#832: Bersahur Sebagai Niat Puasa

Soalan

Apakah perbuatan bersahur itu sendiri dikira niat untuk puasa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan.

Niat merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib. Tanpa niat maka tidak sah puasa seseorang itu. Ini kerana berpuasa itu adalah satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat. Firman Allah SWT:

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”.[1]

Asas kepada kewajipan untuk berniat dalam semua ibadat berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat, dan setiap orang (perbuatannya) dikira berdasarkan apa yang diniatkan.[2]

Maka, niat berpuasa diletakkan sebagai satu syarat sah puasa seseorang itu. Hal ini disebutkan secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, yang antaranya disebutkan Ibn Qasim: Kewajipan-kewajipan puasa itu ada empat perkara: Niat di dalam hati, sekiranya puasa yang fardhu seperti puasa Ramadhan atau puasa nazar, maka mestilah diniatkan pada waktu malam.[3]

Di sisi jumhur fuqaha’, niat puasa Ramadhan hendaklah dilakukan pada setiap hari pada waktu malam seperti yang disebutkan sebelum masuk waktu subuh. Hal ini kerana setiap hari dalam Ramadhan dikira berasingan.[4]

Syarat-Syarat Niat

Dalam berniat untuk berpuasa, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi agar ia dinamakan dengan berniat. Kebanyakan kitab-kitab fiqh telah menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya. Antara yang disebutkan ialah:

  1. Al-Jazm(الجزم): yang dimaksudkan di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.
  2. Al-Ta’yiin (التعيين): iaitu penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ianya puasa Ramadhan, wajib (qadha’, kaffarah, nazar) ataupun sunat (Isnin-Khamis, hari Arafah, ‘Asyura dsb.). Tidak memadai dengan berniat secara mutlaq untuk berpuasa.
  3. Al-Tabyiit (التبييت):menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah. Ini berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Hafsah R.Anha:

مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).[5]

Bersahur

Pada asasnya, bersahur termasuk dalam perkara sunat yang digalakkan bagi sesiapa yang ingin berpuasa. Bahkan Ibn al-Munzir menyatakan bahawa umat telah bersepakat bahawa sahur termasuk dalam perkara sunat dan digalakkan, serta tidak berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya.[6] Di samping itu, Nabi SAW sendiri menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebihan dan keberkatan padanya.  Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya:Bersahurlah, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.[7]

Selain itu juga, bersahur ini merupakan pembeza di antara puasa orang islam dan puasa ahli kitab. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin al-‘As R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya:Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.”[8]

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, maknanya ialah perbezaan yang paling ketara antara puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab adalah bersahur. Hal ini kerana mereka tidak bersahur, sedangkan orang Islam disunatkan untuk bersahur.[9]  Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, pendapat yang lebih utama bahawa keberkatan dalam sahur dapat diperolehi atau terhasil dari sudut yang pelbagai iaitu mengikut sunnah, menyalahi ahli kitab, menguatkan diri untuk melakukan ibadah, menambahkan tenaga dan semangat, menahan diri daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta atau berkesempatan untuk makan bersama-samanya, penyebab kepada zikir dan doa pada waktu mustajab untuk berdoa. Selain itu, waktu sahur juga dapat mengingatkan niat puasa bagi sesiapa yang lalai daripadanya — yakni terlupa untuk niat — sebelum tidur.

Menurut Ibn Daqiq al-‘Id, keberkatan ini boleh jadi terdapat pada perkara-perkara akhirat. Hal ini kerana dengan menegakkan sunnah pasti dia memperoleh pahala dan tambahannya. Boleh jadi juga ia terdapat pada perkara-perkara dunia seperti kekuatan badan untuk berpuasa dan memudahkan seseorang untuk berpuasa tanpa memberi mudarat kepada dirinya disebabkan oleh puasa itu. Begitu juga di antara perkara yang menjadi sebab kepada galakan (sunat) perbuatan sahur ini adalah kerana ia menyalahi ahli kitab. Hal ini kerana perbuatan sahur ini dilarang di sisi mereka, dan ini menjadi salah satu perkara yang menambahkan lagi pahala dari sudut ukhrawi. [10]

Selain itu, dalam al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan bahawa waktu bersahur bermula pada tengah malam.[11] Begitu juga Imam al-Nawawi menyebutkan, waktu bersahur adalah di antara tengah malam dan terbitnya fajar.[12] Walau bagaimanapun, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa masuknya waktu sahur adalah pada seperenam akhir malam.[13] Selain daripada itu, maksud sahur itu tercapai dengan sebarang makanan sama ada banyak atau sedikit serta dengan air. Tambahan lagi, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan selainnya telah bersepakat bahawa afdhal untuk melewatkan sahur.[14] Dalam erti kata lain, disunatkan untuk melewatkan sahur sebelum terbit fajar. Kadar melewatkan waktu sahur dengan waktu fajar adalah kira-kira bacaan 50 ayat al-Quran. Perkara ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Zaid bin Thabit R.A, beliau berkata:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

