Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum memberi orang lain untuk masuk ke saf pertama berbanding diri sendiri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maksudnya: Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.

(Surah al-Baqarah: 148)

Menurut Ibn Kathir, makna bersegera kepada keampunan Allah SWT itu ialah menggalakkan mereka untuk melakukan perkara kebaikan dan berlumba-lumba untuk melaksanakan ketaatan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/183)

Para ulama’ fiqh menyebutkan bahawa perbuatan mengutamakan orang lain (ithar) yang terpuji adalah yang berkaitan dengan hal keduniaan seperti harta-benda, makanan, minuman dan lain-lain. Adapun ithar dalam perkara ibadah adalah makruh dan bukannya sunat.

Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا

Maksudnya: “Kalaulah orang ramai tahu tentang kelebihan azan, dan berada di saf pertama kemudian tiada ruang bagi mereka kecuali melalui mengundi nescaya mereka sanggup mengundi.

Riwayat al-Bukhari (615), Muslim (437), al-Nasa’ie (540) dan Ahmad (7738)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Sabda Baginda, ‘إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا’ (kecuali dengan mengundi), yakni mereka tidak mendapatkan satu sisi pun yang dapat melebihkan salah seorang di antara mereka. Adapun pada azan, mungkin mereka memiliki kesamaan dalam hal pengetahuan akan masuknya waktu serta suara yang bagus dan hal-hal lain yang merupakan syarat-syarat azan mahupun kesempurnaannya. Manakala pada saf pertama, mungkin mereka datang secara bersamaan serta tidak ada perbezaan dalam hal keutamaan. Oleh sebab itu diadakan undian di antara mereka, apabila tidak ada yang mahu mengalah dalam kedua-dua hal tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 4/31)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan mendahulukan orang lain untuk ke saf pertama berbanding diri sendiri adalah makruh hukumnya. Ini juga berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:

الْإِيثَارُ فِي القُرْبِ مَكْروه وَفِي غَيْرِها مَحْبوبٌ

Maksudnya: Mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah adalah makruh, manakala ithar dalam perkara yang lain adalah satu perkara yang terpuji. (Lihat al-Asybah wa al-Nazhair Lil Suyuti, 1/117)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”