahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraidh  yang telah ditetapkan.

Telah dinyatakan dalam Mausua’h Fiqh al-Islami bahawa: “Hak pertama yang perlu diberi perhatian dalam urusan harta pusaka adalah hak yang berkaitan dengan harta yang ditinggalkan, seperti cagaran, hutang, dan zakat yang wajib. Kemudian, kelengkapan untuk persiapan jenazahnya. Termasuk juga  dalam hal  ini adalah keperluan tanggungan si mati ketika dia masih hidup seperti hambanya dan isterinya yang tidak nusyuz. Yang demikian  sekiranya dia seorang yang  mampu yang memiliki harta peninggalan. Kemudian hendaklah diselesaikan segala hutang-hutang yang menjadi tanggungannya samada hutang  tersebut berkaitan hutang kepada Allah SWT  atau kepada manusia.

Selain itu juga, hendaklah melaksanakan segala wasiat-wasiat yang ditinggalkan seperti pembebasan hamba yang diwasiatkan selepas kematiannya atau  sumbangan yang tidak sempat dipenuhi  ketika dia sakit serta melaksanakan wasiatnya dengan kadar 1/3 daripada peninggalannya dan kemudian barulah dibahagikan harta peninggalan tersebut kepada ahli waris. (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami, 4/295)

Justeru, jelas kepada kita bahawa tanggungjawab memberi nafkah kepada ahli keluarga adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan semasa seseorang itu masih hidup. Berdasarkan pemahaman ini, tanggungjawab dan kewajipan seorang suami terhadap nafkah akan terhenti selepas kematiannya. Namun begitu, isteri dan anak-anak tetap berhak menuntut nafkah yang tertangguh semasa hayat suami daripada harta peninggalan selepas kematiannya.

Kesimpulan

Nafkah merupakan tanggungjawab utama seorang suami terhadap isteri dan anak-anaknya, sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran dan hadith. Kewajipan ini merangkumi penyediaan makanan, pakaian, tempat tinggal, dan keperluan asas lain yang sesuai dengan kemampuan suami. Islam menegaskan bahawa seorang bapa wajib menunaikan nafkah kepada keluarganya, walaupun dalam keadaan kesempitan, sebagaimana disepakati oleh para ulama. Namun, tanggungjawab ini terhenti selepas kematian suami, kecuali nafkah yang masih tertunggak semasa hayatnya. Nafkah tersebut boleh diambil daripada harta peninggalannya sebelum proses pembahagian faraid dilaksanakan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Wallahua’lam