#839: Mengambil Semula Barang yang Telah Hibah

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah seseorang mengambil semula barang yang telah dia hibahkan kepada orang lain?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengertian Hibah

Hibah ialah memberi milik sesuatu barang kepada seseorang yang mana barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang, oleh ahli tabarru’ dengan tidak adanya sebarang tukaran atau balasan.[1] Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Hibah merupakan satu kontrak perjanjian (akad) bertujuan kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian (‘iwad) ketika masih hidup dan ia dilakukan secara sukarela.[2]

Terdapat sedikit persamaan antara hibah, hadiah dan sedekah. Maksud hibah ialah pemberian sesuatu tanpa gantian, dan ini merupakan maksud umum pemberian. Hadiah pula ialah pemberian sesuatu barang kepada seseorang sebagai satu penghormatan atau kemuliaan. Manakala sedekah ialah pemberian kepada yang memerlukan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ganjaran pahala di akhirat.[3] Oleh iu, dapat dilihat ketiga-tiga perkara tersebut berbeza mengikut niat pemberi.

Hibah merupakan satu pemberian kepada seseorang untuk digunakan manfaatnya kepada penerima. Ia merupakan pemberian sesuatu ain (benda) miliknya kepada orang lain sewaktu hidupnya tanpa mengharap apa-apa pembalasan. Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan: “Hibah menurut istilah fiqh bermaksud pemberian hak milik kepada seseorang tanpa balasan (iwad) sewaktu hidupnya. Hibah, hadiah dan sedekah mempunyai makna yang hampir sama.[4]

Dalam erti kata lain, hibah merupakan pemberian sesuatu kepada orang lain sama ada ia berbentuk harta ataupun bukan tanpa sebarang pertukaran. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik. Pada asasnya hadiah, sedekah dan juga hibah adalah satu jenis yang sama iaitu pemilikan sesuatu benda tanpa sebarang pertukaran. Beza hadiah dengan hibah ialah pada berlakunya perpindahan harta kepada orang yang dihadiahkan. Hibah juga lebih umum daripada hadiah dan juga sedekah. Setiap hadiah dan sedekah adalah hibah dan tidak semestinya setiap hibah itu sedekah ataupun hadiah.[5]

 

Pensyariatan dan Hukum Hibah

Terdapat dalil al-Quran, Sunnah serta Ijma’ dalam galakan berhibah bagi membantu dan mengeratkan lagi tali silaturrahim. Firman Allah SWT:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”[6]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan, sekiranya seseorang isteri itu memberi (hibah) kepada suaminya sebahagian daripada maharnya maka harus bagi suaminya itu mengambilnya. Dan ia merupakan pemberian yang baik selagi mana ia meredhainya.[7]

Amalan memberi hibah, hadiah ataupun sedekah merupakan satu amalan yang digalakkan dalam Islam. Firman Allah SWT:

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.”[8]

Hukum Asal Hibah

Hukum asal bagi perbuatan hibah adalah mustahab (sunat) menurut ijma’ ulama’. Akan tetapi, hukum sunat tersebut boleh berubah menjadi haram jika diniatkan padanya perbuatan maksiat atau membantu kezaliman ataupun dimaksudkan dengan pemberian hibah atau hadiah tersebut sebagai tujuan rasuah para pekerja dan sebagainya, maka perbuatan ini adalah diharamkan. Dan juga ia boleh berubah menjadi makruh apabila wujudnya unsur atau perasaan riak dan takabbur (membangga diri) terhadap pemberian tersebut.[9]

Rukun Hibah

Rukun bagi hibah ada tiga iaitu:

  • Pemberi hibah
  • Penerima hibah
  • Ijab dan Qabul

Imam al-Nawawi menyebut bahawa akad hibah perlu kepada lafaz ijab dan qabul sepertimana dalam urusan jual beli dan seluruh hak milik. Adapun hadiah, terdapat dua pendapat ulama’ mengenai hal ini. Pendapat pertama di sisi Syeikh Abu Hamid dan yang berguru dengannya, mensyaratkan lafaz ijab dan qabul dalam hadiah sepertimana urusan jual beli dan hal wasiat. Manakala pendapat kedua ialah tidak perlu kepada lafaz ijab dan qabul bahkan cukup sekadar terima serahan dan memilikinya. Ini adalah pendapat yang shahih dalam mazhab dan mereka bersandarkan pada dalil bahawa ada hadiah yang diberikan kepada Rasulullah S.A.W dan Rasulullah S.A.W menerimanya tanpa sebarang lafaz dan ia juga telah dipraktikkan oleh orang ramai sejak berzaman.[10]

Hukum Mengambil Semula Barang yang Telah Dihibahkan

Kami katakan dalam masalah hukum hibah ini, ada dua keadaan:

  • Kita sebut hibah tetapi pelaksanaan kehibahan itu belum berlaku lagi. Maka keadaan seperti ini, kita tidak menganggapnya sebagai hibah.
  • Kita sebut hibah dan pelaksanaan hibah itu turut berlaku.

Sebagai contoh, seseorang berkata kepada anaknya: “Motosikal ayah itu, kamu ambillah. Ayah hadiahkan pada kamu.” Dalam contoh ini, pemberian ini belum berlaku secara sempurna.

