Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika sekiranya seseorang bukan Islam dan berdoa kepada kita seperti berkata: “Semoga Allah berkati kepadamu,” apa yang sepatutnya kita jawab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Doa pada asalnya adalah ibadat sebagaimana sabda Nabi SAW: Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ

Makssudnya: “Doa adalah otak (intisari) ibadah”

Riwayat al-Tirmizi (3371) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3324). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (30/298) menyatakan bahawa hadith ini hasan dengan syawahidnya (sokongan hadith lain)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata:

لَوْ قَالَ لِي فِرْعَوْنُ: بَارَكَ اللَّهُ فِيكَ. قُلْتُ: وَفِيكَ، وَفِرْعَوْنُ قد مات

Maksudnya: Kalau Firaun berkata kepadaku: Semoga Allah berkatkan kepadamu. Nescaya aku akan menjawab: Semoga padamu juga. Sedangkan Firaun telah meninggal dunia.

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1113), al-Tabarani (10609) dan Ibn Abi al-Dunya dalam al-Sumt wa Adab al-Lisan (309).

Akan tetapi, tidak sewajarnya kita memulakan doa seperti rahmat dan berkat daripada Allah kepadanya. Tetapi mungkin kita boleh berdoa yang lebih baik agar diberi hidayat atau diberi kebaikan dalam urusannya. Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadith, daripada Abu Musa, katanya:

كَانَ الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجَاءَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ: (يَرْحَمُكُمُ اللَّهُ) فَكَانَ يَقُولُ: (يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Maksudnya: Adalah golongan Yahudi pernah bersin di sisi Nabi SAW dengan mengharapkan Rasulullah SAW berdoa untuk mereka kalimah yarhamukallah (semoga Allah rahmati kamu). Sebaliknya Rasulullah SAW berkata: Semoga Allah beri hidayat kepada kamu dan Allah baik keadaan kamu.

Riwayat Abu Dawud (5038) dan al-Tirmizi (2739)

Semoga Allah memberi kepada kita kefahaman dalam agama kita dan seterusnya dapat beramal dengan sebaik-baiknya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.