Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum memasuki rumah ibadat agama lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

Maksudnya: “Kalaulah bukan kerana Allah menggerakkan hati sebahagian manusia untuk menentang kezaliman yang dibuat oleh sebahagian yang lain, nescaya biara-biara rahib, gereja-gereja Kristian, sinagog-sinagog Yahudi dan masjid-masjid yang disebut nama Allah di dalamnya akan dihancurkan. Allah pasti akan berikan pertolongan kepada sesiapa yang menolong agama-Nya. Dan sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

(Surah al-Hajj: 39-40)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya, setelah mengemukakan beberapa hadis yang mentakwil ayat ini membuat kesimpulan, “Yang paling baik untuk mendapat takwilan yang betul ialah, Allah SWT memberitahu bahawa kalaulah Allah SWT tidak mengadakan golongan yang menghalang dari melakukan kezaliman, sama ada kaum Muslimin menghalang golongan Musyrikin, atau pihak yang berkuasa menghalang rakyatnya, sudah pasti tempat-tempat ibadah seperti biara, gereja dan masjid akan diruntuhkan.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil ay al-Qur’an, 18/645)

Imam al-Maraghi menjelaskan, sekiranya Allah SWT tidak mensyariatkan kepada para nabi dan kaum mukminin agar memerangi musuh dan menegakkan landasan agama, nescaya orang musyrik akan menguasai dan menghancurkan semua tempat peribadatan. Tempat peribadatan yang dimaksudkan ini ialah, rumah ibadah para pendeta, gereja bagi orang Nasrani, tempat ibadah orang Yahudi dan masjid kaum Muslimin. Sekiranya tidak kerana penolakan daripada Allah SWT ini, nescaya pada zaman Nabi Musa AS gereja telah dihancurkan, pada zaman Nabi Isa AS biara dan rumah ibadah rumah ibadah telah dirobohkan, dan pada masa Nabi Muhammad SAW masjid telah dimusnahkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4564-4565)

Berkenaan persoalan di atas, para ulama’ klasik Islam berbeza pendapat mengenai hukum memasuki rumah ibadat agama lain:

Pertama, Haram: Antara yang berpandangan hukumnya haram adalah Imam Syihabuddin ar-Ramli dan Imam Ibn Hajar al-Haitami (Lihat Nihayat al-Muhtaj,2/63; Tuhfah al-Muhtaj, 2/424). ‘Illah pengharaman adalah kerana kewujudan patung, jika tiada patung di dalamnya maka ia diharuskan.

Kedua, Makruh: Sebahagian ulama’ mazhab Hanafi berpandangan solat dalam gereja ialah makruh, dan Ibn Nujaim menukilkan fatwa daripada Ibn al-‘Alaa al-Ansari akan kemakruhan memasuki biara Yahudi dan gereja Nasrani kerana ia tempat perkumpulan syaitan. Namun pandangan yang lebih tepat menurut Ibn Nujaim ialah hukumnya makruh tahrimi.(Lihat Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 1/380, Al-Bahr ar-Ra’iq 1/480 dan 7/214; Al-Fatawa al-Hindiyyah 5/346).

Ini juga pandangan yang paling tepat menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (Lihat Al-Fatawa al-Kubra 5/327). Diriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas RA dan Imam Malik juga memakruhkan solat di gereja. (Lihat Al-Adab as-Syar’iyyah, 3/431). Imam al-Buhuti memakruhkan solat di dalam gereja yang mempunyai patung berdasarkan hadith Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai patung. (Lihat Kasyaf al-Qanna’ 1/293)

Ketiga, Harus: Jumhur ulama mazhab Maliki dan Hanbali berpendapat harus memasuki gereja dan rumah ibadat agama lain. (Lihat Jawahir al-Iklil, 1/383; Kashshaf al-Qina’, 1/293) Ini ialah pandangan Ibn Qudamah dan Al-Mardawi daripada mazhab Hanbali. Ibn Qudamah juga meriwayatkan bahawa Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz, Sya’bi dan al-Auza’ie juga berpegang pada pendapat ini. (Lihat Al-Mughni 8/113 dan 2/57, Al-Insaf fi Ma’rifati ar-Rajih min al-Khilaf, 1/496 dan Al-Muhalla 1/400)

Dalam konteks Malaysia, saya melihat pandangan ketiga ini lebih dekat dengan semangat meraikan kepelbagaian agama di negara kita. Antara dalil yang menunjukkan keharusan memasuki rumah ibadat bukan Islam adalah satu athar yang dinukilkan oleh Ibn Qudamah, diriwayatkan oleh Ibn A’iz dalam Futuh al-Syam, “Bahawa golongan Nasrani menyediakan jamuan makan ketika kedatangan Saidina Umar ke kota Syam lalu mereka menjemputnya. Saidina Umar bertanya: Di mana (jamuan)? Mereka menjawab: Di dalam gereja. Saidina Umar memutuskan tidak mahu pergi lalu berkata kepada Saidina Ali: Pergilah kamu dengan orang lain, lalu makanlah. Saidina Ali pergi bersama-sama orang lain, memasuki gereka dan makan bersama orang Islam yang lain. Ali terlihat patung-patung lalu berkata: Apa salahnya jika Amir al-Mu’minin masuk dan makan.” (Rujuk al-Mughni, 10/203)

Athar ini memberikan kefahaman bahawa Saidina Umar sebagai pemerintah Muslim tidak hadir ke dalam rumah ibadat bukan Islam bagi mengelakkan fitnah atau salah faham umat Islam awam bahawa beliau telah memperakui kesyirikan yang berlaku dalam agama tersebut. Justeru, beliau mengelakkan diri untuk menghadirinya namun tidak menegah bahkan meminta Saidina Ali dan  lain-lain hadir mewakilinya.

Sebagai Muslim, kita dituntut agar sentiasa menjaga dan memelihara jati diri sebagai seorang Muslim. Selagi mana pergaulan kita dengan bukan Muslim tidak melampaui batas-batas yang digariskan agama, maka tidak menjadi suatu kesalahan untuk kita menyantuni orang bukan Muslim kerana itu sememangnya menjadi karakter agama Islam yang sentiasa menyeru kepada keamanan dan keharmonian beragama.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.