Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah batal wudhuk saya jika saya bersalaman dengan non muslim dalam keadaan berwudhuk?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini.”
(Surah al-Taubah: 28)
Jumhur ulama menyatakan, najis dalam ayat di atas bermaksud kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang perlu dihindari, bukan pada badan mereka. Mereka berhujahkan bahawa Islam mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Para jumhur juga menyatakan bahawa Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, mengikat tawanan musyrik di dalam masjid, memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dihadiahkan Yahudi. (Lihat Nail al-Autar, 1/35)
Dinyatakan oleh Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff yang menyebutkan, perkara yang membatalkan wuduk ada empat iaitu:
- Keluar sesuatu daripada kedua jalan (qubul dan dubur) melainkan air mani. Hal ini kerana keluarnya air mani mewajibkan mandi.
- Hilang akal sama ada dengan tidur atau selainnya, kecuali sekiranya tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduknya.
- Bersentuhan kulit di antara lelaki dewasa dan perempuan ajnabi dewasa secara langsung tanpa berlapik.
- Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan atau jari-jemari bahagian dalam. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 100-103)
Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa sentuhan kulit antara lelaki dan perempuan ajnabi membatalkan wuduk, tidak kira dengan bersyahwat atau tidak. Namun, sentuhan itu tidak membatalkan wuduk sekiranya terdapat halangan (berlapik) sekalipun ia nipis. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/30)
Pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie, bersentuhan antara berlainan jantina yang bukan mahram (seperti perempuan dan lelaki ajnabi) tanpa berlapik, membatalkan wuduk. Firman Allah SWT :
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا
Maksudnya : “Sekiranya kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih.”
(Surah al-Maidah : 6)
Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya :
أَنَّ الْتِقَاءَ بَشَرَتَيْ الْأَجْنَبِيِّ وَالْأَجْنَبِيَّةِ ينتقض سواء كان بشهوة وبقصد أم لا ولا ينتقص مَعَ وُجُودِ حَائِلٍ وَإِنْ كَانَ رَقِيقًا
Maksudnya : “Sesungguhnya persentuhan kulit seorang lelaki dan perempuan yang ajnabi adalah perkara yang membatalkan wuduk sama ada dengan bersyahwat atau tidak. Akan tetapi, (persentuhan tersebut) tidak membatalkan wuduk sekiranya terdapat halangan (berlapik) walaupun nipis.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/30)
Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa manusia itu dimuliakan. Implikasi kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukumkan sebagai najis apabila telah mati, sama ada mereka itu Muslim atau kafir (bukan Islam). Manakala firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 28 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang Musyrik itu najis.” Najis yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis, dan bukannya kenajisan pada jasad mereka. (Lihat Asna al-Matalib, 1/10)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan persentuhan kulit melalui persalaman (berjabat tangan) atau seumpamanya, antara sesama jenis walaupun berbeza agama, tidak membatalkan wuduk.
Islam tidak pernah melarang kita daripada menyantuni dan berbuat baik kepada orang bukan Islam. Malah, kita diperintahkan berlaku adil dan menunjukkan akhlak yang baik kepada mereka. Mudah-mudahan ia dapat menjadi sebab kepada dekatnya mereka dengan agama Islam. Firman Allah SWT :
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya : “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
(Surah al-Mumtahinah : 8)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa