Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan nasihat yang disampaikan oleh Salman al-Farisi kepada Abu al-Darda’ untuk kita tekuni dan mengambil istifadah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

(Surah al-Ahzab: 23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50).

Sebagai mukadimah, kami nyatakan bahawa Salman al-Farisi dan Abu al-Darda’ R.Anhuma telah dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW ketika di Madinah al-Munawwarah. Kami nyatakan di sini biografi ringkas Salman al-Farisi dan Abu al-Darda’ R.Anhuma.

  1. Salman al-Farisi R.A.

Salman al-Farisi terkenal dengan pencariannya yang gigih terhadap kebenaran, yang akhirnya membawa beliau memeluk Islam setelah melalui pelbagai cabaran dan perjalanan yang panjang. Beliau pernah menjadi hamba sebelum dibebaskan oleh Rasulullah SAW. Salman al-Farisi memainkan peranan penting dalam Perang Khandak dengan mencadangkan strategi menggali parit bagi mempertahankan Madinah daripada serangan musuh. Rasulullah SAW mengiktiraf kebijaksanaan dan keilmuan beliau. Salman al-Farisi turut dilantik sebagai gabenor di beberapa wilayah pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab R.A.

  1. Abu al-Darda’ R.A.

Nama sebenar Abu al-Darda’ R.A. ialah ‘Uwaymir bin Zaid bin Qais al-Khazraji. Beliau berasal dari suku Khazraj di Madinah dan pada awalnya seorang peniaga sebelum memeluk Islam selepas Perang Badar. Abu al-Darda’ terkenal sebagai seorang ahli ibadah dan zahid yang banyak menghabiskan masa dengan membaca al-Quran, berzikir, dan mendalami ilmu. Beliau juga merupakan seorang sahabat yang banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW. Abu al-Darda’ pernah menjadi qadi (hakim) di Damsyik dan banyak memberikan nasihat berkenaan zuhud serta kepentingan ilmu dalam kehidupan Muslim.

Kedua-dua Salman al-Farisi dan Abu al-Darda’ R.Anhuma merupakan sahabat yang dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW di Madinah, menunjukkan keakraban dan ukhuwah Islamiah yang kukuh antara mereka.

Nasihat yang kami akan sampaikan ini merupakan surat yang dihantar oleh Salman al-Farisi R.A kepada sahabatnya Abu al-Darda’ R.A:

أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّكَ لَا تَنَالُ مَا تُرِيدُ إِلَّا بِتَرْكِ مَا تَشْتَهِي، وَلَنْ تَبْلُغَ مَا تَأْمُلُ، إِلَّا بِالصَّبْرِ عَلَى مَا تَكْرَهُ، فَلْيَكُنْ قَوْلُكَ ذِكْراً، وَصَمْتُكَ فِكْراً، وَنَظَرُكَ عِبْرَةً، وَاعْلَمْ أَنَّ أَعْجَزَ النَّاسِ مَنِ أتَّبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللهِ، وَأَنَّ أَكْيَسَهُمْ مَنْ أَتْعَبَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ.

Maksudnya: “Adapun selepas itu, maka sesungguhnya kamu tidak mencapai apa yang kamu kehendaki melainkan meninggalkan apa yang kamu inginkannya. Dan kamu tidak mencapai apa yang kamu cita-cita melainkan dengan sabar di atas apa yang kamu benci. Justeru, jadilah ucapan kamu sebagai zikir, diammu sebagai fikir, penglihatanmu sebagai pengajaran. Dan ingatlah bahawa selemah manusia yang mengikut hawa nafsunya dan  sentiasa berangan-angan kepada Allah. Dan orang yang paling cerdik di kalangan mereka adalah yang memenatkan dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati.” (Lihat Bahjah al-Majalis, hlm. 244)

Dengan mengamati dan memahami isi surat ini, jelas menunjukkan kepada kita terlalu banyak nasihat yang sarat dengan faedah untuk pedoman dalam hidup, untuk kita layari di dunia ini. Justeru, marilah sama-sama kita beramal dengan nasihat Salman al-Farisi ini. Mudah-mudahan ia menjadikan kita hamba Allah yang soleh dan layak menghuni syurga-Nya, amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”