Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan pandangan dan pendapat ulama’ tentang ta’liq talaq?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya tujuan asal perkahwinan untuk mendapat ketenangan, rahmat dan cinta. Inilah yang dinyatakan oleh Allah. Firman-Nya:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Imam al-Qurtubi berkata: Yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ehsan seorang lelaki dari mendatangkan keburukan kepada isterinya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/14)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, terdapat dua pandangan yang berbeza di sisi fuqaha’ berkenaan ta‘liq talak ini. Sebahagian mereka mengatakan bahawa ta‘liq talak ini thabit berdasarkan hukum syarak, manakala sebahagian lainnya menafikan pensyari‘atan ta‘liq ini.

Pertama: Fuqaha’ Empat Mazhab

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (9/6972), fuqaha’ empat mazhab bersepakat, thabit talak dengan lafaz ta‘liq. Mereka berhujjah berdasarkan dalil pensyari‘atan talak secara mutlak merupakan hak suami, sebagaimana firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Ayat ini bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung (التَّنْجِيزُ) mahupun  tidak langsung – yakni tergantung (التَّعْلِيقُ) -. Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak ke atas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta‘liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya.

Perkataan yang digunakan bagi pensyaratan ta‘liq ialah jika, apabila, kalau dan seumpamanya.  Sebagai contoh, si suami mengatakan: “Kamu tercerai sekiranya keluar daripada rumah ini.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/447)

Mereka turut beristidlal dengan hadith ‘Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ مَا وَافَقَ الْحَقَّ

Maksudnya: “Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang mereka tetapkan, selagi mana ianya menepati kebenaran.”

Riwayat al-Hakim (2310) dan  al-Bukhari secara mu‘allaq dengan sighah jazam sebelum hadith (2274)

Begitu juga dengan pelbagai peristiwa yang banyak terjadi pada zaman Nabi SAW dan dan para sahabat Baginda. Di antaranya, hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Nafi‘, dia berkata:

طَلَّقَ رَجُلٌ امْرَأَتَهُ الْبَتَّةَ إِنْ خَرَجَتْ، فَقَالَ ابْنُ عُمَرَ: إِنْ خَرَجَتْ فَقَدْ بُتَّتْ مِنْهُ، وَإِنْ لَمْ تَخْرُجْ فَلَيْسَ بِشَيْءٍ

Maksudnya: “Seorang lelaki mentalakkan isterinya dengan talak yang keras, jika isterinya keluar.  Ibn Umar berkata: ‘Jika dia keluar, maka jatuh talak daripada suaminya dan jika dia tidak keluar, maka tidak terjadi apa-apa.’”

Riwayat al-Bukhari secara mu‘allaq dengan sighah jazam (5/2018)

Termasuk juga sebuah riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A mengenai seorang lelaki yang berkata kepada isterinya:

إِنْ فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا فَهِيَ طَالِقٌ

Maksudnya: “Jika dia melakukan hal ini dan itu, maka dia tertalak.”

Lalu isterinya melakukan perbuatan tersebut, dan suaminya berkata:

هِيَ وَاحِدَةٌ وَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Maksudnya: “Dia tertalak dengan talak satu, dan dia lebih berhak untuk mendapatkan talak satu.”

Riwayat al-Baihaqi (15090)

Zakariyya al-Ansari juga mengqiaskan masalah ta‘liq dalam memerdekakan hamba dengan ta‘liq talak ini. Sepertimana dibenarkan untuk melafazkan ta‘liq dalam memerdekakan hamba, begitu juga dibenarkan ta‘liq dalam talak, kerana kedua-duanya menatijahkan satu perkara yang sama, iaitu menggugurkan pemilikan. (Lihat Asna al-Matalib, 3/308)

Kedua: Mazhab al-Zahiri dan Ahmad bin Yahya al-Syafi‘i

Mereka berpendapat bahawa ta‘liq talak tidak sah kerana tiada sebarang nas syarak yang membenarkannya secara jelas.

Ibn Hazm malah bahawa talak serta merta dikira terjatuh sejurus suami melafazkan ta‘liq tersebut. Hujjah beliau, pada dasarnya si suami itu menyesal ketika melafazkan talak, lalu dia menggantung talaknya itu dengan apa-apa yang belum berlaku. Maka ia ibarat talak yang tertunda. Oleh itu, talak tetap dikira terjatuh, sama ada berlaku syarat yang diletakkan itu atau tidak. (Lihat al-Muhalla, 9/481)

Pandangan Ahmad bin Yahya ini pula dinilai ganjil dan bertentangan dengan pandangan jumhur Mazhab al-Syafi‘i. Taj al-Din al-Subki membawakan beberapa kritikan ulama’ terhadapnya, sehingga ada yang mendakwa bahawa Ahmad bin Yahya telah berubah pegangan mazhab menjadi Mu‘tazilah. Beliau mengemukakan hujjah tentang masalah ta‘liq talak ini, apabila tidak sah pernikahan secara mut‘ah kerana ia merupakan sebuah akad yang diikat dengan satu sifat yang tertentu, maka begitu juga tidak sah talak yang digantung dengan sifat tertentu. Pandangan ini adalah batil dan bertentangan dengan persepakatan ulama’. (Lihat Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 2/65)

Jelas di sini bahawa ta‘liq talak merupakan suatu masalah fiqh yang berlandaskan kepada nas syarak, dan sesiapa sahaja yang melafazkan ta‘liq terhadap isterinya dengan memaksudkan penceraian, maka  talak boleh terjatuh sekiranya berlaku ta‘liq itu.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”