#84 Hukum Bagi Sutuh Masjid

Soalan

Adakah sutuh[1] ataupun dataran di atas bumbung masjid dihukumkan sebagai masjid?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertamanya, suka kami nyatakan bahawa masjid (مَسْجِد) merupakan nama tempat yang berasal dari perbuatan sujud, dan kalimah masjid boleh dibaca dengan masjid atau masjad. Tapi sebutan yang lebih masyhur adalah bacaan masjid .

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf, masjid ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27).

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174).

Apabila diperhatikan sejarah kewujudan dan kedudukan tanah persekitaran masjid pada masa dahulu berdasarkan definisi masjid dari sudut istilah, di antaranya ada masjid yang hanya berupa tanah lapang yang diberi tanda atau sempadan di sekelilingnya dengan mendirikan tiang-tiang yang dipacakkan tepat pada sempadan berkenaan.

Jika setakat yang ditanda sebagai sempadan itu hanyalah tiang saja yang dijadikan masjid atau disebut masjid oleh orang ramai, atau oleh pewakaf – jika ia masjid wakaf – maka yang berada di luar sempadannya tiada dikira masjid dan tidak berlaku padanya hukum-hakam masjid seperti iktikaf.

Sehubungan dengan ini, kalau ada orang yang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah tempat itu sebagai masjid, iaitu setakat mana luas atau besarnya tempat yang dimaksudkannya sebagai masjid itu, manakala kawasan yang di luarnya tidak turut menjadi masjid. Dalam hal ini Imam al-Zarkasyi ada menyebutkan: “Sekiranya seseorang berkata: “Aku jadikan sebidang tanah ini sebagai masjid, maka menurut kitab Al‑Wajiz jadilah ia masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz wakaf.” (Lihat Ahkam al-Sajid, hlm. 396).

Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi di atas, sekiranya keseluruhan tanah yang diperuntukkan itu telah diwartakan (digazetkan) atau diniatkan sebagai masjid, maka jadilah kesemua tanah yang diniatkan itu masjid, walaupun bangunan masjid belum didirikan. Tetapi jika yang digazetkan sebagai masjid hanya setakat bangunannya sahaja, maka itulah sahaja yang dianggap sebagai masjid, manakala bakinya adalah sebagai harim masjid atau rizab masjid (tanah simpanan untuk masjid dan lain-lain keperluan masjid).

Masjid adalah tempat yang dikhaskan untuk solat lima waktu yang dilakukan secara berterusan padanya. Masjid juga boleh didefinisikan tempat solat di rumah. Hal ini berdasarkan hadith daripada Aisyah R.anha katanya:

أَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِبِنَاءِ الْمَسَاجِدِ فِي الدُّورِ, وَأَنْ تُنَظَّفَ, وَتُطَيَّبَ

Maksudnya:Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya dibina masjid-masjid di rumah dan di kampung, serta dibersihkan dan diwangikan.”

Riwayat Abu Dawud (455), al-Tirmizi (594) dan Ibn Majah (758)

Persoalan di atas telah menjadi khilaf dalam kalangan para ulama’. Pendapat pertama menyatakan, sutuh mengambil hukum masjid. Ini merupakan pendapat mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. Imam al-Kasani berkata: Sutuh masjid mengikut hukum masjid, dan hukum yang mengikut adalah menurut hukum yang asal. (Lihat Badai’ al-Sanai’, 1/243).

Manakala Imam an-Nawawi pula menyebut, dinding masjid samada di dalam atau di luar masjid mengambil hukum masjid itu sendiri, di mana ia wajib dipelihara dan dimuliakan, maka begitu juga dengan sutuh masjid. (Lihat al-Majmu’, 2/143 dan Tuhfah al-Muhtaj, 3/464).

Pendapat kedua pula menyebut, sutuh tidak termasuk dalam hukum masjid. Ini merupakan pendapat mazhab Maliki. Ibn Rusyd berkata, ia tidak mewarisi masjid. Kebanyakan ulama’ Malikiyyah seperti al-Baaji juga berkata demikian.

TARJIH

Kami cenderung ke arah pendapat mazhab Hanafi, Syafi’e dan Hanbali, dimana ia termasuk dalam masjid. Hal ini demikian kerana apa-apa yang ada kena-mengena dengan masjid, maka ia dianggap sebagai sebahagian daripada masjid, seperti dinding, tiang dan juga sutuh. Maka ia mengambil hukum dan kehormatan masjid. Bahkan solat berjemaah dalam keadaan makmum berada di atas sutuh, tetap dikira berjemaah selagi mana mereka dapat mengikuti imam dengan pandangannya ataupun suaranya atau yang memungkinkan seseorang itu mengikut imam, dan solat di belakangnya.

Wallahua`lam.

Bertarikh 11 November 2021 M bersamaan  6 Rabiul Akhir 1443 H

 

[1] Atap rumah yang rata yang diperbuat daripada batu dan dilapisi dengan tanah. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *