Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah cara melakukan proses islah atau perubahan ke arah kebaikan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Maksudnya: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”
(Surah Hud: 88)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, lafaz “إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ” (Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku), maksudnya adalah dalam apa yang aku perintahkan kepadamu dan aku melarangmu, aku hanyalah ingin memperbaikimu dengan kemampuanku dan kekuatanku. Seterusnya lafaz “وَمَا تَوْفِيقِي” (dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya) pula adalah bermaksud dalam meraih kebenaran dalam apa yang aku inginkan. Kemudian, lafaz “إِلَّا بِاللَّـهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ” (melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri) iaitu dalam segala urusanku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/344)
Imam al-Baidhawi menjelaskan maksud ayat (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ) adalah apa yang aku inginkan adalah mengislahkan kamu semua dalam perkara makruf dan mencegah kamu semua daripada perkara mungkar dengan sedaya upaya yang aku miliki. Perkataan (الْإِصْلَاحَ) merujuk kepada kadar yang termampu. Seterusnya, ayat (وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ) ini pula bermaksud aku tidak mendapat taufiq untuk mengatakan yang betul dan benar tanpa hidayah dan pertolongan daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/145).
Manakala Ali al-Sabuni pula ketika menafsirkan ayat di atas, menjelaskan maksudnya adalah, tidaklah aku mahu menyuruh dan mencegah kamu kecuali membawa kebaikan kepada kamu dalam kadar kemampuan yang aku miliki. Begitu juga tiada taufiq ke arah kebaikan kecuali dengan sokongan dan pertolongan daripada-Nya. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/39).
Selain itu, al-Maraghi juga ada menyebutkan, firman Allah SWT: “إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ”. Baginda menyambung, “Tiada apa yang aku kehendaki kecuali kebaikan dengan cara memberi nasihat dan pelajaran menurut daya dan usahaku. Aku tidak akan lalai semasa menyampaikannya kerana semua itu bukan dorongan hawa nafsuku. Ia juga bukan kerana untuk keuntungan peribadiku yang jika bukan disebabkannya, maka aku tidak akan melakukannya!” Hal ini merupakan petunjuk kemantapan akal, kebenaran, kebijaksanaan dan pembatalan baginda terhadap ejekan dan olok-olokan kaumnya. Seterusnya, keadaan itu memberinya gelaran sebagai orang yang penyantun dan berakal.
Seterusnya, firman Allah SWT: “وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ”. Taufiq bererti kejayaan dan keberhasilan dalam melakukan segala amal dan usaha yang baik. Hal itu boleh terjadi apabila orang yang melakukan usaha dan mencari jalan yang dapat menyampaikan kepada keberhasilan tersebut, di samping dia mempersiapkan sebab-sebab yang dapat memudahkannya untuk mencapainya. Kesemua itu hanya daripada Allah SWT semata-mata. Ayat ini bermaksud, Nabi Syu‘aib AS bersabda, “Taufiq yang aku peroleh sehingga sentiasa mengenai sasaran yang benar dan hak dalam segala hal yang aku lakukan atau yang aku tinggalkan, tidak lain tidak bukan hanyalah petunjuk dan pertolongan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3249-3250).
Al-Zurqani menyebut di dalam Manahil al-‘Irfan (2/351), beberapa bentuk atau cara pengislahan dan penyelesaiannya. Antaranya adalah seperti yang berikut:
- Islah al-aqa’id(islah keyakinan), caranya dengan jalan membimbing manusia kepada hakikat permulaan dan pengakhiran kehidupan serta antara keduanya di bawah ruang lingkup iman kepada Allah SWT, para malaikat-Nya, para rasul-Nya dan hari Akhirat.
- Islah al-‘ibadah(islah peribadatan), caranya dengan jalan membimbing manusia kepada sesuatu yang menyucikan jiwa, meluruskan keinginan, memberi faedah kepada orang lain baik itu individu mahupun secara berkumpulan.
- Islah al-akhlaq(islah akhlak), caranya dengan jalan membimbing manusia kepada kebaikan-kebaikan diri mereka dan menjauhkan mereka daripada perkara yang boleh membawa kepada kehinaan diri mereka tanpa ada unsur melebih-lebihkan atau sebaliknya.
- Islah al-ijtima‘(islah kemasyarakatan), caranya dengan jalan membimbing manusia kepada penyatuan ummah dan penghapusan ta’asub serta menghilangkan perbezaan-perbezaan yang menjauhkan umat Islam.
- Islah al-siyasah(islah politik) atau al-hukm al-dauli (hukum pemerintahan), caranya dengan jalan menegakkan keadilan secara mutlak, mengutamakan persamaan antara manusia, adil, boleh dipercayai, menepati janji, tidak pilih kasih dan penuh rasa kasih sayang; jauh dari kezaliman, pengkhianatan, kebohongan dan penipuan.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga ada menyebutkan beberapa kesalahan umum dalam melakukan ijtihad kontemporari sebagai salah satu dari agenda islah. Antara kesalahan-kesalahan tersebut ialah kurang memahami realiti dan keterlaluan dalam memberi perhatian kepada sesuatu persoalan. Kaedah terbaik bukanlah menyogok masyarakat dengan fatwa-fatwa baru yang kontroversial, tetapi sebaliknya mendidik masyarakat secara sederhana ke arah perubahan paradigma tentang konsep hukum dan pemikiran fiqh itu sendiri. Tegasnya, gerakan islah perlu bermula dengan menyedarkan masyarakat tentang falsafah hukum yang betul dan bukan dengan mengejutkan mereka dengan kesimpulan-kesimpulan hukum yang kontroversial. (Lihat al-Ijtihad al-Mu‘asir Baina al-Indibat wa al-Infirat, hlm. 30-31)
Di samping itu, hendaklah kita melazimi doa dan munajat kepada Tuhan Yang Maha Esa agar dikurniakan islah dalam kehidupan kita. Hal ini sebagaimana Rasulullah SAW mengajar kita untuk berdoa:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”
Riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (10405), al-Bazzar (6368), Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (48) dan al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (4/43)
Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, dia berkata bahawa Nabi SAW telah bersabda kepada Fatimah R.Anha:
مَا يَمْنَعُكِ أَنْ تَسْمَعِي مَا أُوصِيكِ بِهِ، أَنْ تَقُولِي إِذَا أَصْبَحْتِ وَإِذَا أَمْسَيْتِ : يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ ، وَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Apa yang menghalangi engkau daripada mendengar kepada apa yang aku wasiatkan kepada engkau, iaitu hendaklah engkau membaca pada waktu pagi dan petang: ‘يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ ، وَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ’ (Wahai Tuhan yang Maha Hidup dan Tuhan yang Maha Berdiri Sendiri, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perelokkanlah segala urusanku. Janganlah engkau serahkan diri ini kepada diriku sendiri walau sekelip mata (tanpa mendapat pertolongan dari-Mu).”
Riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (381), Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (46) dan al-Bazzar (3107).
Imam al-Syaukani dalam kitabnya Tuhfah al-Zakirin menjelaskan: “Hadith ini merupakan jawami’ al-kalim (kalimat yang singkat, namun padat makna), kerana doa memohon kebaikan segala urusan yang mencakupi seluruh urusan dunia dan akhirat. Tidak ada yang terkeluar daripadanya. Sehingga menjadi beruntunglah orang yang Allah SWT kabulkan doanya ini, iaitu dengan diberikan kebaikan dunia dan akhirat. Lebih dari itu, kita diajarkan dalam hadith tersebut untuk menyerahkan dengan pasrah segala urusan kepada Allah. Dan ini termasuk tingkatan dan jenis iman paling tinggi.” (Lihat Tuhfah al-Zakirin, hlm. 86)
Terdapat juga doa yang lafaz hampir sama dengan lafaz di atas, iaitu dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Bakrah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
دَعَوَاتُ الْمَكْرُوبِ: اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلاَ تَكِلْنِى إِلَى نَفْسِى طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِى شَأْنِى كُلَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ
Maksudnya: “Doa ketika resah atau dirundung duka: ‘اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلاَ تَكِلْنِى إِلَى نَفْسِى طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِى شَأْنِى كُلَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ’ (Ya Allah, dengan rahmat-Mu aku berharap. Janganlah Engkau sandarkan urusanku pada diriku walau sekelip mata. Perbaikilah segala urusanku seluruhnya. Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau).”
Riwayat Abu Daud (5090); Ahmad (5/42). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanad hadith ini sebagai hasan.
Imam al-Munawi menjelaskan: “Sesiapa yang mentauhidkan Allah SWT dan mengagungkan-Nya, kemudian disertai dengan berkumpulnya tekad dan hadirnya hati, maka akan dilenyapkan baginya kesulitan di dunia serta diturunkan rahmat dan diangkat darjatnya di akhirat.” (Lihat Faidh al-Qadir, 3/526).
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”