Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh dato ceritakan satu kisah tentang Abdul Qadir al-Jailani?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ulama’ ialah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”

(Surah al-Sajdah: 24)

Ibn Kathir berkata: Iaitu tatkala mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan dalam menjauhkan larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah kami, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/430)

Ulama’ ialah golongan yang masyarakat dan umat ini belajar dan bertafaqquh dalam ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan.

Ulama’ ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya.

Ulama’ ialah ketua Jemaah yang diperintahkan kita beriltizam dengannya dan melarang kita daripada berpisah daripadanya.

Mulianya para ulama berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama dengan Allah dan para malaikat adalah para ulama. Firman Allah SWT:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ali ‘Imran: 18)

Persoalan seterusnya, bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya, ialah:

  • Dengan ilmu mereka.
  • Dengan kedalaman kefahaman mereka dalam bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas.
  • Mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah.
  • Mereka dikenali kerana kuat ibadat dan takutnya mereka kepada Allah.
  • Mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan oleh dunia.

Ulama’ dikenali berdasarkan syahadah dan pengakuan guru-gurunya tentang ilmu. Dengan sebab itu, Imam Malik berkata: “Tidak seyogia seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”

Semoga dengan takrifan dan definisi serta pengenalan ulama’ ini maka sudah pasti masyarakat benar-benar akan mengenali dhawabit ulama sejati. Kami tertarik dengan kenyataan ulama al-Azhar ketika kami berada di Kaherah yang menyebut: ‘Ilmu (علم), kemudian ‘Amal  (عمل) dan natijah daripada pelaksanaan kedua-duanya akan memperolehi Lama‘ (لمع) yang memberi makna bercahaya. Maksudnya orang yang berilmu dan beramal sentiasa dilihat sebagai pedoman kepada khalayak masyarakat. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 39-42).

Kisah Abdul Qadir al-Jailani

Keluasan ilmu agama dan perhatian yang mendalam terhadap Sunnah Rasulullah SAW, dengan izin Allah, telah membuka rahsia alam Malakut kepada Abdul Qadir al-Jailani. Beliau telah sampai ke martabat di mana perbezaan di antara hak dengan batil, ilham Ilahi dengan bisikan syaitan, telah menjadi perkara yang sebati dengan jiwanya.

Beliau telah memperolehi ilmu yakin bahawa Syariat Nabi yang terakhir adalah sempurna dan tidak boleh diubah, dan bahawa apa jua dakwaan yang berlawanan dengan hakikat tersebut adalah bisikan syaitan semata-mata.

Abdul Qadir sendiri menyebutkan suatu peristiwa yang berlaku pada dirinya. Beliau berkata: “Pada suatu ketika, saya ternampak suatu cahaya terang benderang yang memenuhi seluruh langit.

Kemudian suatu bentuk manusia kelihatan di dalamnya dan ia berkata: “Wahai Abdul Qadir, akulah Allah, Tuhanmu. Aku telah menghalalkan segala perkara yang haram bagimu.”

Saya menjawab: “Berambuslah wahai syaitan. Sebaik sahaja saya mengucapkan kata tersebut, cahaya di langit tadi bertukar menjadi gelap dan bentuk manusia itu mendesir menjadi asap.”

Kemudian saya terdengar seorang berkata: “Wahai Abdul Qadir, aku telah menyesatkan tujuh puluh Ahli Sufi dengan cara ini, tetapi Allah telah menyelamatkan kamu disebabkan ilmu dan takwamu.”

Mendengar kata-kata itu, saya pun membalas: “Tidak. Itu cuma rahmat Allah SWT”

Sesudah Abdul Qadir menceritakan peristiwa tersebut, salah seorang pendengar bertanya: “Bagaimana kamu tahu bahawa itu adalah syaitan?” Abdul Qadir menjawab, “Ketika dia berkata bahawa dia telah menghalalkan bagi saya perkara yang haram.”

Jawab Abdul Qadir, beliau selalu memberitahu muridnya bahawa: “Apa-apa amalan yang bercanggah dengan suruhan Allah, maka sudah tentu itu adalah amalan daripada syaitan.”

Dalam hal demikian, hendaklah seseorang kembali kepada ajaran syariat, mengukuhkan iman dan melawan kecenderungan nafsu dengan bersungguh-sungguh. Apa jua yang tidak dibenarkan oleh syariat sudah tentu menyesatkan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.