Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum nelayan menangkap ikan menggunakan elektrik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Memburu atau menangkap pada asalnya adalah diharuskan, melainkan sekiranya terdapat dalil yang mengharamkannya. Begitu juga, hukum menangkap ikan merupakan perkara yang dihalalkan di dalam Islam. Ini sepertimana kaedah yang yang dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah:

الأصْل فِي الصَّيْدِ الإبَاحَةُ، إِلاَّ لِمُحْرِمٍ أَوْ فِي الْحَرَمِ، يَدُل عَلَيْهَا الْكِتَابُ وَالسُّنَّةُ وَالإجْمَاعُ، وَالْمَعْقُول

Maksudnya: Hukum asal bagi memburu adalah diharuskan melainkan bagi orang yang berihram atau di tanah haram seperti yang terdapat di dalam kitab, Sunnah, Ijma’ dan Qias. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/114)

Demikianlah juga, diharuskan untuk memburu dan menangkap haiwan laut seperti ikan. irman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/244.)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan haram menggunakan alatan renjatan elektrik kerana ia akan memberi kerosakan kepada ekosistem hidupan air yang akan menyebabkan kepupusan hidupan air. Bahkan, hidupan air lain juga akan terkena renjatan sama sedangkan, tiada keperluan untuk menangkapnya. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ يَا رَبِّ إِنَّ فُلاَنًا قَتَلَنِي عَبَثًا وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ

Maksudnya: Barangsiapa yang membunuh burung kecil tanpa sebab, ia akan mengadu kepada Allah SWT pada hari kiamat dan berkata: Wahai Tuhan, sesungguhnya si fulan telah membunuhku dnegan sia-sia tanpa sebab dan tidak membunuhku kerana sebarang manfaat.

Sunan al-Nasa’ie (4446)

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Baginda bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak juga membalas kemudharatan.”

Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)

Syeikh Dr. Ya‘qub al-Bahasin membawakan kefahaman secara umum tentang kaedah ini, bahawa diharamkan untuk mendatangkan kemudharatan kepada orang Islam, meskipun secara fizikal atau emosi, dan sama ada pada agamanya, dirinya, akalnya, hartanya, atau keturunannya. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 333).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”