Pemberian secara sempurna hanya berlaku selepas berlaku pertukaran nama pada geran motosikal tersebut kepada nama anaknya. Selepas berlaku proses tersebut, barulah ia dipanggil hibah. Tetapi sekiranya hanya menyebut hendak memberi tanpa pertukaran nama, maka ia masih belum dikira hibah.

Hal ini kerana apabila dirujuk kepada undang-undang, sekiranya tidak berlaku proses seperti itu melainkan hanya lafazan mulut sahaja, maka ia akan menjadi pertikaian. Hal ini kerana tiada bahan bukti untuk dijadikan sandaran. Meskipun ketika hibah dilafazkan dengan sempurna malah turut bersumpah dengan nama Allah.

Oleh itu, merujuk isu di atas, apabila seseorang menghibah barang kepada seseorang, maka perlu dilihat setakat mana hibah tersebut berlaku. Adakah hanya lafazan di mulut sahaja atau sudah berlaku proses pertukaran nama. Sebab itulah disebut:

التَّبَرُّعُ لَمْ تَتِمّ حَتَّى يَقْبِض

Maksudnya: “Tabarru’ itu tidak berlaku sehingga dia memegang.”[11][12]

Memegang tersebut adalah sama ada memegang secara hissi atau secara maknawi. Sebagai contoh kereta dan rumah dipegang dengan adanya geran. Hal ini adalah berdasarkan kepada realiti semasa.

Oleh itu, perkara-perkara kecil seperti wang RM50, apabila dihibah kepada seseorang, apabila yang diterima memegang maka ia sudah dikira sebagai hibah.

Akan tetapi benda-benda besar seperti kenderaan, rumah, tanah, share saham dan seumpamanya maka kesemuanya ini perlu kepada pertukaran pindah milik. Apabila berlaku proses tersebut, maka baru dikira sebagai hibah.

Kami tegaskan di sini dalam isu di atas, jika diambil balik atau ditarik balik hibah selepas sempurnanya maka ia termasuk dalam hadis daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

الْعَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالْعَائِدِ فِي قَيْئِهِ

Maksudnya: “Yang mengambil semula apa dihibahkannya adalah seperti menjilat semula muntahnya.”[13]

Dalam riwayat lain, disebut:

لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ

Maksudnya: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.[14]

Justeru itu, melalui kedua-dua hadith ini, jelas menunjukkan larangan dan juga betapa buruknya sikap mereka yang meminta semula pemberian itu. Maka, Dr.Wahbah al-Zuhaili berkata: “Maka menelan semula muntah adalah haram. Begitu juga meminta semula hibah/hadiah yang telah diberikan. Dan sesungguhnya ia adalah perbuatan dan juga sikap yang buruk, lantas ia bukanlah akhlak seorang Muslim.”[15]

Kami nyatakan juga di sini beberapa hukum yang dipetik daripada kitab al-Ruju’ fi al-Hibah fi al-Fiqh al-Islami oleh Prof. Ali Abu al-Basal antara lain menyebut:

  • Ulama’ bersepakat bahawa tidak boleh mengambil kembali barang yang disedekahnya jika telah diterima oleh orang lain atau kaum keluarga. Ini berdasarkan nas Saidina Umar bin al-Khattab R.A yang berkata:

مَنْ وَهَبَ هِبَةً لِصِلَةِ رَحِمٍ ، أَوْ عَلَى وَجْهِ صَدَقَةٍ ، فَإِنَّهُ لاَ يَرْجِعُ فِيهَا

Maksudnya: “Siapa yang membuat hibahan kerana silaturrahim atau sebagai sedekah maka janganlah dia ambil kembali.”[16]

  • Ulama’ bersepakat bahawa tidak boleh mengambil kembali barangan hibah jika adanya gantian antara dua pihak.
  • Ulama’ bersepakat bahawa tidak harus mengambil kembali hibah jika telah mati salah seorang dari kedua selepas telah diterima harta yang dihibah.
  • Tidak harus mengambil kembali jika hibah dari salah seorang suami isteri kepada pasangan masing-masing atau kaum kerabat seperti saudara perempuan.[17]

Sebagai kesimpulan, dalam isu di atas, sekiranya telah berlaku proses pindah milik, maka tidak boleh diambil semula.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadhan 1443H

[1] Lihat Mughni al-Muhtaj, 11/396; Fath al-Mu’in, hlm. 84 dan I’anat al-Talibin, 3/142

[2] Lihat Mughni al-Muhtaj, 11/396; Fath al-Mu’in, hlm. 84 dan I’anat al-Talibin, 3/142

[3] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/120)

[4] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/175

[5] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/120-121, 253

[6] (Surah al-Nisa: 4)

[7] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/176

[8] (Surah al-Baqarah: 177)

[9] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122

[10] Lihat Raudhah al-Talibin, 5/365-366

[11] Disebut juga dengan beberapa lafaz lain seperti: ‘لا يتم التبرع إلا بالقبض’

[12] Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 90

[13] Riwayat al-Bukhari (2621) Ibn Majah (2385)

[14] Riwayat al-Bukhari (2622)

[15] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 3/184

[16] Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2/754), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12386)

[17] Lihat al-Ruju’ fi al-Hibah fi al-Fiqh al-Islami oleh Prof. Ali Abu al-Basal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *