Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana hukum solat secara duduk di atas kerusi?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.”
(Surah al-Mukminun: 9)
Antara maksud ‘يُحَافِظُونَ’ adalah memelihara solat dalam waktunya. Ibn Mas’ud, Masruq, Ikrimah dan Said bin Jubair berkata: “Yakni, orang-orang yang memelihara solatnya, dan menjaga waktu-waktu solat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/714)
Pada asalnya, berdiri bagi yang mampu adalah rukun dalam solat. Namun begitu, syarak membenarkan seseorang itu duduk sekiranya dia tidak mampu berdiri.[1] Di antara dalil yang membolehkan seseorang itu solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri adalah sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.
Riwayat Al-Bukhari (1117)
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith menunjukkan tahap-tahap solat bagi orang yang sakit yang ditetapkan. Oleh itu, jika dia mampu, dia wajib berdiri kerana itu merupakan salah satu rukun solat yang ditetapkan, walaupun dia bergantung pada tongkat, dinding, atau seumpamanya.
Jika dia tidak dapat berdiri atau sukar untuk berdiri, dia wajib duduk, walaupun dengan bersandar, dan melakukan rukuk serta sujud jika mampu. Jika dia tidak mampu duduk atau sukar untuk duduk, dia solat dalam keadaan berbaring, dengan sisi kanan lebih disukai. Jika dia solat terlentang menghadap kiblat, solat itu sah. Jika dia tidak mampu, dia boleh mengisyaratkan dengan kepala, dan isyarat untuk sujud perlu lebih rendah daripada isyarat untuk rukuk, untuk membezakan di antara kedua-dua rukun tersebut dan kerana sujud lebih rendah daripada rukuk.
Seseorang tidak boleh berpindah dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih ringan kecuali jika dia tidak mampu atau menghadapi kesulitan untuk berada dalam keadaan pertama atau untuk melaksanakannya, kerana perubahan dari satu keadaan kepada yang lain terikat dengan ketidakupayaan.
Had kesusahan atau masyaqqah yang membolehkan solat fardhu dijalankan dalam keadaan duduk adalah had yang tidak menghilangkan rasa khusyuk, kerana khusyuk merupakan tujuan utama solat, seperti yang ditegaskan oleh Imam al-Haramain al-Juwayni.
Banyak lagi keuzuran yang membolehkan solat wajib dilakukan dalam keadaan duduk, dan ini tidak terhad kepada sakit sahaja. Ruang yang terhad yang seseorang tidak dapat keluar daripadanya seperti solat di dalam kapal, kapal terbang, kereta, atau pesawat yang diperlukan, serta ketidakupayaan untuk berdiri, semuanya adalah alasan yang membolehkan solat dalam keadaan duduk. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/323)
Para ulama membincangkan hadis ini dengan terperinci dalam bab rukun-rukun solat khususnya pada rukun qiyam (berdiri). Ini termasuk juga bentuk-bentuk rukuk dan sujud bagi orang yang tidak mampu mendatanginya sesuai dengan kadar ketidakmampuan seseorang itu.
Pendapat Para Fuqaha Keharusan Solat Duduk Bagi Orang Tidak Mampu Berdiri
Kata Imam al-Nawawi: “Umat Islam telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat. ( Lihat Al-Majmu’, 4/226).
Manakala Imam Al-Syaukani Rahimahullah ketika mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: “Hadis Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya.” (Lihat Nail Al-Autar ,3/243).
Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: “Telah ijma’ (sepakat) para ulama bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk.” ( Lihat Al-Mughni, 1/443).
Begitu juga dalam isu ini ulama kontemporari seperti Syeikh Ibn Bazz menyatakan dalam kitabnya fatawa nur ‘ala Darb (12/245-246) bahawa: Orang yang solat sambil duduk di atas tanah atau di atas kerusi, wajib baginya menjadikan sujudnya lebih rendah daripada rukuknya. Sunnah baginya untuk meletakkan kedua belah tangannya di atas kedua belah lututnya semasa rukuk. Manakala semasa sujud, wajib baginya meletakkan kedua belah tangan di atas tanah jika mampu. Jika tidak mampu, dia boleh meletakkan kedua belah tangan di atas kedua belah lututnya kerana telah thabit bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ: عَلَى الْجَبْهَةِ – وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ – وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ
Maksudnya: “Aku diperintahkan agar melakukan sujud dengan tujuh anggota sujud: Yakni dahi (sambil menunjuk hidung), dua belah tangan, dua lutut dan hujung kedua tapak kaki.”
Riwayat Bukhari (779) dan Muslim (490)
Namun bagi siapa yang tidak mampu untuk melakukan sedemikian maka dia boleh mendirikan solat secara duduk dan tidaklah dia berdosa sekiranya melakukan perkara tersebut kerana Allah SWT berfirman:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Al-Sa‘di menyebutkan dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan (1/868), bahawa Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk bertaqwa kepada-Nya iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, ayat ini menunjukkan bahawa segala kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba akan gugur daripadanya. Begitu juga, jika seorang hamba itu mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu pada sebahagian kewajipan yang lain, maka hendalah dia menunaikan kewajipan tersebut mengikut kadar kemampuannya dan tergugur daripadanya apa yang dia tidak mampu sebagaimana sabda Nabi SAW:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”
Riwayat al-Bukhari (7288)
Beberapa Cadangan Atau Dhawabit
Kami sebutkan di sini beberapa dhawabit dan juga cadangan bagi sesiapa yang ingin melaksanakan solat secara duduk di atas kerusi seperti berikut:
- Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
- Jika sekiranya kumpulan ini ramai, alangkah baik dikhususkan bagi mereka satu tempat. Hal ini dilakukan oleh sebahagian masjid di negara Arab.
- Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
- Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
- Orang yang duduk di atas kerusi tetapi boleh berdiri hendaklah mendekatkan seboleh mungkin dengan garisan saf untuk mewujudkan keselarian antara saf.
Kami juga mencadangkan bahawa kerusi yang digunakan hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain. Alhamdulillah respon daripada sebahagian pereka cipta cukup baik dan kami ucapkan ribuan terima kasih agar satu masa nanti wujud satu kerusi yang mesra solat Jemaah dengan mengambil kira pelbagai aspek hukum berjemaah dan solat itu sendiri.
Penutup
Setelah kami melihat dan menekuni permasalahan ini, kami yakin dan percaya bahawa Islam merupakan suatu agama yang memberi rahmat kepada sekalian alam. Demikian juga Islam itu bersifat dengan qillah al-takalif (sedikit taklif) serta ‘adamul haraj (tidak menyusahkan). Ini berbetulan dengan firman Allah S.W.T:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْر
Maksudnya: “Allah mahukan kemudahan untuk kamu dan Dia tidak mahukan kepayahan buat kamu.”
(Surah Al-Baqarah: 185)
Syeikh al-Sobuni berkata: “Allah mengkehendaki dengan rukhsah ini sebagai keringanan bagi kamu dan bukan memberatkan.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/108)
Begitu juga firman-Nya:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Dan tidaklah Allah menjadikan ke atas kalian kepayahan di dalam agama.”
(Surah Al-Hajj: 78)
Al-Sabuni berkata: “Allah tidak jadikan kamu pada agama ini sebarang bentuk kesempitan dan masyaqqah. Dia juga tidak sekali-kali mentaklifkan kamu apa yang kamu tidak mampu, bahkan ia adalah agama yang penuh toleransi.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/275)
Suka kami tegaskan di sini, hendaklah kita semua memahami fiqh solat dengan sebenarnya mengikut neraca syariah Islamiyyah yang tepat dan sahih. Oleh itu, berkenaan isu solat secara duduk di atas kerusi maka kami nyatakan di sini bahawa hukumnya adalah sah sebagaimana yang telah kami bahaskan di atas dengan huraiannya yang terperinci.
Akan tetapi ianya perlulah menepati syarat-syarat serta dhawabit yang telah disebutkan. Yang penting adalah perlaksanaan solat mengikut apa yang telah dinyatakan oleh syarak serta apa yang telah diajarkan oleh para fuqaha dan ulama dalam memberikan solusi yang berkaitan dengan isu ini. Solat yang menjadi tiang agama perlulah dilaksanakan dengan sebaiknya dengan meraikan segala rukun dan juga syarat-syaratnya.
Apa-apa pun cara kita solat, hendaklah yang paling hampir dengan solat yang diajar oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadith Rasulullah SAW, daripada Malik bin al-Huwairith, sabda Rasulullah SAW:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”
Riwayat al-Bukhari (631)
Imam al-Nawawi berkata: Hadith ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. (Lihat al-Majmu‘, 4/521)
Semoga pencerahan ini dapat memberikan kefahaman serta merungkaikan kekeliruan kepada kita semua. Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T supaya menerima segala amalan soleh yang kita lakukan serta menggolongkan kita di dalam hamba-hamba-Nya yang beriman. Ameen.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)
[1] Sepakat Ulama bahawa berdiri pada masa solat akan gugur pada solat fardu dan sunat dengan sebab lemah untuk berdiri, sakit atau lainnya. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW dalam Sahih al-Bukhari. Lihat al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah (34/107)