Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum asal talaq dan keadaan-keadaaanya dalam Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

Surah al-Baqarah (229)

Ayat ini  bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung   (التَّنْجِيْز)  mahupun  tidak langsung tergantung (التَّعْلِيْقُ). Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak ke atas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta’liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya. (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, 7/447)

Berdasarkan nas di atas dan juga Ijma‘, jelas menunjukkan kepada kita bahawa hukum asal talaq adalah harus, dan inilah pendapat jumhur ulama. Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan sebahagian ulama berpendapat hukumnya adalah haram.

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, disebutkan bahawa para fuqaha bersepakat di mana hukumnya berkisar kepada lima perkara, iaitu:

  • Wajib seperti suami yang berila’[1] kepada isterinya apabila enggan kembali selepas cukup tempoh mengikut mazhab Jumhur.
  • Sunat apabila isteri melanggar hak-hak yang wajib bagi Allah SWT atau berperangai buruk sehingga boleh menyakiti suami dan jiran tetangganya. Begitu juga, ketika isteri meminta cerai kepada suami kerana khuatir berlakunya perkelahian.
  • Harus ketika keperluan untuk menolak kejahatan akhlak perempuan dan buruk perlakuannya.
  • Makruh jika di sana ada sebab. Jika tiada sebarang sebab dan alasan untuk bercerai, ada pendapat menyatakan haram.
  • Haram iaitu apabila menceraikan isteri dalam keadaan haid yang sudah disetubuhinya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/9; Lihat juga al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/363; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/139).

Walaupun ianya dibenarkan dalam Islam, tetapi janganlah kita bermudah-mudahan kerana ia adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah SWT. Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبغَضُ الحَلاَلِ إلى اللهِ عزَّ وجلَّ الطَّلاَقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah talaq.

Riwayat Abu Dawud (2178) dan Ibn Majah (2018). Syeikh Syuaib al-Arna’ut menyatakan di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2178) bahawa para perawi bagi hadith ini Thiqah tetapi hadith yang sebetulnya adalah mursal.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

[1] Ila’ (الإيلاء) adalah termasuk dalam perkara-perkara yang menyerupai talaq dalam perhubungan suami isteri. Dari segi bahasa, ila’ dimaksudkan sebagai sumpah. Manakala dari segi istilah pula bermaksud suami yang mempunyai hak bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya tanpa menyebut tempoh tertentu atau dalam tempoh yang melebihi empat bulan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)