Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa dimaksudkan dengan islah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Maksudnya: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”
(Surah Hud: 88)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, lafaz “إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ” (Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku), maksudnya adalah dalam apa yang aku perintahkan kepadamu dan aku melarangmu, aku hanyalah ingin memperbaikimu dengan kemampuanku dan kekuatanku. Seterusnya lafaz “وَمَا تَوْفِيقِي” (dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya) pula adalah bermaksud dalam meraih kebenaran dalam apa yang aku inginkan. Kemudian, lafaz “إِلَّا بِاللَّـهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ” (melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri) iaitu dalam segala urusanku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/344)
Imam al-Baidhawi menjelaskan maksud ayat (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ) adalah apa yang aku inginkan adalah mengislahkan kamu semua dalam perkara makruf dan mencegah kamu semua daripada perkara mungkar dengan sedaya upaya yang aku miliki. Perkataan (الْإِصْلَاحَ) merujuk kepada kadar yang termampu. Seterusnya, ayat (وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ) ini pula bermaksud aku tidak mendapat taufiq untuk mengatakan yang betul dan benar tanpa hidayah dan pertolongan daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/145).
Islah adalah berasal daripada perkataan bahasa Arab “الإِصْلَاح”, bentuk masdar daripada kata akar “أَصْلَحَ-يُصْلِحُ-إِصْلَاحًا” yang diambil daripada “ص-ل-ح”. Ia diertikan oleh Ibn Manzur sebagai lawan kepada kerosakan (فَسَاد) yang bermaksud: “Menghilangkan kerosakan atau mendirikan semula sesuatu yang telah runtuh atau rosak.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 2/517).
Dalam al-Mu‘jam al-Muyassar, “islah” bermaksud: “Memperbaiki kerosakan atau menghilangkan permusuhan dan perpecahan dalam kalangan manusia atau memperindah sesuatu.” (Lihat al-Mu‘jam al-‘Arabi al-Muyassar, hlm. 292).
Dalam istilah Bahasa Melayu, penggunaan kalimah islah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud: “Usaha untuk mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai serta penyelesaian perbalahan dengan jalan baik atau dengan jalan damai.”[1]
Selain daripada itu, islah juga ditakrifkan sebagai reform yang membawa makna perbaikan atau pembaharuan dalam pelbagai bidang. Antaranya bidang kebudayaan, sosial, keagamaan dan sebagainya. (Lihat The Encyclopedia of Islam, 2/142)
Kami akhiri dengan doa:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”
[1] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=islah. Diakses pada 26 Disember 2023.