Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah anak yang tidak diketahui asal-usul ahli keluarga seperti anak angkat boleh menerima pusaka?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَٰكِن رَّسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ
Maksudnya: “Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi.”
(Surah al-Ahzab: 40)
Ayat ini menunjukkan bahawa tidak ada nabi lagi sesudahnya. Sekiranya tidak ada lagi nabi selepasnya, maka tidak adanya rasul selepasnya adalah lebih-lebih lagi kerana maqam al-Risalah adalah lebih khusus berbanding maqam al-Nubuwwah. Hal ini kerana setiap rasul itu merupakan nabi, sedangkan nabi belum tentu lagi adalah rasul. (Lihat Tafsir Ibn Kathir,3/645).
Antara yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Zaid yang asalnya dijadikan anak angkat oleh Rasulullah SAW telah di’bin’kan kepada Baginda sendiri. Kemudian, selepas turun ayat ini, di’bin’kan kepada bapanya yang asal iaitu Zaid bin Harithah R.A.
Isu pewarisan harta telah ditetapkan oleh syara‘, begitu juga setiap ahli waris telah ditentukan. Pengarang matan al-Rahabiyyah menyebutkan:
أَسْبَابُ مِيرَاثِ الوَرَى ثَلَاثَهْ كُلٌّ يُفِيدُ رَبَّهُ الوِرَاثَهْ
وَهْيَ نِكَاحٌ وَوَلَاءٌ وَنَسَبْ مَا بَعْدَهُنَّ لِلْمَوَارِيثِ سَبَبْ
“Sebab-sebab warisan bagi manusia itu ada tiga,
setiap satu memberi orang peninggalannya pusaka.
Ia adalah pernikahan, wala’ dan nasab,
selain daripadanya, tiada sebab mewarisi harta.”
Anak angkat dan seumpamanya tidak termasuk dalam kalangan ahli waris yang berhak menerima harta pusaka. Meskipun Islam memerintahkan kita untuk berbuat baik kepada anak yatim atau anak angkat yang berada di bawah jagaan kita, sebagaimana dalam firman-Nya:
وَٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًٔا ۖ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا وَبِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin.”
(Surah al-Nisa: 36)
Namun, hal ini tidaklah menjadi salah satu sebab yang mengharuskan mereka menerima harta peninggalan sesudah penjaganya meninggal dunia. Dalam pada itu, mereka masih boleh menerima sebahagian dari harta si mati dengan cara yang berbeza, sama ada dalam bentuk wasiat mahupun sedekah dari pihak ahli waris. Sekiranya penjaga anak angkat atau anak yatim itu sempat mewasiatkan sesuatu kepadanya, maka wasiat itu sah dan boleh dilaksanakan dalam had harta pusaka. Allah SWT berfirman:
مِنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَىٰ بِهَآ أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَآرٍّ ۚ وَصِيَّةً مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ
Maksudnya: “Sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.”
(Surah al-Nisa’: 12)
Wasiat tersebut dibenarkan oleh syara‘, dengan syarat ia perlu ditunaikan dengan penuh adil agar tidak menzalimi, menindas, atau berlaku tidak adil, sehingga menghalang sebahagian waris daripada menerima bahagiannya, mengurangkannya, atau menambahkannya melebihi apa yang telah ditetapkan oleh Allah dalam pembahagian faraidh. Maka, sesiapa yang sengaja melakukan demikian, seolah-olah dia menentang hikmah dan ketetapan Allah dalam pembahagian harta pusaka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/202)
Adapun ketika tiada wasiat baginya, ahli waris dianjurkan untuk berlaku ehsan terhadap mereka dengan berkongsi sebahagian dari harta pusaka, seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:
وَإِذَا حَضَرَ ٱلْقِسْمَةَ أُو۟لُوا۟ ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينُ فَٱرْزُقُوهُم مِّنْهُ وَقُولُوا۟ لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
Maksudnya: “Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.”
(Surah al-Nisa’: 8)
Kata Syeikh Muhammad Abu Zahrah, ayat ini merujuk kepada kaum kerabat yang tidak mempunyai hak warisan, sebagaimana yang dikatakan oleh kebanyakan ahli tafsir. Namun, bagi mereka yang meneliti ayat ini, dia akan mendapati bahawa ia mempunyai cakupan yang lebih luas, kerana ia juga merangkumi golongan miskin dan anak yatim secara umum, meskipun mereka bukan daripada kalangan kaum kerabat.
Golongan miskin ialah mereka yang ditimpa kesusahan dan dihimpit oleh keperluan hidup sehingga dalam keadaan terhina. Kehadiran mereka dalam ayat ini bukan bermaksud mereka mesti menyaksikan secara langsung pembahagian harta pusaka, kerana kebiasaannya pembahagian harta tidak dilakukan di hadapan mereka. Sebaliknya, maksudnya ialah para pembahagi harta pusaka hendaklah mengetahui kewujudan mereka dan menyedari keperluan mereka seolah-olah mereka hadir dan menyaksikan pembahagian tersebut. Adapun maksud “rezeki” dalam ayat ini ialah memberi mereka harta yang boleh digunakan untuk perbelanjaan dan memenuhi keperluan mereka, namun bukan dalam kadar yang menjadikan mereka kaya. (Lihat Zahrah al-Tafasir, 3/595)
Maka jelas di sini bahawa anak angkat tidak termasuk dalam kalangan ahli waris, dan mereka tidak menerima harta pusaka setelah penjaganya atau keluarga angkatnya meninggal dunia. Akan tetapi, disunatkan untuk ahli waris lain berbuat baik kepada anak angkat tersebut sebagai tanda mengingati serta mengurangkan kesedihan setelah kehilangan salah seorang dari orang tersayang.
Semoga pencerahan ringkas ini dapat memberikan kita kefahaman yang jelas berkenaan sebab-sebab yang mengharuskan seseorang itu menerima harta pusaka. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam