Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum melakukan hubungan intim dalam waktu haid kerana sangka haid isteri sudah berhenti?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat.’ Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Para ulama menafsirkan ayat di atas dengan menyebutkan bahawa orang-orang beriman bertanya kepada Rasulullah SAW tentang berjimak dengan isteri ketika sedang haid. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Baginda menjawab kepada mereka dengan memberitahu bahawa berjimak dengan isteri pada waktu haid adalah sesuatu yang menjijikkan, membahayakan di dunia dan akhirat. Perbuatan ini tidak boleh dilakukan, maka jauhilah perbuatan berjimak dengan isteri pada waktu haid sehingga haid mereka selesai. Jika telah selesai dan mereka telah mandi, maka barulah mereka boleh berjimak dengan isteri-isteri mereka pada tempat (faraj) yang telah dihalalkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang banyak beristighfar kepada-Nya dan menjauhi perbuatan keji dan kotor. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 142).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Ibn Kathir menyebutkan, para ulama bersepakat bahawa jika haid seseorang wanita itu berhenti, maka tidak halal untuk melakukan hubungan intim (suami isteri) sehinggalah dia mandi wajib (bagi mengangkat hadas besar kerana haid) dengan air ataupun bertayammum. Sekiranya terdapat keuzuran atau alasan bagi hal tersebut, maka boleh melakukannya dengan mengikut syarat-syaratnya. Kecuali Yahya bin Bukair daripada kalangan Malikiyyah, salah seorang guru (syeikh) Imam al-Bukhari, beliau berpendapat dibolehkan untuk bersetubuh dengan isteri sebaik sahaja haidnya berhenti. Di antara mereka juga yang menukilkannya daripada Ibn ‘Abd al-Hakam. Selain itu, al-Qurtubi juga ada menukilkannya daripada Mujahid dan ‘Ikrimah, dan begitu juga daripada Tawus. Melainkan Imam Abu Hanifah berpendapat, jika darah haid telah berhenti bagi tempoh sebanyak-banyaknya haid iaitu selama 10 hari menurutnya, maka wanita tersebut boleh melakukan hubungan intim (suami isteri) sebaik sahaja berhentinya haid tersebut tanpa perlu mandi terlebih dahulu dan tidak dibolehkan bagi haid yang berhenti kurang dari tempoh tersebut (yakni 10 hari). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/588).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum melakukan hubungan intim suami isteri ketika dalam haid adalah haram. Namun, sekiranya ia tersilap dan menyangka haid isterinya telah tamat mengikut adat, maka mereka dikira tidak berdosa kerana kesilapan tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah kami dalam kalangan orang yang bertaubat dan jadikanlah kami di kalangan orang-orang yang bersuci dan bersih.”