Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Tidak menyelesaikan harta pusaka secepat mungkin apabila berlakunya kematian sehingga menyebabkan kematian tersebut berlapis-lapis. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya: (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Nisa’: 11)

Al-Syaukani berkata: Yakni hukum-hukum pada ayat ini wajib atas kamu semua sebagai ketetapan dari Allah. (Lihat Fath al-Qadir, 1/318)

Terlebih dahulu kami katakan bahawa pembahagian harta pusaka secara faraidh adalah wajib. Ini adalah sebagaimana hadith, Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji (3/284-286), antara lain menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.

Seterusnya, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa waris hendaklah menyegerakan urusan atau kewajipan berkaitan harta si mati iaitu pengurusan jenazah, hutang, wasiat, dan akhirnya harta pusaka kerana menangguh-nangguh atau melewat-lewatkannya akan menyebabkan pengurusan harta tersebut menjadi semakin rumit atau susah, sedangkan asalnya mungkin pengurusan atau pembahagiannya adalah lebih mudah kerana kemungkinan berlakunya kematian yang berlapis-lapis dalam kalangan ahli waris yang berhak.

Oleh itu, mempercepatkan atau menyegerakan tempoh proses bagi menyelesaikan pembahagian harta pusaka, pasti akan lebih memudahkan urusan ramai pihak yang terlibat.Hal ini selari dengan kehendak Islam yang menyeru kepada umatnya untuk memudahkan urusan orang lain seperti yang terkandung dalam hadith, di mana Rasulullah SAW bersabda:

مَن نَفَّسَ عن مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membebaskan seseorang daripada kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya daripada kesusahan hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagi mana hamba membantu saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699)

Dalam hadith ini, Baginda SAW mengingatkan kepada orang beriman agar sentiasa memudahkan urusan orang lain, tidak menyebarkan aib dan saling membantu saudaranya yang Islam. Sesiapa yang memudahkan urusan orang lain maka Allah SWT akan memudahkan urusannya. Bahkan dalam riwayat yang lain, dinyatakan bahawa orang yang menyusahkan urusan orang lain maka Allah SWT akan menyusahkan. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَنْ ضَارَّ، ضَارَّ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ شَاقَّ، شَقَّ اللَّهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang memudaratkan (orang lain) Allah akan memudaratkannya dan sesiapa yang menyusahkan (urusan orang lain) Allah akan menyusahkan urusannya.”

Riwayat al-Tirmizi (1940)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”