Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana untuk menjawab pertanyaan daripada sesetengah pihak, di mana mengapa al-Quran perlu dilupuskan dengan kaedah-kaedah tertentu dan khusus?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ‎

Maksudnya:Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

(Surah al-Hijr: 9)

Kata Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini: al-Zikr adalah al-Quran. Kata beliau lagi: Dan Kami (Allah) sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat  Jami’ al-Bayan, 17/68)

Sebahagian pihak mungkin tidak memahami mengapa perkara seperti pelupusan al-Quran dan menggunakan semula kertasnya ini dibincangkan oleh para ahli ilmu dan institusi-institusi fatwa.

Pada hakikatnya, perbincangan ini amatlah penting kerana ia berkait rapat dengan isu pemeliharaan, menghormati Kalamullah dan mengelakkan daripada berlakunya penghinaan kepada kitab suci al-Quran ini, serta memastikan kesuciannya terjaga dari sebarang unsur penghinaan.

Ahli majlis fatwa al-Lajnah al-Da’imah menyebutkan, jika ayat al-Quran terpadam sedikit dari lembaran-lembarannya, ia perlu dibakar atau ditanam di kawasan yang bersih bagi memelihara al-Quran dari penghinaan. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 3/40)

Sebarang unsur penghinaan serta pencemaran kehormatan Mushaf al-Quran merupakan suatu maksiat yang besar, sehinggakan ulama’ mengatakan bahawa perkara tersebut boleh menggelincirkan seseorang ke dalam lembah kekufuran. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mushaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan Pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431)

Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah di dalam fatwa mereka yang terkini pada 25 Julai 2023 menyebutkan, apa-apa kertas dan lembaran yang ditulis padanya ayat al-Quran, wajib memuliakannya dengan menjauhkan dari sebarang unsur penghinaan atau memperlekehkan. Dan haram hukum membuangnya di dalam pembuangan sampah, di bawah kaki-kaki manusia, dan di kawasan yang kotor, atau sengaja mengoyakkannya.

Sesiapa sahaja yang melakukannya, sedangkan dia tahu tentang pengharamannya, maka kesengajaan ini yang bertujuan untuk memperolok-olok adalah berbahaya kepada agamanya.[1]

Allah SWT berfirman:

قُلْ أَبِٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ

Maksudnya: “Katakanlah: ‘Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?’.”

(Surah al-Taubah: 65)

Syams al-Din al-Ramli pula berkata, perbuatan yang boleh membawa kepada kekufuran adalah perbuatan mempersendakan agama secara terang-terangan, atau kerana ingkar terhadap agama seperti membuang mushaf al-Quran dan selainnya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 7/416)

Oleh yang demikian, hukum memelihara al-Quran itu menjadi kewajiban semua muslim, bertepatan dengan kaedah fiqh:

مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Suatu perkara yang mana tidak sempurna suatu kewajiban itu melainkan dengan perkara tersebut, maka hukumnya juga adalah wajib.”

Imam al-Nawawi telah menukilkan persepakatan ulama’ dalam masalah ini. Beliau berkata: “Muslimin telah bersepakat tentang kewajiban secara mutlak untuk mengagungkan al-Quran, menyucikan serta memeliharanya.” (Lihat al-Majmu‘, hlm. 164)

Allah SWT menyebutkan di dalam firman-Nya:

وَمَن يُعَظِّمْ حُرُمَـٰتِ ٱللَّهِ فَهُوَ خَيْرٌۭ لَّهُۥ عِندَ رَبِّهِۦ ۗ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya.”

(Surah al-Hajj: 30)

Dan juga firman-Nya pada ayat seterusnya:

وَمَن يُعَظِّمْ شَعَـٰٓئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى ٱلْقُلُوبِ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menghormati syi‘ar-syi‘ar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”

(Surah al-Hajj: 32)

‘Abd al-Rahman al-Sa‘di berkata, yang dimaksudkan dengan (حُرُمَـٰتِ ٱللَّهِ) adalah semua perkara yang padanya terdapat kehormatan di sisi syarak, yang telah diperintahkan untuk dimuliakannya, sama ada ibadah atau selainnya. Sebagai contoh, manasik Haji, perbahasan ihram, sembelihan dam, dan amal ibadah lain yang Allah SWT perintahkan kita untuk melakukannya. Kesemua ini, cara memuliakannya adalah dengan hati, mencintai amal perbuatan ini, menyempurnakan ibadahnya, tidak lalai, tidak bermalas-malasan dan tidak juga merasa berat hati.

Dan maksud (شَعَـٰٓئِرَ ٱللَّهِ) juga sama seperti maksud (حُرُمَـٰتِ ٱللَّهِ) yang disebutkan, iaitu perkara-perkara yang secara jelasnya merupakan syi‘ar agama. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 537-538)

Melihat kepada kepentingan ini, fuqaha’ membincangkan beberapa bentuk pelupusan al-Quran, atau apa jua lembaran yang ditulis padanya ayat-ayat suci Allah SWT. Antara lain yang berkait rapat dengan isu pelupusan al-Quran ini, termasuklah mengitar semula kertas-kertas yang ingin dilupuskan tersebut agar kos pemprosesan kertas dapat dijimatkan, di samping dapat mengurangkan penebangan pokok-pokok untuk dijadikan kertas. Ini secara tidak langsung telah membuka jalan maslahah yang lebih luas, bukan sahaja khusus untuk pemeliharaan al-Quran, bahkan kepada pemuliharaan alam sekitar yang kini kian terancam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3783. Diakses pada 26 Disember 2023.