Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dibenarkan intimate wedding dalam Islam?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah al-Rum: 21)
Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.”
Merujuk kepada kamus bahasa Inggeris dalam Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan intimatemembawa maksud hubungan yang sangat rapat atau akrab. Kalimah ini kemudiannya digunakan dalam istilah perkahwinan moden ‘intimate wedding’ yang merujuk kepada suatu majlis perkahwinan yang berskala sangat kecil, dengan mengundang sebilangan kecil sahaja tetamu dari kalangan ahli keluarga serta sahabat handai. Ada juga sebahagian pihak yang mengatakan, majlis begini kebiasaannya mempunyai sekitar 20 hingga 50 orang tetamu sahaja.
Walimah itu adalah suatu perkara yang digalakkan oleh Islam, dan ia juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Anas bin Malik R.A menceritakan:
أَوْلَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ بَنَى بِزَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ، فَأَشْبَعَ النَّاسَ خُبْزًا وَلَحْمًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengadakan walimah ketika menikah dengan Zainab binti Jahsy, lalu orang-orang pun merasa kenyang (diberi makan) roti dan daging.”
Riwayat al-Bukhari (4794) dan Muslim (1428)
Seandainya maksud ‘intimate wedding’ adalah benar seperti berikut, maka tidak menjadi sebarang masalah, bahkan amat dianjurkan jika ia dapat mengelakkan unsur pembaziran yang melampau. Anas bin Malik R.A juga menceritakan ketika mana Rasulullah SAW melihat kesan sufrah (pewangi yang berwarna kuning) pada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A, maka Baginda bertanya:
مَا هَذَا؟ قَالَ: إِنِّي تَزَوَّجْتُ امْرَأَةً عَلَى وَزْنِ نَوَاةٍ مِنْ ذَهَبٍ. قَالَ: بَارَكَ اللَّهُ لَكَ، أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: “‘Apakah ini?’ ‘Abd al-Rahman menjawab: ‘Sesungguhnya aku telah mengahwini seorang perempuan dengan mahar emas seberat nawah.’ Baginda bersabda: ‘Semoga Allah memberkatimu, buatlah walimah meskipun dengan menyembelih seekor kambing’.”
Riwayat al-Bukhari (5155) dan Muslim (1427)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, kalimah “meskipun” atau (لَوْ) dalam hadith ini hendak menunjukkan keharusan walimah meskipun dengan hidangan yang sedikit. (Lihat Fath al-Bari, 9/139)
Tuntutan melakukan walimah ini pula menurut hukum Islam adalah bagi pihak lelaki sahaja pada asalnya, maka fuqaha membahaskan isu walimah ini dengan meletakkan ia pada kadar kemampuan serta keadaan pihak lelaki tersebut, tanpa mensyaratkan perlunya melakukan sembelihan. Sebaliknya, sembelihan itu hanyalah sunat sebagaimana yang dipersetujui oleh majoriti fuqaha’. (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/333; Mughni al-Muhtaj, 4/404)
Hal ini juga jelas disebutkan oleh Syamsuddin al-Zarkasyi di dalam huraian beliau ke atas kitab Mukhtasar al-Khiraqi: “Kalimah (شَاةٌ) yang datang dalam bentuk nakirah[1] – Allah jua yang Maha Mengetahui – untuk menunjukkan kadar yang sedikit, yakni meskipun walimah tersebut dengan sedikit daripada daging kambing. Maka dapat difahami dari hadith ini bahawa boleh melakukan walimah meskipun bukan dengan seekor kambing.” (Lihat Syarh al-Zarkasyi ‘ala Mukhtasar al-Khiraqi, 5/327)
Maka dapat difahami, perkara yang dianjurkan adalah walimah, dan bukanlah bermegah-megah dengannya sehingga membawa kepada pembaziran. Ingatlah kita kepada firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(Surah al-Isra’: 27)
Semoga kita direzekikan untuk melaksanakan sunnah-sunnah yang dituntut dalam Islam, di samping meraikan batasan-batasan yang telah diletakkan oleh syara‘. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”
Wallahu a‘lam
[1] Yakni, tanpa alif dan lam (ال) di hadapannya; (الشَّاةُ).