Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Islam menggesa umatnya untuk bekerja, berbanding sikap berpeluk tubuh tanpa bekerja?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِن رِّزْقِهِ ۖ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).”

(Surah al-Mulk: 15)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan, inilah prinsip Islam, bumi telah disediakan oleh Allah SWT dan dipermudahkan untuk manusia berjalan di permukaannya untuk memperoleh rezeki-Nya. Maka wajarlah bagi manusia untuk memanfaatkan nikmat ini dan berusaha dalam segenap sudut untuk mendapatkan anugerah Allah SWT.

Selain itu, Nabi SAW menolak pemikiran sesetengah orang yang merendahkan pekerjaan dan usaha orang lain. Baginda SAW mengajar kepada para pengikutnya bahawa kemuliaan yang sebenar ialah apabila seseorang itu bekerja untuk mencari sara hidupnya dengan apa-apa pekerjaan sekalipun. Sesungguhnya kehinaan itu ialah apabila seseorang itu bergantung hidupnya atas bantuan orang lain. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 218 dan 222)

Islam amat menggalakkan dan menyanjung tinggi umatnya yang bekerja sehingga dirinya terhindar daripada sikap meminta-minta kepada orang lain. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal untuk menjauhkan diri dari meminta-minta, dan sebagai satu usaha untuk keluarganya dan untuk bersikap baik dengan tetangganya, maka dia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dalam keadaan mukanya bagaikan bulan purnama. Dan sesiapa yang mencari dunia secara halal, namun dengan niat untuk menimbunkan harta, berbangga dan bersikap sombong, maka dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat dalam keadaan Allah murka kepadanya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).

Di antara pengajaran yang dapat diambil daripada hadith ini adalah, bekerja merupakan satu perkara yang dituntut. Hadith di atas juga jelas menunjukkan bahawa setiap orang perlu berusaha dan bekerja bagi meneruskan kesinambungan hidup.

Di samping itu, seseorang yang berusaha dan bekerja dengan cara yang halal, meskipun dipandang hina oleh manusia, itu adalah lebih baik dan mulia daripada meminta-minta dan menjadi beban bagi orang lain. (Lihat Bahjah al-Nazirin, 1/598).

Selain itu, daripada al-Zubair bin al-’Awwam R.A, bahawa Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الْحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ فَيَبِيعَهَا فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ، خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya, jika seseorang daripada kamu mengambil tali, lalu dia pergi ke gunung (untuk mencari kayu api), kemudian dia pulang dengan memikul seikat kayu api di atas belakangnya untuk dijual, sehingga dengan itu Allah menjaga mukanya (kehormatannya), maka ia adalah lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada manusia, sama ada mereka memberi atau menolak.”

Riwayat al-Bukhari (1402; 1410)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, pada hadith ini terdapat anjuran untuk menjaga diri dan menghindari sikap meminta-minta, walaupun seseorang perlu merendahkan dirinya dalam mencari rezeki dan menghadapi kesukaran. Jika bukan disebabkan hodohnya meminta-minta dalam pandangan Syariat, sudah tentu mencari rezeki sehingga ke tahap seperti itu tidaklah dianggap lebih utama daripada meminta-minta. Ini kerana seorang peminta akan merasa hina ketika meminta dan ketika ditolak. Begitu juga dengan pemberi, jika akan memberi kepada setiap orang yang meminta, maka dia akan mengalami krisis harta yang dimilikinya.

Adapun ungkapannya “lebih baik baginya,” bukan bermaksud perbandingan. Ini kerana tidak ada kebaikan dalam meminta-minta sekiranya dia masih mampu berusaha. Pendapat paling sahih menurut ulama mazhab al-Syafi‘i adalah bahawa meminta dalam keadaan seperti itu hukumnya adalah haram. (Lihat Fath al-Bari, 8/220).

Justeru, setiap individu wajib berusaha dan bekerja untuk mencari rezeki dengan apa jua jenis pekerjaan yang dijalankannya sama ada dalam bidang pertanian, pertukangan, perniagaan atau urusan pejabat dan perkeranian serta menjalankan apa jua profesion yang boleh mendatangkan manfaat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”