Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 29 daripada surah al-Fath?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ

Maksudnya: “Kamu melihat mereka banyak melakukan rukuk dan sujud semata-mata mencari kurniaan Allah dan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan Ibadat mereka yang ikhlas).”

(Surah al-Fath: 29)

Sufian al-Thauri berkata, “Iaitu mereka sembahyang malam dan ketika waktu pagi (tanda itu) dapat dilihat pada muka mereka.”

Ibn Kathir berkata: Firman Allah SWT: “Kamu melihat mereka rukuk dan sujud, mencari kurniaan Allah dan keredaan-Nya.” Allah SWT menyifatkan mereka sebagai golongan yang banyak beramal dan mendirikan solat, yang merupakan amalan terbaik. Allah juga menggambarkan bahawa mereka melakukannya dengan penuh keikhlasan hanya kerana-Nya, serta mengharapkan ganjaran yang melimpah di sisi-Nya, iaitu syurga sebagai kurniaan-Nya dan rezeki yang tidak terhingga bagi mereka. Selain itu, keredaan Allah terhadap mereka merupakan nikmat yang jauh lebih besar daripada ganjaran pertama yang disebutkan. Sebagaimana firman-Nya: “Dan keredaan Allah itu lebih besar.” (Surah At-Taubah: 72)

Firman Allah SWT: “Tanda-tanda mereka kelihatan pada wajah mereka daripada bekas sujud.” Ali bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa maksud firman Allah SWT ini merujuk kepada tanda yang baik. Mujahid dan ulama lain pula menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan tanda tersebut adalah kekhusyukan dan ketundukan hati mereka kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/655)

Al-Syaukani berkata: Maksudnya, kalian dapat melihat mereka dalam keadaan ruku’ dan sujud. ‘يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللهِ وَرِضْوٰنًا’ (Mengharapkan anugerah dan keredaan Allah) Mereka mengharapkan ganjaran serta keredaan daripada Allah. ‘سِيمَاهُمْ فِى وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ’ (Tanda-tanda mereka kelihatan pada wajah mereka daripada kesan sujud) Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa maksudnya ialah wajah mereka yang berseri-seri, teduh, serta memancarkan cahaya keimanan. (Lihat Fath al-Qadir, 4/122)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir (13/430) berkata: Yakni, kamu saksikan mereka sentiasa memperbanyak solat dengan penuh keikhlasan. Oleh kerana itu, kamu melihat mereka sering rukuk dan sujud mencari dan menginginkan pahala serta keredhaan, mengharapkan agungnya pahala di sisi Allah SWT iaitu syurga dan keredhaan-Nya kepada mereka.

Tanda-tanda yang menjadi ciri khas mereka ialah adanya sinar, keelokan dan ketenangan yang memancar pada air muka mereka, penampilan yang baik dan khusyuk. Al-Suddi mengatakan bahawa solat menjadikan muka mereka tampak indah. Ini sepertimana diriwayatkan daripada Jabir, sabda Rasulullah SAW:

مَنْ كَثُرَتْ صَلَاتُهُ بِاللَّيلِ، حَسُنَ وَجْهُهُ بِالنَّهَارِ

Maksudnya:Sesiapa yang banyak menunaikan solat pada malam hari, tampak indah wajahnya pada siang hari.”

Riwayat Ibn Majah (1333)

Begitulah tazkirah dan peringatan daripada Allah SWT kepada kita. Semoga, ayat-ayat al-Quran yang disebutkan itu menjadi pedoman buat kita.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”