Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya bekerja sebagai perawat, apakah hukum sekiranya tidak sengaja melukakan badan si mati ketika menjalani rawatan.  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلً

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

(Surah al-Isra’: 70)

Syeikh al-Maraghi menyatakan Allah SWT telah memuliakan anak cucu Adam dengan rupa yang indah, bertubuh tinggi dan berakal sederhana sehingga mereka mengetahui pelbagai kepakaran dan mengetahui pelbagai bahasa, dapat berfikir dengan baik tentang cara-cara mencari penghidupan dan mengeksploitasi segala yang ada di bumi serta menundukkan segala yang ada di alam atas mahupun alam bawah. Kami mengangkat mereka di atas haiwan, kereta, kapal terbang, belon dan kapal. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3996-3997)

Dalam menjawab persoalan di atas, perlu difahami bahawa Allah SWT telah mengharamkan segala bentuk kezaliman, termasuk mencederakan tubuh badan seseorang, sama ada individu tersebut masih hidup atau telah meninggal dunia. Islam menekankan kehormatan dan hak setiap manusia, serta melarang perbuatan menyakiti atau mencemarkan maruah seseorang tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak. Larangan ini dapat difahami melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Bakrah Nafi‘ bin al-Harith R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ، وَأَمْوَالَكُمْ، وَأَعْرَاضَكُمْ، بَيْنَكُمْ حَرَامٌ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya: “Sesungguhnya darahmu, hartamu dan kehormatanmu terpelihara antara sesama kamu sebagaimana terpeliharanya hari ini, bulan ini dan negerimu ini.”

Riwayat al-Bukhari (67) dan Muslim (1679)

Hadith ini menunjukkan bahawa kezaliman antara sesama manusia adalah haram dalam hal berkaitan darah (nyawa), maka tidak dibenarkan bagi seseorang untuk menumpahkan darah orang lain secara zalim. Ini termasuk perbuatan yang menyebabkan hilangnya nyawa seperti pembunuhan, mahupun perbuatan yang mengakibatkan kecederaan seperti menumpahkan darah melalui luka, mematahkan tulang, atau mencederakan seseorang dalam apa jua bentuk. Semua ini adalah haram dan tidak dibolehkan dalam Islam. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, oleh Ibn Uthaimin, 2/117)

Dalam isu ini, mencederakan mayat adalah sama seperti mencederakan seseorang ketika dia masih hidup, kerana Islam menitikberatkan kehormatan dan kemuliaan manusia, sama ada semasa hayatnya atau selepas kematiannya. Perbuatan ini bukan sahaja dilarang, tetapi juga dianggap sebagai satu bentuk kezaliman dan pelanggaran hak yang diharamkan oleh syarak.

Dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: “Mematahkan tulang orang yang telah mati sama seperti mematahkannya ketika dia hidup.”

Riwayat Abu Dawud (3207)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Diambil faedah daripada hadith ini, bahawa sesungguhnya kehormatan seorang mukmin kekal selepas matinya dia. Sebagaimana kehormatannya semasa hayatnya. (Lihat Fath al-Bari, 9/142)

Menurut Ibn Uthaimin beliau menyatakan bahawa: Ketahuilah bahawa mematahkan tulang mayat adalah seperti mematahkannya ketika masih hidup, sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW. Maka, mayat tetap dihormati dan tidak dibenarkan mengambil mana-mana anggota tubuhnya. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 2/117)

Justeru, jelaslah bahawa kehormatan seseorang tetap terpelihara walaupun selepas kematiannya. Oleh itu, setiap individu bertanggungjawab untuk menjaga dan menghormati jasad si mati dengan penuh adab dan kemuliaan, sebagaimana dia dihormati semasa hayatnya.

Namun begitu dalam situasi di mana  tersilap atau tidak sengaja  dalam mulakakan tubuh si mati semasa proses rawatan atau pengurusan jenazah, maka dalam hal itu dimaafkan oleh syarak. Ini kerana ia dilakukan diluar kehendak atau niat untuk menceroboh atau berlaku zalim terhadap mayat tersebut. Syarak tidak menghukum seseorang melainkan dengan sebab-sebab yang sah. Allah SWT berfirman:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ، وَلَكِن مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.”

(Surah al-Ahzab: 5)

Ibn Kathir menyatakan bahawa: Sesungguhnya Allah telah menghapuskan kesulitan dalam kesilapan dan mengangkat dosanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 11/116)

Begitu juga sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

  إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Islam menegaskan bahawa setiap manusia, sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia, memiliki kehormatan yang perlu dijaga dan dihormati. Mencederakan tubuh badan seseorang, sama ada dalam keadaan hidup atau setelah kematian, adalah perbuatan yang diharamkan dan dikategorikan sebagai satu bentuk kezaliman. Hadith-hadith Rasulullah SAW dengan jelas menunjukkan bahawa darah, harta, dan maruah seorang Muslim adalah suci dan terpelihara, serta larangan mencederakan mayat seumpama mencederakan orang hidup. Walau bagaimanapun, dalam situasi di mana kecederaan terhadap si mati berlaku secara tidak sengaja, seperti dalam proses rawatan atau pengurusan jenazah, maka hal tersebut dimaafkan dalam syarak kerana tidak dilakukan dengan niat untuk menzalimi atau mencemarkan kehormatannya. Islam adalah agama yang penuh dengan keadilan dan belas kasihan, serta tidak membebankan seseorang atas sesuatu yang berada di luar kehendaknya. Oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa menjaga hak dan kehormatan manusia dengan penuh adab, sama ada ketika hidup mahupun selepas kematian, agar mendapat keredhaan Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.”

Wallahua’lam