Maksudnya:Kami bersahur bersama Nabi SAW. Kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku (Anas) bertanya: ‘Berapakah lama (tempoh masa) antara azan dan sahur?’ Beliau (Zaid) menjawab: ‘Kadarnya (kira-kira membaca) lima puluh ayat.’[15]

Menurut Imam al-Nawawi, maknanya ialah jarak antara kedua waktu tersebut dalam anggaran bacaan 50 ayat al-Quran, dan hadith ini mengandungi galakan untuk melewatkan sahur sehingga sebelum waktu fajar.[16] Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana yakni bukanlah ayat yang terlalu panjang, mahupun ayat yang terlalu pendek.[17]

Bersahur Dikira Niat Untuk Berpuasa

Berkenaan dengan tindakan bangun bersahur dikira sudah berniat tanpa dia menghadirkan di dalam hati niat puasa, maka hal ini telah dijawab oleh Imam Ibn hajar al-Haithami:

لَوْ تَسَحَّرَ لِيَصُومَ أَوْ امْتَنَعَ مِنْ الْفِطْرِ خَوْفَ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَعَ خُطُورِ الصَّوْمِ بِبَالِهِ كَذَلِكَ كَفَاهُ ذَلِكَ؛ لِأَنَّ خُطُورَ الصَّوْمِ بِبَالِهِ كَذَلِكَ مَعَ فِعْلِ مَا يُعِينُ عَلَيْهِ أَوْ تَرْكِ مَا يُنَافِيهِ يَتَضَمَّنُ قَصْدَ الصَّوْمِ

Maksudnya: Sekiranya bersahur untuk tujuan berpuasa atau menghalang (dirinya) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana bimbang terbitnya fajar ditambah pula muncul dalam fikirannya untuk berpuasa, maka sudah cukup (dikira sebagai niat), kerana terdetiknya untuk berpuasa pada fikirannya bersama dengan perbuatan yang mendorong ke atasnya (untuk berpuasa) atau dengan meninggalkan perbuatan yang menafikan (orang tersebut berpuasa) (secara tidak langsung) telah mengandungi niat puasa. [18]

Berdasarkan kenyataan di atas, orang yang bersahur yang sememangnya untuk berpuasa bukan kerana sarapan pagi atau tujuan lain, maka sudah cukup menurut salah satu pendapat fuqaha’ mazhab al-Syafie seperti yang dinyatakan di atas.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan serta melihatkan kepada nas dan hujah di atas, kami katakan bahawa puasa orang yang melakukan sahur dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa sebelum fajar lagi dikira sah walaupun orang tersebut lupa menghadirkan niatnya secara khusus. Namun begitu, seseorang yang hendak berpuasa wajib terutamanya di bulan Ramadhan ini, hendaklah meniatkan puasanya pada waktu malam dengan menghadirkan niat tersebut di dalam hati sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada hadith Nabi SAW riwayat Hafsah R.Anha:

مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).[19]

Sekiranya, dia tidak melakukan hal ini, namun telah bersahur dan telah menahan diri apabila tiba waktu fajar, maka puasanya adalah sah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 1 April 2022 bersamaan 29 Syaaban 1443H

 

[1] Surah Al-Bayyinah: 5

[2] Riwayat al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya, Muslim (1907), Abu Daud (2201), al-Tirmizi (1646), Ibn Majah (4227), al-Nasaie (1/59-60), Ahmad dalam al-Musnad (1/25 dan 43), al-Daruqutni, Ibn Hibban dan al-Baihaqi.

[3] Lihat Fath al-Qarib, 1/136

[4] Lihat alMausuah al-Fiqhiyyah, 28/26

[5] Riwayat Abu Daud (2454). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2454) menyatakan hadith ini sahih.

[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360.

[7] Riwayat al-Bukhari (1923)

[8] Riwayat Muslim (1096)

[9] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/207.

[10] Lihat Fath al-Bari, 4/140.

[11] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/89.

[12] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360.

[13] Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/166.

[14] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360.

[15] Riwayat al-Bukhari (1921)

[16] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/208-209.

[17] Lihat Fath al-Bari, 4/138.

[18] Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarhi al-Minhaj, 3/386

[19] Riwayat Abu Daud (2454). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2454) menyatakan hadith ini sahih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *