Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana tafsir ayat 113 Surah Hud dan interaksi ulama’ terhadap ayat tersebut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”
(Surah Hud: 113)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya serta hamba-hamba-Nya yang beriman agar tetap teguh dan terus berada di jalan yang lurus. Keteguhan ini merupakan bantuan terbesar dalam mencapai kemenangan ke atas musuh dan menghadapi sebarang cabaran. Allah juga melarang perbuatan zalim kerana kezaliman membawa kehancuran, bahkan terhadap golongan musyrik sekalipun. Allah SWT memberitahu bahawa Dia Maha Melihat segala amalan hamba-hamba-Nya, tidak pernah lalai terhadap sesuatu, dan tiada satu pun yang tersembunyi daripada-Nya.
Firman Allah: “Dan janganlah kalian cenderung kepada orang-orang yang zalim” Ali bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa maksud ayat ini ialah: Janganlah kalian cenderung kepada mereka—iaitu, janganlah meminta pertolongan daripada orang-orang yang zalim sehingga seolah-olah kalian meredai perbuatan mereka. “(Yang akibatnya kalian akan disentuh api neraka, dan sekali-kali kalian tidak mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kalian tidak akan diberi pertolongan)” Maksudnya, kalian tidak akan memiliki sesiapa pun yang dapat melindungi dan menyelamatkan kalian daripada azab Allah, melainkan Dia semata-mata. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/633)
Al-Syaukani berkata: “Larangan cenderung kepada golongan zalim merangkumi perbuatan merelakan kezaliman mereka, membenarkan atau memperindahnya di mata orang lain, serta turut terlibat dalam kezaliman tersebut. Namun, keterlibatan dalam urusan mereka bagi mencegah kemudaratan atau membawa manfaat tidak termasuk dalam larangan ini.” (Lihat Fath al-Qadir, 2/112)
Sufyan al-Thauri Rahimahullah telah datang kepadanya tukang jahit dan bertanya: Sesungguhnya aku menjahit pakaian pemerintah yang zalim. Adakah aku termasuk golongan yang mendokong kezaliman?
Maka jawab Sufyan al-Thauri: Bahkan, kamu sendiri telah menzalimi diri kamu. Tetapi orang yang menjadi penolong orang-orang yang zalim ialah mereka yang menjual benang dan jarum.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, ketika datang penyebat kepadanya di Penjara Damsyik seraya berkata: Ampun dan maafkan saya Syeikh kami. Aku hanya diperintahkan.
Jawab Ibn Taimiyyah: Demi Allah, kalaulah bukan sebab kamu, nescaya mereka tidak akan menjadi zalim.
Peri pentingnya kita menjarakkan daripada sebarang bentuk kezaliman dan menegahnya sebagaimana nasihat Nabi SAW: Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اُنْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُوْمًا
Maksudnya: “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi.”
Riwayat al-Bukhari (no. Hadith 2263, 2264 dan 2438)
“Bantu saudaramu yang zalim” adalah dengan cara mencegahnya daripada perbuatan yang zalim. Ini kerana, jika dibiarkan begitu saja, ia akan terus melakukan kezaliman tersebut. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 6/572)
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi diri agar menghindarkan diri daripada sifat zalim serta menzalimi. Kita bimbang apa yang Allah nyatakan:
وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ (42) مُهْطِعِينَ مُقْنِعِي رُءُوسِهِمْ لَا يَرْتَدُّ إِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ ۖ وَأَفْئِدَتُهُمْ هَوَاءٌ
Maksudnya: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).
(Surah Ibrahim: 42-43)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”